Ruang dapur adalah antara ruang yang paling sibuk di dalam sebuah kediaman. Malah tidak dinafikan juga ruang tersebut biasanya akan digunakan sepanjang hari oleh penghuninya. Menyedari hal ini, ramai antara kita akan melengkapkan ruang dapur dengan barangan elektrik yang dapat membantu dan memberi kemudahan serta keselesaan kepada seisi keluarga.
Penggunaan alatan seperti penghawa dingin, peti sejuk, ketuhar gelombang mikro, periuk nasi elektrik dan sebagainya tidak dapat dinafikan keperluannya. Penggunaan tenaga elektrik yang tidak cekap tentu sahaja akan menggalakkan pembaziran dari segi kos perbelanjaan. Tahukah anda, sebenarnya penggunaan tenaga elektrik boleh dijimatkan?
Peti sejuk dan penyejuk beku
Peti sejuk antara peralatan elektrik yang paling mahal kos pembiayaannya di dalam rumah. Ini kerana ia digunakan sepanjang hari tanpa henti. Oleh itu potensi untuk menjimatkan penggunaan tenaga adalah tinggi.
Apa yang perlu anda lakukan
- Pilih peti sejuk yang menepati keperluan keluarga. Peti sejuk bersaiz sederhana akan menggunakan tenaga elektrik kurang berbanding saiz peti sejuk yang lebih besar.
- Jika hendak meninggalkan rumah untuk jangka masa yang panjang, kosongkan peti sejuk dan tutup suisnya dan biarkan pintu terbuka.
- Susun makanan di dalam peti sejuk dengan kemas supaya aliran pengudaraan berjalan dengan lancar.
- Pastikan makanan yang ingin disimpan di dalam peti sejuk dibiarkan sejuk dahulu jika panas.
- Elak daripada kerap membuka pintu peti sejuk atau jangan sengaja membiarkan pintu peti sejuk terbuka begitu sahaja.
- Ruang penyejuk beku sebaiknya sentiasa penuh bagi mengelakkan pembentukan ais.
- Nyah fros penyejuk beku hanya dilakukan apabila terdapat fros setebal 6mm atau ¼ inci.
- Selaraskan suhu pada -18 C dan ia akan membantu menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 60kWj setiap tahun-
Cerek elektrik
Cerek elektrik menggunakan tenaga yang kurang jika ingin dibandingkan dengan penggunaan alat pemanas untuk mendidihkan air. Di dalam cerek elektrik terdapat elemen pemanas yang diletakkan terus di dalam cerek. Sistem ini berfungsi untuk mengurangkan kehilangan haba terjadi dan secara tidak langsung penggunaan elektrik dapat dijimatkan. Pun begitu ada cara lain yang difikirkan boleh dipraktikkan untuk tujuan penjimatan penggunaan tenaga elektrik.
Apa yang perlu anda lakukan :
- Gunakan dapur gas untuk mendidihkan air kerana ia lebih murah dan efisien.
- Jika ingin membeli cerek elektrik, pastikan saiznya bersesuaian dengan keperluan. Lebih besar saiz cerek bermakna lebih masa yang diambil untuk memanaskan air dan ini bermakna penggunaan tenaga elektrik menjadi lebih tinggi.
Ketuhar gelombang mikro
Ketuhar gelombang mikro menjadi pilihan kerana ia menggunakan tenaga yang kurang dan dapat memasak dengan lebih cepat. Ia juga boleh digunakan untuk tujuan memanaskan makanan.
Menggandakan penjimatan tenaga elektrik, apa yang perlu anda lakukan :
- Padam ketuhar awal lima minit sebelum had masa memasak kerana ia dapat menggunakan haba yang tersimpan di dalam ketuhar tersebut untuk makanan masak sepenuhnya. Ini akan membantu menjimatkan penggunaan tenaga dan kos elektrik.
- Pastikan pintu ketuhar sentiasa ditutup semasa memasak. Jika ingin memeriksa masakan lihat melalui pintu ketuhar sahaja.
Hud dapur
Penggunaan hud juga memerlukan sumber tenaga elektrik untuk berfungsi. Namun kosnya tidaklah mahal. Pun begitu ia perlu juga digunakan secara cekap untuk memastikan penjimatan dapat dilakukan.
Apa yang perlu anda lakukan :
- Pilih hud dapur yang cekap tenaga kerana ia mampu menjimatkan pembayaran bil elektrik.
- Hud yang menggunakan motor lebih berpotensi tinggi untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik dan tahan lebih lama.
- Padamkan suis setiap kali selesai memasak.
INFO:
Penggunaan elektrik sebenarnya dapat dijimatkan jika digunakan secara cekap. Penjimatan yang dapat dibuat pastinya akan dapat mengurangkan kos perbelanjaan bil bulanan dan secara tidak langsung tabungan dapat dibuat.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI