Buat Sendiri Pes Tomyam Homemade Yang Padu, Boleh Guna Untuk Masakan Bergoreng Juga

Share

Hidangan tomyam memang sudah jadi sebahagian hidangan biasa kita di rumah, malah pes tomyam sentiasa ada stok. Tapi ada juga yang merasakan pes tomyam segera ini tak kena dengan selera. Tak cukup kick!

Kalau begini boleh cuba buat sendiri pes tomyam ikut cita rasa kita, yang lebih padu! Caranya ada dikongsi oleh Myss Deen. Pes tomyam homemade ini dah tentulah terjamin kebersihan dan halal. Selain untuk dijadikan tomyam, pes ini juga sesuai digunakan untuk masakan bergoreng.

Buat sendiri pes tomyam homemade yang sedap

Pes tomyam homemade yang sedap dan tanpa ragu-ragu. Versi ini sudah saya upgrade, lebih sedap dan sangat disukai kenalan-kenalan dan pelanggan saya. Pes ini juga sesuai untuk digunakan untuk masakan bergoreng yang lain seperti bihun , sayur, nasi, ikan dan lain-lain.

Bahan-bahan

Cili kering -beli kuantiti RM3, belah dua untuk buang biji, cuci dan toskan.
20 cili merah
6 biji bawang merah besar ( boleh guna bawang kecil tapi lebihkan kuantiti) dan 2 biji besar bawang Holland belah 8.
5 pokok ketumbar -keratan pangkal batang dan akar
Halia sebesar ibu jari, lengkuas juga
2 labu bawang putih
8 batang serai gemuk -hiris kasar

15 helai daun limau purut (dikira bercantum), dibuang urat tengahnya untuk mengelakkan rasa pahit ( saya guna daun lebar-lebar)
1 sudu besar belacan yang disangai/bakar

Nota: Cara dan bahan-bahan (boleh dikurangkan atau ditambah mengikut cita rasa

Cara penyediaan
  1. Minyak masak 1½ cawan digunakan untuk menggoreng bahan-bahan bergilir-gilir sehingga layu/ nàik bau kemudian ditoskan.

2.Kemua bahan-bahan di atas dikisar tanpa air, hanya gunakan baki minyak menggoreng saja.

3. Sediakan satu mangkuk (saiz mangkuk sup) ikan bilis dan jumlah yang sama untuk udang kering. Dibasuh dan disangai/bakar kemudian dikisar halus.

4. Kesemua bahan-bahan di atas dimasak dalam kuali hingga naik minyak, berbau wangi dan warna berubah gelap. Kena selalu gaul dan balik dengan api sederhana.

5. Kemudian masukkan bahan berikut;

-1 bekas penuh pes asam jawa.
-Gula Thai lebih kurang 4 ke 6 sudu besar mengikut cita rasa atau gula lain-lain.
-1 ke 1½ cawan sos ikan (perlu terasa lebih masin dari kebiasaan kita masak lauk)
-2 ketul kiub ayam (jika suka)
-2 biji jus limau nipis

6. Masak lagi sehingga kesemuanya sebati dan sudah betul-betul matang.

7. Selepas masak, sejukkan dan boleh disimpan dan digunakan mengikut cara yang anda suka.

Ini adalah cara melalui RnD dan pengalaman saya. Diharap ada kebaikan perkongsian ini.

Sumber: Myss Deen

 

Published by
Rose