Buat Solok Lada Guna Resipi Bonda, Memang Sedap Terangkat!

Share

Buat penggemar nasi kerabu, pasti biasa tengok menu solok lada hijau ini. Solok lada ini adalah sejenis lauk sayuran dari Kelantan yang melengkapi hidangan nasi kerabu.

Solok lada hanya berintikan kelapa parut dan juga isi ikan, sangat sedap dimakan ketika panas. Pemilihan lada yang digunakan juga main peranan.

Apa kata jom kita buat menu mudah ini daripada Saripah Che Mat.

SOLOK LADA KELANTAN

BAHAN-BAHAN:

10-12 tangkai cili hijau besar
5-6 ekor ikan sardin/kembung/pelaling mentah (ikut berapa banyak ikan nak diguna)
1 cawan kelapa parut (bahagian putih saja)
2-3 batang serai – beli online di sini


½ inci halia – beli online di sini
3-4 ulas bawang merah atau ½ biji bawang besar
1-2 ulas bawang putih
1 kotak kecil santan – beli online di sini 
Gula
Garam
Cuka (jika tak suka, boleh gunakan jus limau kasturi)

CARA-CARA:

1. Cili hijau dipotong tengah sampai ke hujung, namun jangan sampai putus ye. Keluarkan biji di dalamnya. Basuh dan toskan. Ketepikan.


2. Tumbuk serai dan halia hingga hancur. Kemudian, masukkan bawang merah/besar, bawang putih, tumbuk lagi. Akhir sekali, masukkan kelapa dan tumbuk lagi.


3. Buang kulit ikan dan rata atau leperkan isi ikan tersebut. Kemudian, masukkan ikan ke dalam bahan yang ditumbuk tadi. Masukkan sedikit demi sedikit. Tumbuk sehingga hancur. (letak banyak isi ikan dan kelapa sikit saja pun tak apa. Rasa lebih sedap)


4. Selepas semua siap ditumbuk, alihkan ke dalam mangkuk. Kemudian, masukkan gula, garam, serbuk lada hitam dan cuka. Gaul bagi sebati, biar ada rasa masam, manis masin, pedas. Pendek kata, inti itu menjadi sesedap rasa ikut selera masing-masing.


5. Kemudian, sumbat inti tadi ke dalam cili hijau besar yang sudah dibelah. Isi inti sedang-sedang saja.


6. Susun dalam periuk. Tuangkan santan sehingga cili itu separuh tenggelam. Jangan tambah air ye, hanya gunakan santan saja.


7. Letak periuk atas dapur. Pastikan periuk ditutup supaya apabila mendidih, santan semua menutupi cili. Api jangan terlalu kuat, biarkan sederhana atau perlahan kerana tidak mahu santan cepat kering.


8. Selalu periksa dengan buka tutup periuk, tengok takut santan kering sangat. Bila santan tinggal sikit, tutuplah api. Solok lada dikira masak apabila cili dah bertukar warna.

Kredit resipi & foto: Saripah Che Mat

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap dan cepat dimasak di laman web Rasa:

Tonton lebih banyak video masakan mudah dan sedap di YouTube @Majalah Rasa Official:

Published by
Ibnatie -Aziza Mat Roff