Makan

Buat Kerabu Tauge Cara Orang Lama Yang Penuh Sayur. Lauk Sedap & Sihat

Share

Walau ada yang tak suka tauge tapi tak dinafikan ramai juga yang sangat menyukai hidangan ini. Selain digoreng tumis, masak lemak atau digoreng bersama mi, tauge juga sedap dijadikan kerabu.

Kerabu tauge ini juga cukup mudah membuatnya. Kalau nak lagi sedap boleh gunakan resipi kerabu tauge cara orang lama seperti yang dikongsi oleh Siti Hazneza binti Abdul Hamid.

Menurut beliau resipi ini diturunkan oleh ibu dan nenek beliau. Ia kering dan sedap sangat dimakan.

Cara buat kerabu tauge cara orang lama

Bahan-bahan
200 gram tauge – dibuang ekor
2 biji bawang besar – mayang nipis
2 inci halia – potong jurai
1 bunga kantan – cincang
2 batang serai – ambil bahagian lembut dan hiris nipis
½ cawan beras – disangai dan tumbuk kasar
2 cawan kerisik – tumbuk sekejap sahaja untuk kuatkan wangi dan rasa, tidak perlu sampai pecah minyak
1 cawan sambal belacan/ secukup rasa

Nota: Kerabu ini versi sayuran sahaja kecuali belacan dari udang. Boleh tambah perut, kerang atau udang jika suka.

Cara membuat:

1. Masukkan semua bahan dalam mangkuk dan gaul rata.

2. Seimbangkan perisa. Tambah air asam jawa, garam, gula dan sambal belacan jika perlu. Siap dan sedia dihidangkan sebagai lauk.

 

Selamat mencuba

Sumber:Siti Hazneza binti Abdul Hamid

 

 

Published by
Rose