Terletak di Parit Yusof, Batu Pahat, Johor, kedai bahan kek dan roti, Jihah and The Baking Room Solution memberikan kemudahan bagi penduduk setempat untuk mendapatkan pelbagai produk bakeri. Tidak perlu keluar ke pekan atau bandar berdekatan, penduduk sekitar kampung itu mudah untuk membuat pelbagai jenis kuih dan kek.
Menurut empunya kedai, Nornajihah binti Mohd Noh, idea untuk membuka kedai bahan kek dan roti di dalam kampung itu timbul apabila melihat kelompongan jenis perniagaan itu di kawasan tersebut.
“Di sini memang belum ada lagi kedai bahan kek dan roti. Jika orang kampung hendak membuat kek atau roti, mereka perlu keluar ke pekan atau bandar berdekatan. Hal itu mengambil masa yang agak lama. Jadi, saya buka kedai seperti ini di sini bagi memudahkan orang ramai. Tak perlu nak keluar jauh terutama jika kita cuma perlukan seketul mentega kerana terlupa beli. Boleh datang ke kedai saya,” katanya.
Sejak 3 Januari 2021 Jihah and The Baking Room Solution
mula beroperasi sepenuhnya. Alhamdulillah, kedai ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada masyarakat setempat kerana kewujudannya amat diperlukan.“Kedai kami mula beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ketika ini muncul ramai baker baru kerana masing-masing ingin membuat kuih dan mencari pendapatan sampingan ketika PKP. Namun, cabaran kami adalah dari segi harga kerana ketika itu barang-barang naik harga,” katanya lagi.
Pun begitu, Nornajihah cuba memberikan yang terbaik buat semua pelanggannya.
Jihah and The Baking Room Solution
Lokasi: Parit Yusof, Batu Pahat, Johor
Waktu Operasi: 9 pagi hingga 6 petang setiap hari
Kredit: facebook Jihah and Baking Room Solution – Parit Yusof