Bengkang tepung beras ini antara kuih tradisi yang enak. Rasanya lemak manis dengan aroma santan memang digemari terutama golongan warga emas.
Kalau rasa nak ambil hati atau gembirakan orang tua hidangkanlah kuih ini. Boleh jadi salah satu cara untuk memenangi hati mak mentua juga.
Cara nak menyediakan bengkang ini juga mudah tapi perlukan kesabaran kerana untuk dapat hasil yang sedap dan lembut, kuih ini perlu dibakar lebih kurang 2 jam.
2 cawan tepung beras (cap Teratai)
1 cawan gula pasir
2 cawan santan cair
2 cawan santan pekat
1 sudu kecil garam
2 cawan susu segar full cream
2 helai daun pandan (disimpul)
1. Panaskan oven pada suhu 180°C dengan api atas bawah. Biarkan ia panas semasa anda sediakan adunan.
2. Sapu marjerin di sekeliling loyang bersaiz 8 inci. Letakkan non-stick baking paper di dasar dan sekeliling loyang. Ini penting supaya bengkang senang dikeluarkan bila dah masak.
3. Satukan semua bahan kecuali gula dan daun pandan. Kacau hingga sebati dan tapis masuk ke dalam periuk bersih.
4. Masukkan gula dan daun pandan, kemudian kacau atas api perlahan. Kacau sentiasa hingga adunan menjadi pekat seperti yogurt. Bila dah pekat, tutup api dan keluarkan daun pandan.
5. Tuangkan adunan ke dalam loyang tadi. Ratakan dengan menggoyangkan sedikit loyang supaya permukaan adunan sekata.
6. Masukkan loyang ke dalam oven yang telah dipanaskan tadi. Letakkan loyang di bahagian rak bawah sekali dalam oven.
7. Bakar selama 2 jam dengan suhu 180°C. Jangan terkejut kalau permukaan bingka nampak bergoyang semasa masih panas—itu normal. Bila dah sejuk, barulah ia mengeras cantik.
Sebaiknya, biarkan sejuk semalaman sebelum dikeluarkan dari loyang. Bila dah sejuk sepenuhnya, barulah potong dan hidangkan.
TIP EKSTRA
Nak guna santan kotak? Boleh! Gantikan dengan:
– 2 cawan santan kotak
– 2 cawan susu segar full cream
– 2 cawan air
Boleh juga gunakan tepung beras jenama lain.
Kredit resipi & foto: Mashitah Mas
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA