
Buat sendiri chicken floss. Lepas tu boleh buat roti. Sedap buat bersahur atau berbuka puasa. Floss adalah daging yang dicarik-carik sehingga menjadi sangat halus. RASA berikan resipi chicken floss yang selalu diletakkan di atas roti yang dijual di kedai.
CHICKEN FLOSS

Bahan-bahan
1 ulas bawang putih
Sedikit halia
Jintan manis (sangai, tumbuk)
Ketumbar (sangai, tumbuk)
2 biji bawang merah sederhana
Cili blend terpulang kalu nak pedas isi lebih sikit
1/2 cawan santan
Sedikit garam
Dada ayam direbus
Cara membuat
1. Blend bawang dan halia.
2. Sangai ketumbar dan jintan manis. Kemudian tumbuk kasar.
3. Tumis bawang blend dan cili dengan sedikit minyak.
4. Masukkan santan.
5. Perasakan dan masukkan daging ayam yang disiat-siat halus.
6. Kacau hingga kering.
Resipi oleh Usrati Delight dari Telegram KakiMakan
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Ringkas & Mudah. Ini Resipi Ayam Butter Bersarang Paling Sedap.

Suka makan Ayam Butter? Jika ya, resipi perkongsian saudara Azahari Abdullah ni antara yang paling mudah dan sedap untuk dihasilkan. Kuah mentega yang enak ditambah pula dengan sarang yang rangup, memang terbaik. Nampak sedap kan? Bahan-bahannya pun mudah dicari dan senang untuk dimasak. Bolehlah cuba masak untuk keluarga. Jom lihat bahan-bahan yang diperlukan.
CARA MASAK AYAM BUTTER BERSARANG
BAHAN A:
- 500gm isi ayam
- 1 sudu teh garam
- 1 sudu teh serbuk kunyit
- 1 ½ sudu teh serbuk cili / paprika
- 1 sudu makan minyak bijan
- 2 sudu makan tepung jagung
BAHAN B:
- 3 ulas bawang putih
- 1 ½ inci halia – hiris nipis
- 1 biji bawang holland
- 1 sudu makan mentega
- 1 sudu makan minyak kacang tanah

BAHAN TELUR SARANG
- 4 biji telur gred B – dipukul
- 250gm minyak masak
- 1 sudu makan mentega
- 3 tangkai daun kari
- 1 biji cili merah – hiris nipis
CARA MEMASAK:
1. Satukan semua bahan A dan gaul sebati. Ketepikan.
2. Panaskan minyak dan mentega di dalam kuali. Kemudian masukkan bahan A.
3. Setelah ayam sedikit kecut, masukkan bahan-bahan B. Masak hingga warna bertukar jadi kuning keemasan. Angkat ayam dan ketepikan seketika.

4. Untuk menyediakan telur sarang, panaskan minyak dan mentega.
5. Kacau telur dan tuang ke dalam kuali sedikit demi sedikit sambil mangkuk diangkat tinggi.
6. Pusingkan telur dengan senduk dan jangan berhenti sehingga ia lerai cantik. Masukkan daun kari dan hirisan cili.
7. Bila telur nampak keperangan, tuang telur ke dalam tapis dan toskan minyaknya.
8. Letak telur sarang di atas ayam butter tadi. Sedia untuk dinikmati.

https://www.facebook.com/EOCAcademy/videos/452751905514283/
Kredit resipi & foto: Azahari Abdullah
Masak Sendiri 5 Menu Masakan Cina, Mesti Perasan Masak Macam Chef Profesional Bila Rasa.

Masakan Cina mempunyai gaya masakan yang tersendiri, ia sememangnya sedap dan mengekalkan kesegaran bahan yang digunakan dalam masakan. Dihidangkan pula panas-panas dari dapur. Kepada anda penggemar masakan Cina, berikut RASA bawakan Chef Patrick Ng, Head Chinese Chef, Restoran Cina Tung Yuen, Grand Bluewave Hotel Shah Alam yang berbesar hati untuk berkongsi lima menu istimewa masakan Cina yang sedap untuk anda cuba sendiri di rumah.

