Buat lauk ringkas macam sambal tumbuk cili hijau ini tak dinafikan membangkitkan selera. Walau satu lauk namun jangan pandang sebelah mata, sekali rasa memang akan menambah nasi dibuatnya.
Cara membuat sambal tumbuk cili hijau ini cukup senang dan sesuai dihidangkan waktu ketandusan idea untuk memasak. Sambal ini paling sesuai dihidang dengan telur mata dan nasi panas, memang makan tak toleh kiri kanan.
Bagi yang nak mencuba keenakan sambal tumbuk cili hijau ini boleh ikut resipi dikongsi oleh Sabariah Sisa. Pastikan sambal ini ditumbuk ya bukan kisar!
Cili hijau (boleh guna cili padi hijau jika suka pedas)
Ikan bilis
Bawang merah dan bawang putih
Belacan
Bawang besar dihiris (untuk menumis)
1. Bersihkan dulu cili hijau. Potong supaya senang ditumbuk.
2. Tumbuk semua bahan kecuali bawang besar. Waktu menumbuk boleh masukkan sekali gula dan garam. Jangan tumbuk hancur sangat.
3. Kemudian masukkan cili hijau yang dipotong tadi. Masukkan sedikit demi sedikit supaya senang ditumbuk.
4. Panaskan minyak dan masukkan bawang besar. Apabila bawang sudah kekuningan, masukkan semua cili hijau yang ditumbuk tadi.
5. Kacau hingga cili masak. Boleh tambah perasa ketika ini. Gaul rata.
6. Siap, boleh dihidang.
Sumber: Sabariah Sisa