Buat Sendiri Roti Boy Lembut Di dalam & Rangup Di Luar, Ini Caranya.

Share

Siapa suka Roti Boy atau dikenali juga sebagai Mexican Bun atau Mocha Bun yang banyak dijual di kedai-kedai bakeri atau pasaraya utama?  Mesti ramaikan, lagi-lagi kalau makan panas-panas, terasa lembut tekstur bun dan  garing topping kopi di atasnya. Ditambah pula dengan lemak filling mentega di dalamnya. Memang terbaik, tapi kalau nak buat sendiri ini tip yang boleh membantu Roti Boy yang korang buat sehebat bakeri punya.

Pastikan Adunan Roti Diuli Hingga Sebati

Jika mahukan tekstur lembutm korang kena ulinya sehingga elastik, kalau nak tahu ia sudah elastik apabila adunan di Tarik kedua-dua sisi adunan tidak putus dan tidak lekat pada tangan. Selepas diuli, rehatkan adunan untuk proses proofing. Proses ini bertujuan untuk mengempukkan roti. Semakin lama direhatkan (minima satu jam) adunan akan semakin mengembang dan tekturnya kian lembut apabila dibakar nanti.

Gunakan Mentega Beku Untuk Filling

Rotiboy adalah bun versi klasik yang menggunakan inti atau filling mentega masin (salted butter). Filling inilah yang membuatkan bun ini sedap kerana bergabung dengan manis gula dan pahitnya kopi pada bun.  Agar fillingnya cair sempurna setelah roti dibakar, korang gunakan mentega yang sejuk atau beku sebagai inti. Dengan cara ini mentega akan cair semasa proses bakar tetapi tidak sampai melebabkaan tekstur luar roti. Seperkara laagi, semasa memasukkan filling mentega, pastikan anda membentuk doh bulat dengan baik supaya filling tidak keluar semasa membakar.

Tekstur Topping Perlu Pekat

Selepas diisi filling, bun yang telah dibentuk bulat perlu dipaipkan dengan topping kopi di atasnya. Topping ini mesti meliputi permukaan roti, supaya seluruh permukaan diliputi topping sepenuhnya, paipkan toping  seperti  lingkaran ubat nyamuk dengan tekstur topping sedikit pekat supaya ia tidak meleleh  ke sisi  bun semasa proses membakar.  Apabila topping telah berubah warna kecoklatan selepas dibakar.

Bakar Dengan Suhu dan Waktu Yang Betul

Selain mempengaruhi tekstur roti,  lama waktu membakar dan suhu yang tinggi juga mempengaruhi topping kopinya tau.  Biasanya roti dipanggang antara 170-200C.  tetapi untuk Rotiboy atau Mocha Bun cukup sekadar 170-180 C sahaja. Tetapi disebabkan saiz dan jenis oven tidak sama, maka waktu membakar dan suhu juga berbeza. Hanya korang saja yang kenal karektor oven sendiri. Untuk Mocha Bun ini ia akan masak sempurna apabila topping kopinya sudah meleleh menyeliputi permukaan roti dan teksturnya rapuh . Jika terlalu lama dibakar atau terlalu tinggi suhu, bun akan menjadi kering dan fillingnya tidak akana meleleh cantik seperti korang harapkan.

Resipi Roti Boy

Bahan-bahan:

Inti:

  • 100gm mentega bergaram | dilembutkan
  • 1/4 sudu teh esen vanila
  • 35 gram gula perang

Bahan Topping

  • 100gm mentega | dilembutkan
  • 80gm gula aising | diayak
  • 2 biji telur | dipukul sedikit
  • 3 sudu makan Nescafe |  dicampurkan dengan 2 sudu besar air
  • Secubit serbuk kayu manis, boleh dicampur ke dalam esen kopi
  • 100gm tepung serbaguna |  diayak

Bahan Untuk Doh Manis

  • 500gm tepung roti | diayak
  • 20gm tepung susu, diayak
  • 75gm gula pasir
  • 1 sudu the garam
  • 1 1/2 sudu teh yis segera
  • 1 biji telur | dipukul sedikit
  • 270gm (270 ml) air atau susu segar (kalau sudah menggunakan susu tepung jangan guna susu tapi gunakan air)
  • 60gm mentega | dilembutkan

Cara Memasak:

  1. Pukul mentega dalam pengadun pada kelajuan sederhana selama 3 minit. Masukkan esen vanila dan gula perang dan pukul hingga sebati.
  2. Tuangkan adunan ke dalam mangkuk dan bekukan dalam peti sejuk. Bahagikan adunan inti kepada 10 gm dan bulatkan dan simpan dalam peti sejuk sehingga sedia untuk digunakan.
  3. Cara untuk lapisan atas: Pukul mentega dan gula aising pada kelajuan sederhana selama 5 minit sehingga adunan ringan dan gebu.
  4. Masukkan telur sedikit demi sedikit. Masukkan esen kopi. Masukkan tepung dan putar pada kelajuan perlahan sehingga semuanya sebati.
  5. Masukkan ke dalam beg (‘piping bag’) dan sejukkan dalam peti sejuk sehingga sedia untuk digunakan.
  6. Cara untuk doh manis: Campurkan tepung yang telah diayak, gula pasir dan garam di dalam pengadun dan putar pada kelajuan perlahan selama 1 minit.
  7. Masukkan yis, telur dan air. Putar selama 1 minit pada kelajuan perlahan dan kemudian pada kelajuan sederhana selama 8 minit.
  8. Masukkan mentega dan gaul hingga sebati selama 5 minit pada kelajuan sederhana sehingga adunan roti menjadi lembut dan licin.
  9. Kemudian bulatkan adunan setiap bahagian 55 gram (boleh dapat 17 bahagian). Bentukkan bulat. Tutup dengan kain lembab dan biarkan selama 10 minit.
  10. Cara untuk membuat Roti Boy: Menggunakan telapak tangan leperkan adunan roti. Letakkan inti ditangan dan tutup dan kemaskan (mesti tutup betul kalau tidak sewaktu membakar inti akan terkeluar dan cair).
  11. Bentukkan bulat dan letakkan atas loyang pembakar yang telah disapu mentega. Ulangi untuk bulatan roti yang lain. Letakkan roti pada jarak 7.5cm di atas loyang pembakar. Ketepikan untuk diperap selama 45 minit di dalam suhu suam.
  12. Paipkan lapisan atas di atas roti bentuk spiral (bulat-bulat) bermula dari tengah. Bakar pada suhu 170 darjah C selama 15-20 minit atau sehingga roti kekuningan.
Published by
Norasida Myasin