AYAM GORENG BERSAMA KIUB JERUK HALIA DAN SOS MADU
BAHAN-BAHAN
- 1/2 ekor ayam | bersihkan, potong kecil
- Air secukupnya | untuk rebus
- Minyak masak secukupnya
BAHAN UNTUK KIUB JERUK HALIA MADU:
- 200gm halia muda
- 75gm cuka putih
- 100gm gula
- 30gm madu
BAHAN UNTUK PERAP:
- 1 biji telur
- 50gm tepung jagung
- Sedikit serbuk ayam
- Sedikit sos tiram
- Sedikit garam
CARA-MEMASAK
- Untuk membuat kiub jeruk halia madu; potong halia menjadi kiub kecil. Jerang air dan bila panas, masukkan halia dan rebus seketika. Angkat dan tapis. Ketepikan.
- Masak gula bersama cuka sehingga mendidih dan masukkan madu.
- Masukkan pula potongan halia tadi dan masak seketika. Sejukkan dahulu sebelum disimpan di dalam peti sejuk selama dua hari. Keluarkan ketika hendak masak.
- Untuk memasak hidangan ini; ayam dipotong kecil dan perap dengan serbuk ayam, sos tiram, telur, tepung jagung dan sedikit garam. Gaul sebati. Ketepikan.
- Panaskan minyak di dalam kuali, goreng ayam yang telah diperap sehingga masak sepenuhnya. Angkat, tos dan ketepikan.
- Tinggalkan sedikit minyak di dalam kuali, panaskan dan masukkan kiub jeruk halia madu, goreng seketika dan masukkan ayam goreng tadi. Gaul sekata.
- Angkat dan sedia dinikmati.

DAGING RUSA GORENG HALIA DAN DAUN BAWANG
BAHAN-BAHAN:
- 600gm daging rusa
- 150gm daun bawang | hiris
- 50gm hirisan halia
- 30gm bawang putih | cincang
- Minyak masak secukupnya
BAHAN PERAP:
- 1 biji telur | ambil bahagian putih sahaja
- Sedikit serbuk ayam
- Sedikit sos tiram
- Sedikit garam
BAHAN B
- 20gm serbuk ayam
- 10gm kicap
- 10gm sos tiram
- 5gm gula
- 10gm kicap pekat
CARA MEMASAK:
- Hiris daging rusa, bersihkan. Kemudian satukan bersama putih telur, serbuk ayam, sos tiram dan garam secukup rasa. Gaul sekata. Perap seketika. Ketepikan.
- Panaskan minyak di dalam kuali, goreng hirisan halia hingga terbit harum. Masukkan bawang putih dan kacau sebati.
- Masukkan hirisan daging rusa bersama bahan B. Gaul sebati selama seminit. Masukkan daun bawang.
- Angkat dan sedia untuk dinikmati.

UDANG HARIMAU GORENG BERSAMA KUNING TELUR DAN PLANTA
BAHAN-BAHAN:
- 600gm udang | bersihkan
- 5gm daun kari
- 2 biji cili padi | cincang
- 2 biji kuning telur masin
- 150gm planta
- 10gm serbuk ayam
- 5gm gula
- 50gm susu cair
- Minyak masak secukupnya
- Air untuk mengukus secukupnya
CARA MEMASAK:
- Kukus telur masin selama 15 minit. Sejukkan. Kemudian ambil kuningnya sahaja dan cincang.
- Panaskan minyak di dalam kuali dan goreng udang harimau sehingga masak. Ketepikan.
- Panaskan planta dan masukkan kuning telur masin yang dicincang. Diikuti cincangan cili padi dan goreng sekata.
- Masukkan udang harimau yang siap digoreng dan kacau bersama susu cair selama seminit.
- Angkat dan sedia dihidangkan.

IKAN KERAPU KUKUS SOS TEOH CHEW
BAHAN-BAHAN
- 1kg ekor ikan kerapu | bersihkan
- Air secukupnya
BAHAN SOS TEOH CHEW:
- 100gm sayuran masin | hiris
- 1 biji tomato | belah enam
- 30gm cendawan hitam | cincang
- 2 biji cili padi | hiris
- 5gm halia | hiris
- 1 biji jeruk plum
- 500gm sup ayam
- 60gm serbuk ayam
- 20gm garam
- 10gm gula
- 2 sudu makan minyak masak
CARA MEMASAK:
- Satukan semua bahan untuk sos Teoh Chew dan rebus. Ketepikan.
- Potong ikan menjadi fillet yang dibelah dua dan letakkan di atas pinggan tahan panas.
- Panaskan pengukus dan kukus ikan selama 15 minit atau sehingga ikan masak sepenuhnya.
- Tuang sos Teoh Chew ke atas ikan yang telah dikukus tadi.
- Sedia dinikmati.

HONG KONG CHOY SAM GORENG BERSAMA AYAM KISAR DAN CENDAWAN
BAHAN-BAHAN:
- 700gm Hong Kong Cyoh Sam
- 200gm isi ayam | kisar
- 50gm cendawan | hiris
- 50gm bawang putih | cincang
- 1 sudu teh sos tiram
- 1 sudu teh kicap pekat
- 1 sudu teh kicap manis
- Sedikit serbuk ayam
- Garam dan gula secukupnya
- Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak di dalam kuali dan goreng Hong Kong Choy Sam bersama separuh daripada bawang putih hingga terbit bau harum.
- Masukkan serbuk ayam, garam dan gula secukup rasa. Gaul sekata. Angkat dan letakkan di dalam pinggan.
- Tumis baki bawang putih dan masukkan ayam dan cendawan. Tambah sos tiram, kicap pekat, kicap manis dan serbuk ayam. Gaul sekata sehingga masak.
- Tuang sos di atas sayur tadi. Sedia dinikmati.
Koleksi Lauk Kampung Yang Enak & Jadi Kegemaran Ramai

Memasak menu-menu ‘rare’ dan dulu-dulu memerlukan ketelitian dari segi bahan dan cara-cara menyediakannya. Kebanyakan resipi ini adalah turun-temurun sejak dahulu lagi. Untuk mendapatkan resipi asli dengan bahan-bahan yang tepat, saya telah menghubungi beberapa orang yang pakar dalam masakan dari Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak. Menurut kakak ipar Chef Sue yang berasal dari Kedah, generasi lama masih lagi mengekalkan menu masakan tradisonal dalam kehidupan seharian mahupun ketika mengadakan kenduri-kendara.
Gulai batang pisang misalnya, sangat sinonim dengan masyarakat kampung di Kedah. Sering dihidangkan ketika kenduri dan menjadi hidangan yang sangat-sangat dinantikan orang ramai. Biasanya batang pisang yang digunakan ialah dari pokok pisang awak namun pada zaman dahulu, ada juga mereka menggunakan batang pokok pisang hutan. Empulur bahagian dalam batang pokok yang bewarna putih dan lembut itulah yang digunakan dalam membuat gulai ini. Selepas dibersihkan empulur pisang tersebut hendaklah dicelur terlebih dahulu sebelum dimasak.
Satu lagi contoh ialah kerabu selom beras goreng. Kaedah pembuatannya lebih kurang sama seperti membuat kerabu lain. Bezanya di sini, masyarakat sebelah utara menambah beras goreng tumbuk ke dalam kerabu tersebut. Beras digoreng/sangai tanpa minyak hingga perang. Kemudian ditumbuk atau kisar halus lalu digaul sekali dengan bahan-bahan lain hingga sebati. Bau harum beras sangai itu sungguh menambahkan selera.

