Peluang untuk bertemu Diana Chan, juara Masterchef Australia 2017 ini memang telah lama kami dambakan. Saat mendapat perkhabaran mengenai pertemuan ini, ia ibarat rezeki yang datang bergolek. Maklumlah, biasanya wajah ini hanya ditonton di laman sosial kerana beliau menetap jauh nun di Autralia namun peluang keemasan yang tiba untuk bertemu mata ini ibarat mimpi team RASA yang menjadi nyata.
Pertemuan penuh eksklusif yang berlangsung di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negara memang tidak kami lepaskan. Walaupun berlangsung dalam masa yang singkat, ia sudah cukup untuk kami selami ceritera serta sisi istimewa si gadis manis ini.
Diterbangkan pulang ke tanah air buat kali pertama sejak kemenangannya, menyebabkan Diana agak sibuk memenuhi jadual kerja yang telah dirangka. Namun begitu, beliau tetap komited dan memberikan kerjasama yang sangat baik saat ditemuramah. Malah walaupun pertama kali berjumpa, beliau sangat ramah dan mesra bagai sudah berkenalan lama.
Diana Chan, anak kelahiran Sitiawan , Perak dan dibesarkan di Johor Bahru mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila menjuarai pertandingan masakan tersohor, MasterChef Australia musim ke 9. Beliau yang berkelulusan dalam bidang perakaunan, menjadi anak Malaysia kedua menyandang gelaran ini. Terdahulu, gelaran yang sama juga telah dimenangi oleh Adam Liaw, jejaka yang berasal dari Pulau Pinang.
Tatkala diajukan soalan mengenai sejarah awal pembabitan beliau dalam bidang masakan sehingga sampai ke tahap yang dimiliki sekarang, menurut Diana semuanya bermula ketika beliau berpindah untuk menyambung pelajaran ke Australia.
“ Di usia 19 tahun , saya melanjutkan pelajaran ke Melbourne. Tinggal jauh dari keluarga dan berstatus sebagai seorang pelajar universiti, maka saya mula belajar memasak. Maklumlah untuk makan di luar, kosnya pasti sangat mahal. Jadi saya mula belajar memasak sendiri. Seingat saya, menu pertama yang saya masak adalah telur dan nasi goreng. ”
Cantik bergaya, tinggi lampai dan berpewatakan menarik persis peragawati, siapa sangka gadis lemah lembut yang berusia 29 tahun ini sangat handal di dapur. Lihat sahaja keletahnya sewaktu cabaran MasterChef Australia. Bukan calang-calang orang mampu mara hingga ke saat akhir ini. Malah, bila ditanya mengenai perasaannya semasa pertandingan akhir , menurut Diana, dikala saat itu, tiada apa yang beliau fikirkan kecuali berusaha sebaik mungkin untuk menyediakan hidangan yang sempurna .
“ Di pusingan pertama, saya hanya fikir untuk melakukan persembahan yang terbaik. Saya buang jauh-jauh rasa gementar dan takut malah saya berasa sangat yakin! Syukur saya mampu menempuhnya dengan baik. Apabila tiba pusingan kedua, saya mengambil keputusan untuk menyediakan sajian yang menunjukkan jati diri saya sebagai anak Malaysia. Maka terhasillah sajian Oatmeal Prawn dan Red Emperor Fish on Spicy Fragrant Sambal. Akhirnya, dengan hidangan ini saya mampu menyandang gelaran juara seterusnya membuktikan masakan Malaysia mampu berdiri teguh di peringkat antarabangsa.”
Menempa kejayaan dalam pertandingan tersohor ibarat lakaran kisah hidup yang sangat indah.
“Mak dan bapak adalah sumber inspirasi saya dalam bidang masakan. Banyak yang saya belajar dari mereka berdua. Mak lebih kepada masakan Nyonya Penang manakala Bapak lebih menjurus kepada masakan berasaskan panggang, BBQ dan makanan laut. Dari situ saya mempelajari selok belok masakan dan ilmu yang diperolehi itu akhirnya membawa saya hingga ke tahap ini. ”
Bagi anda yang ingin melihat serta berkenalan dengan chef selebriti ini secara lebih dekat lagi, Diana Chan akan membuat penampilan dengan melakukan demonstrasi masakan istimewanya di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, esok (7 Oktober 2017) bermula jam 12 tengah hari – 6 petang. Malah anda juga boleh menonton semula perjalanan kemenangan beliau dengan adegan terbaik Masterchef Australia musim ke 9 bermula 14 Oktober ini di saluran Astro 709.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI