Roti canai atau roti paratha bagaikan sudah sinomin dengan kehidupan masyarakat Malaysia. Pagi-pagi, ramai cari roti canai terutamanya di kedai mamak. Dimakan dengan kuah kari ikan atau kuah dhal dan sambal tumis, memang mengasyikkan.
Kali ini RASA ingin berikan resipi buat sendiri roti canai di rumah. Tak perlu ditebar sebab itu memerlukan kepakaran sebagai penebar roti cana. Hanya perlu dileperkan sahaja. Tipnya, selepas roti canai masak, tepuk-tepukkan sahaja supaya rotinya menggebu.
Jom kita lihat resipinya.
BAHAN-BAHAN
2 cawan tepung gandum
1 sudu besar gula
Garam secukup rasa
3 sudu kecil minyak masak
1 sudu besar yis
150 ml air suam
CARA MEMBUAT
1. Sebatikan tepung, gula, garam, minyak masak dan yis ke dalam satu bekas.
2. Masukkan air sedikit demi sedikit sambil menguli.
3. Apabila adunan semakin OK, teruskan menguli. Tidak perlu masukkan air lagi. Uli sehingga doh tidak melekat pada tangan.
3. Uli sehingga doh semakin sebati dan agak lembut.
4. Kemudian tutup bekas dengan tuala lembap. Perap selama 1 jam. Doh akan kembang.
5. Buka tuala dan tumbuk-tumbuk doh supaya anginnya keluar.
6. Ambil sejemput doh. Bulat-bulatkan ikut besar yang anda mahukan.
7. Biarkan seketika.
8. Ambil satu dan mula mencanai. Leperkan doh nipis-nipis.
9. Oleskan kuali leper dengan sedikit minyak masak. Letakkan roti canai yang telah dileperkan.
10. Biarkan masak, kemudian terbalikkan.
11. Angkat dan tepuk-tepukkan supaya gebu.
12. Siap!
Roti canai sedap dimakan dengan kuah kari.
Selamat mencuba!