GULAI SEPAT MASIN DAN NANGKA MUDA TUMIS DARAT
Bahan-bahan:
- 4-5 ekor ikan masin sepat – potong, rendam dan toskan
- 400ml santan
- 300gram nangka muda – potong kecil & rebus empuk
- 2 biji cili hijau – belah dua
- 3 sudu makan air asam jawa
- 3 sudu makan rempah kari ikan
- 1 labu bawang besar – kisar halus
- 4 ulas bawang putih – kisar halus
- Minyak dan air secukupnya
- Garam dan gula
- Bahan-bahan tumis:
- 5 ulas bawang merah – mayang halus
- 3 ulas bawang putih – mayang halus
- ½ sudu teh halba campur
- 2 tangkai daun kari
Cara memasak:
- Satukan santan cair, air asam jawa, rempah kari ikan dan bahan-bahan kisar halus lalu didihkan hingga hilang bau rempah.
- Masukkan ikan masin dan didihkan lagi dengan api kecil hingga ikan masak. Tambah sedikit lagi air jika kuah terlalu pekat. Kuah gulai haruslah sedikit cair.
- Masukkan nangka muda rebus dan cili hijau.
- Sesuaikan rasanya dengan menambah garam dan gula. Tutup api.
- Sementara itu, di dalam kuali lain, panaskan 2 sudu makan minyak di dalam kuali. Tumiskan bahan-bahan tumis hingga wangi dan naik bau.
- Tuangkan bahan-bahan tumis berserta minyaknya ke dalam periuk berisi kuah gulai ikan masin tadi dan tutup untuk 10-15 minit.
- Sedia dihidangkan.
Waktu memasak: 40 minit
Cara memasak: Reneh & tumis
Jenis masakan: Lauk sampingan
Keistimewaan: Hidangan lengkap ada sayur dan ikan masin
Anggaran kos: RM15 untuk 4 orang makan
Info chef: nangka muda dipotong kecil, bersihkan dan hilangkan getah yang ada. Rebus dulu sehingga empuk lebih kurang setengah jam.

GULAI DAGING BATANG PISANG
Bahan-bahan :
- 600gram daging lembu – potong kecil
- 1 mangkuk batang pisang (empulur/bahagian dalam batang pisang) – potong kecil dan rebus
- 2 cawan santan cair
- 2 cawan santan pekat
- 2 biji tomato – cincang kasar
- 3 labu bawang besar – mayang halus
- 10 ulas bawang merah – kisar halus
- 5 ulas bawang putih – kisar halus
- 3sm halia – kisar halus
- 5 sudu makan serbuk kari daging
- 2 sudu makan kerisek
- 3 kuntum bunga lawang
- 4 biji buah pelaga
- 1 batang kulit kayu manis
- 1 tangkai daun kari
- Garam dan gula secukup rasa
Cara memasak:
- Panaskan tiga sudu makan minyak di dalam periuk. Tumis bawang besar dan tomato hingga layu dan keperang-perangan.
- Masukkan buah pelaga, bunga lawang, kulit kayu manis dan daun kari hingga wangi.
- Satukan rempah kari daging dengan campuran bawang kisar. Campur sedikit air dan kacau hingga menjadi pes yang pekat. Tuang ke dalam periuk. Tumis hingga pecah minyak.
- Masukkan daging dan santan cair. Didihkan hingga daging benar-benar empuk.
- Masukkan batang pisang yang telah direbus beserta santan pekat dan kerisek. Didihkan hingga semua bahan masak sebati.
- Apabila semua bahan telah masak, tambah garam dan gula secukup rasa.
Waktu memasak :45 minit
Cara memasak: Tumis & reneh
Jenis masakan: Lauk sampingan
Keistimewaan: Batang pisang yang lembut sangat sesuai dimasak dengan daging
Anggaran kos:RM15 untuk 4 org
Info chef: empulur pisang hendaklah dicelur terlebih dahulu sebelum dimasak.

MASAK TEMPOYAK TAUGEH KASAR
Bahan-bahan:
- 2-3 cawan air
- 200gram taugeh kasar – bersihkan
- 4 ekor ikan selar sederhana besar
- 4 sudu makan tempoyak
- Segenggam daun kesum
- 1 kuntum bunga kantan – belah dua
- 1 batang serai – ketuk
- Garam & gula secukup rasa
Bahan-bahan B (tumbuk):
- 10 biji cilipadi
- 4 ulas bawang merah
- 1 inci kunyit hidup
- 1 inci belacan
Cara memasak:
- Tumbuk bahan-bahan B hingga lumat.
- Di dalam periuk; satukan bahan tumbuk bersama air, tempoyak, serai, bunga kantan, daun kesum dan serai. Didihkan hingga semua bahan masak sebati.
- Masukkan ikan dan taugeh kasar. Didihkan beberapa minit.
- Tambah garam dan gula secukup rasa.
- Jika suka boleh tambahkan cili padi beberapa biji (tanpa dipotong).
Waktu memasak:25 minit
Cara memasak: Rebus
Jenis masakan: Lauk sampingan
Keistimewaan: Taugeh kasar yang jadi ‘star’ selain tempoyak
Anggaran kos:RM10 utk 4 org
Info chef: Tempoyak dibancuh dengan sedikit air supaya tidak terlalu pekat

DAGING MASAK ASAM UTARA
Bahan-bahan:
- 500gram daging – hiris kecil
- 3 biji ubi kentang
- 1 cawan air asam jawa
- 1 batang serai – titik
- 1 genggam daun kesum
- Garam dan gula secukup rasa
- Air secukupnya
Bahan-bahan B (kisar):
- 5 biji bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 1 labu bawang besar merah
- ½ inci kunyit hidup
- ½ inci halia
Cara memasak:
- Tumbuk halus semua bahan B.
- Panaskan sedikit minyak di dalam periuk lalu tumis bahan-bahan B (kisar) hingga wangi.
- Masukkan daging dan tumis beberapa minit hingga daging kecut. Tuang air secukupnya (lebih kurang 2 cawan lebih) lalu didihkan hingga daging empuk.
- Masukkan ubi kentang, air asam jawa dan daun kesum. Didihkan lagi hingga semua bahan masak dan kuah agak pekat.
- Tambah garam dan gula secukup rasa dan sesuaikan rasa masam dan masinnya.
Waktu memasak:45 minit
Cara memasak: Rebus
Jenis masakan: Lauk sampingan
Keistimewaan: Rasa masam masin yang menggamit selera
Anggaran kos:RM10-12 utk 4 org
Info chef: air asam jawa menjadikan rasa enak pada menu ini

SAMBAL SERAI
Bahan-bahan:
- 20 batang serai (tak terlalu tua) – hiris nipis (senipis yang boleh)
- 10 ulas bawang merah – mayang halus
- 4 ulas bawang putih – mayang halus
- 2 labu bawang besar merah – mayang halus
- 4 labu bawang besar merah – kisar halus
- 10 biji cilipadi
- 4 biji cili merah – hiris
- 4 biji cili hijau – hiris
- 1 cawan santan
- 1 cawan udang kering (atau udang geragau)– cuci dan tumbuk kasar
- Garam & gula secukup rasa
Cara memasak:
- Panaskan sesudu makan minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan mayang hingga wangi.
- Masukkan bawang yang dikisar halus bersama udang kering. Tumis lagi hingga pecah minyak.
- Masukkan santan dan serai. Didihkan hingga semua bahan masak dan agak kering sambil dikacau berterusan.
- Masukkan hirisan cili merah, cili hijau dan cilipadi. Kaup-balikkan sebati.
- Tambah garam dan gula secukup rasa.
Waktu memasak: 45 minit
Cara memasak: Tumis dan reneh
Jenis masakan: Lauk sampingan
Keistimewaan: Harum serai dalam sambal sangat menarik perhatian
Anggaran kos: RM8-10 utk 4 org
Info chef: cari serai yang tidak terlalu tua

