6 Cara Kurangkan Pedas Dalam Masakan & Elak Perut Pijar.
Februari 28, 2018
Share
Masakan bercili dan bersambal terutamanya yang guna cili kering, memang susah nak agak tahap kepedasannya. Takkan nak gigit dulu cili tu sebelum beli. Ada kala, beli cili rasa tak pedas. Bila stok habis, beli lagi cili, haihhh..pedas berapi. Susah sungguh! Jika anda alami masalah masakan terlajak pedas ni, ada beberapa cara yang boleh dicuba untuk mengurangkan kehangatannya. Nanti boleh cuba.
6 PETUA KURANGKAN PEDAS DALAM MASAKAN
1. LETAK GULA
Paling biasa! Jika masakan terlalu pedas, mak-mak kita akan tambah gula bagi mengurangkan rasa menyengat cili. Jumlahnya bergantung kepada citarasa anda. Sebaiknya, letak sedikit demi sedikit dan rasa. Bukan apa, bimbang terlebih manis nanti tak sedap juga. Selain gula, anda juga boleh tambah madu atau aneka pemanis yang lain.
2. TAMBAH ASAM JAWA
Selain itu, anda juga boleh mengurangkan rasa pedas melampau ni dengan menambah perasa masam. Jika buat sambal tumis, anda boleh masukkan air asam jawa ataupun asam gelugur. Jika anda menyediakan sambal belacan, boleh tambah perahan lemon, limau nipis atau cuka.
3. HIRISAN UBI KENTANG
Masukkan hirisan ubi kentang di dalam masakan dan masak bersama sehingga empuk. Ubi kentang mampu menyerap rasa pedas dan dapat membetulkan rasa makanan yang disediakan. Bagus kan? Ingatkan ubi kentang ni boleh kurangkan rasa masin je.
4. TAMBAH SANTAN
Jika sambal tumis anda terlajak pedas, boleh juga mengurangkan tahap kepedasan dengan menambah sedikit santan. Selain mengurangkan rasa pedas, ia boleh membuatkan masakan anda terasa lebih lemak dan pekat.
5. GUNA BAWANG BESAR
Bawang besar terutamanya bawang Holland mempunyai rasa yang manis. Oleh itu jika ditambah dalam masakan pedas, ia dapat menyeimbangkan rasa. Jumlahnya pula bergantung kepada kesesuaian hidangan. Cubalah. Pasti ada bezanya.
6. MASUKKAN TOMATO
Yang ni pula sesuai untuk masakan seperti sambal tumis yang menggunakan cili padi serta sambal belacan. Bila masak guna cili segar ni faham-fahamlah. Laju je masuk dalam pengisar. Bila dah ditumis atau dicuba, wahh..Pedas tak terkata. Jadi, untuk kurangkan pedas tu bolehlah gunakan buah tomato. Untuk masak sambal yang bergoreng, boleh tambah kisaran tomato manakala untuk sambal belacan, masukkan hirisan buah tomato yang telah dipotong kecil. Rasa tomato yang masam-masam akan mengimbangi rasa pedas malah menjadikannya lebih sedap!