Anda nak beli batang seleri satu atau dua pelepah je, masalahnya di kebanyakan pasar dan pasaraya menjualnya satu pokok dalam satu bungkusan. Tapi terpaksalah beli juga kerana nak guna, yang lebih tu tak tau bila nak guna lagi.
Sudahnya lebihan batang seleri terbiar begitu sahaja. Ehh jangan buang atau biarkan begitu saja, ada baiknya anda simpan batang seleri. Jika ia disimpan dengan cara yang betul, batang seleri boleh tahan hingga dua minggu. Tak percaya ikut tip ini.
Batang seleri yang segar akan tahan lebih lama bila disimpan. Batang seleri yang segar berwarna hijau dan mudah dipatahkan sifatnya rangup. Jika liat dan batang berwarna hijau pudar itu tanda tidak segar lagi.
Kesegaran pangkal batang seleri sangat mempengaruhi kesegaran pucuk. Oleh itu, potong sedikit pangkalnya kemudian balut dengan aluminium foil dengan kemas. Cara ini mengelak pangkal batang seleri menjadi kering bila kering batang akan cepat layu dan tidak tahan lama.
Seperti sayur lain, simpan batang seleri dalam peti sejuk adalah cara paling selamat untuk memastikan ia tahan lebih lama. Masukkan dalam plastik dan buat lubang pada plastik untuk ruang udara supaya tahan lama. Tetapi ingat! Jangan cuci batang seleri jika ingin disimpan ye, kerana ia akan menjadikannya lebih cepat layu.
Sama seperti pokok lain, batang seleri akan tahan lebih lama bila diletakkan dalam bekas berisi air dan tutup bahagian dengan plastik. Dengan cara ini batang seleri anda akan kekal segar, rangup dan tahan lebih lama.
Selain menyimpannya dalam peti sejuk, simpan dalam freezer menjadikan ia tahan lebih lama, kerana dalam keadaan beku aroma seleri akan tersimpan dengan baik, warna daunnya juga tidak akan berubah.