KARI AYAM DAN BETIK MUDA
Bahan-bahan:
- ½ ekor ayam – potong kecil
- 1 biji betik muda/mengkal (saiz sederhana) – bersihkan, potong kecil & celur
- 4 cawan santan
- 4 sudu makan rempah kari daging
- 1 sudu makan kerisek
- 1 tangkai daun kari
- 1 keping asam keping/gelugur
- 1 tangkai daun kari
- Garam dan gula perang secukup rasa
Bahan-bahan B (kisar):
- 5 ulas bawang merah
- 4 ulas bawang putih
- 3sm halia
Bahan-bahan C (tumis):
- 1 labu bawang besar merah – mayang halus
- 2 ulas bawang putih – mayang halus
- 1 batang kulit kayu manis
- 3 kuntum bunga lawang
- 3 biji buah pelaga
Cara memasak:
- Kisar bahan-bahan B hingga menjadi pes yang lumat.
- Panaskan dua sudu makan minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan kisar hingga wangi.
- Masukkan daun kari dan bahan-bahan C lalu tumis lagi beberapa minit.
- Masukkan rempah kari . Tambah sedikit air dan didihkan hingga rempah pecah minyak.
- Masukkan ayam, santan, asam keping dan didihkan hingga semua bahan empuk.
- Masukkan kerisek dan betik muda. Didihkan beberapa minit.
- Tambah garam dan gula perang secukup rasa.
Waktu memasak: 40-45 minit
Cara memasak: Tumis & reneh
Jenis masakan: Lauk sampingan
Keistimewaan: Rasa manis betik mengkal memberi kelainan dalam masakan
Anggaran kos:RM15 utk 4 org
Info chef: buah betik sangat praktikal sebagai bahan pelembut daging ayam kampung yang liat.

KERABU DAUN SELOM BERAS TUMBUK
Bahan-bahan:
- 1 mangkuk besar daun selom – hiris halus
- 1 biji kelapa parut – sangai & tumbuk kasar
- ½ cawan beras – sangai perang & tumbuk halus
- 3 biji cili merah
- 5 bij cilipadi
- 3 ulas bawang merah – bakar
- 2 ulas bawang putih – bakar
- 1 inci belacan – bakar
- Perahan limau secukupnya
- Garam dan gula secukup rasa
Cara memasak:
- Cili padi, cili merah, bawang merah bakar, bawang putih bakar dan belacan ditumbuk lumat.
- Di dalam mangkuk besar, satukan kelapa parut dengan bahan-bahan tumbuk dan kacau rata.
- Masukkan hirisan daun selom. Kacau lagi hingga sebati.
- Tambah garam dan gula secukup rasa. Perahkan limau ke dalam kerabu dan sesuaikan rasanya.
Waktu memasak: 15-20 minit
Cara memasak: Mentah & sangai
Jenis masakan: Lauk sampingan
Keistimewaan: Bau wangi beras goreng/sangai memberi kelainan
Anggaran kos:RM8 utk 4 org
Info chef: Beras digoreng/sangai tanpa minyak hingga perang. Kemudian ditumbuk atau kisar halus lalu digaul sekali dengan bahan-bahan lain hingga sebati.

NASI ULAM UTARA
Bahan- bahan A;
- 4 cawan nasi – sejukkan sedikit dan biar berderai
- 1 cawan kelapa yang telah disangai dan ditumbuk kasar
- 1 sudu makan kerisek
- Garam secukup rasa
Bahan-bahan B:
- 2 batang serai muda
- 1 inci lengkuas muda
- 1 inci halia
- 10 biji lada hitam
- 5 biji cili padi
- Seketul kecil ikan kurau/talang masin (yang telah digoreng)
Bahan-bahan C (Ulam):
- Daun kaduk
- Daun cekur
- Pucuk tenggek burung
- Daun limau purut
- Daun sekentut
- Pucuk gajus
- Ulam raja
- Pegaga
- Daun selom
- Pucuk mengkudu
- Pucuk putat
- Pucuk daun kari
- Pucuk samak
- 1 batang bunga kantan
- 1 biji timun
- 1 labu bawang besar
Cara memasak:
- Tumbuk bahan-bahan B hingga lumat.
- Hiris semua jenis ulam-ulaman halus. Kuantiti ulam/pucuk-pucuk memadai segenggam setiap jenis.
- Di dalam mangkuk besar; satukan bahan tumbuk beserta hirisan ulam-ulaman.
- Masukkan nasi sejuk, kelapa sangai dan kerisek. Gaul semua bahan hingga sebati.
- Tambah garam secukupnya dan sesuaikan rasanya. Sedia dihidangkan.
*Nota; pucuk-pucuk dan ulam-ulaman boleh ditambah lagi dan dipelbagaikan.
Waktu memasak: 30 minit
Cara memasak: Mentah & tanak
Jenis masakan: Hidangan utama
Keistimewaan: Hidangan lengkap ada sayur, ikan masin & nasi
Anggaran kos: RM15 untuk 4 orang makan
Info chef: ulam kalau terlalu banyak , jangan letak semuanya. Letak agak-agak je, dikhuatiri jika terlalu banyak nasi akan pahit.

