Sedapnya Apam Bakar Kelantan ni. Ada juga yang memanggilnya dengan nama Apam Mayat. Resipi ini warisan dari orang-orang lama menyebabkan ia sentiasa digemari ramai tanpa mengira usia. Kalau makan panas-panas, memang layan. Ada pula kelapa parut. Waduh…Lagi berselera. Cubalah. