Berita

Borak SeeNI, Program Bual Bicara Terbaharu Kini Di Astro Prima

Share

Program bual bicara terbaharu, Borak SeeNI kini bersiaran secara langsung di Astro Prima setiap Selasa hingga Jumaat, jam 11 pagi yang akan membincangkan topik kekeluargaan, isu semasa dan gaya hidup.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Syamil Fahim Mohamed Fahim berkata, selaku rakan penghasil kandungan bersama Astro Prima, program Borak SeeNI diolah daripada aplikasi SeeNI yang memuatkan 17 kandungan digital bagi menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

“Saya amat teruja dengan program bual bicara secara langsung antara Astro Prima dan Nu Ideaktiv ini.

“Saya percaya hasil kerjasama yang memberangsangkan daripada kedua-dua pihak ini akan berjalan lancar dengan jayanya.

“Selain itu, diharapkan agar usaha ini mampu memantapkan landskap digital bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mempromosi serta memperkukuh jenama masing-masing,” katanya.

Gandingan Tujuh Hos Versatil

Antara hos program yang menghiasi kaca televisyen anda ialah Erra Fazira, Faizal Ismail, Haziq Hussni, Hunny Madu, Nana Mahazan, Dahlia Shazwan dan Keanu Azman.

Borak SeeNI turut mengetengahkan perkongsian pakar serta individu penyumbang inspirasi dalam bidang masing-masing.

Dengan penggunaan teknologi ‘Extended Reality’ (XR) dan ‘Augmented Reality’ (AR) yang moden, Borak SeeNI mampu menampilkan visual terkini bagi mengetengahkan produk serta perkhidmatan secara dinamik demi menyokong PKS.

Tayangan ulang Borak SeeNI boleh ditonton pada hari yang sama, jam 5 petang di saluran Astro Prima, On Demand Astro Ultra atau Ulti Box, aplikasi SeeNI, Astro Gempak, Astro GO dan Sooka untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Ditanya mengenai kriteria pemilihan hos, Naib Presiden Pembangunan Pengiklanan (Nu Ideaktiv dan PKS), Datin Norashikin Habibur Rahman memaklumkan bahawa barisan hos ini mempunyai personaliti unik meskipun hadir daripada latar belakang berbeza.

Tambah beliau, kepelbagaian personaliti mampu memberi keharmonian sepanjang bekerja agar dapat mencapai objektif program iaitu menyasarkan semua lapisan masyarakat sebagai penonton utama.

IKLAN