NASI LEMUNI
Bahan-bahan:
- 3 cawan beras – basuh dan tos
- 3 cawan santan pekat
- 1 cawan air segenggam daun lemuni – kisar & tapis airnya
- 3 biji buah pelaga
- 2 kuntum bunga lawang
- 3sm halia – mayang halus
- 1 sudu teh garam
- ½ sudu teh halba
- Sehelai daun pandan – siat & simpul
Cara memasak:
- Masukkan beras ke dalam periuk bersama santan dan air lemuni.
- Tambahkan hirisan halia, halba daun pandan, bunga lawang dan buah pelaga.
- Tanak beras hingga masak.
- Hidangkan bersama sambal tumis atau kari ayam/daging.
Waktu memasak: 20-30 minit
Cara memasak: Rebus
Jenis masakan: Hidangan utama
Keistimewaan: Bau harum dari daun Lemuni dan rasa lemak dari santan.
Anggaran kos: RM8 untuk 4 orang makan
Info chef: Bila masak nasi kacau dengan senduk batang lemuni khasiat dari batang tersebut akan masuk ke dalam nasi.

NASI KACANG DHAL PENANG
Bahan-bahan:
- 2 cawan beras basmathi
- 3 cawan air
- 40 gram kacang dhal
- 1 labu bawang besar – mayang halus
- 3 ulas bawang putih – kisar
- 3sm halia – kisar
- 2-3 sudu makan minyak sapi
- 1 sudu makan tomato puri
- 1 sudu teh serbuk jintan manis
- 2 helai daun salam kering
- Sedikit serbuk kunyit
- Garam dan gula secukup rasa
- Bawang goreng & daun pudina – untuk hiasan
- Bahan-bahan B (tumis):
- 1 batang kulit kayu manis
- 3 kuntum bunga lawang
- 3 biji buah pelaga
- 4 kuntum bunga cengkih
- ½ sudu teh halba
Cara memasak:
- Beras direndam bersama kacang dhal selama sejam atau lebih kemudian toskan.
- Panaskan minyak sapi di dalam periuk lalu tumis bahan-bahan B hingga wangi.
- Masukkan bahan-bahan kisar, daun salam, serbuk jintan manis, serbuk kunyit dan bawang hiris lalu tumis lagi hingga naik bau.
- Masukkan tomato puri, air, campuran beras dan kacang dhal serta garam dan gula secukup rasa.
- Masak hingga nasi hingga tanak.
- Taburkan bawang goreng dan daun pudina diatas nasi untuk hiasan.
- Jika suka boleh tambah pewarna kuning.
Masa memasak: 30-40 minit
Cara memasak: tumis & rebus
Jenis masakan: hidangan utama
Keistimewaan: rasa kacang dhal dalam setiap gigitan dan harum bau mentega/minyak sapi
Anggaran kos: RM10 untuk 4 orang makan
Info chef: nasi kacang dhal enak dimakan dengan apa saja terutama sambal tumis
RESIPI: CHEF SUE M.ARUKIN
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Gulai Pede Cara Mak, Resipi Lauk Kampung Istimewa Orang Pahang
Resipi Kuih Gunting Mudah & Dijamin Menjadi. Sedap Buat Macam Ni!
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official

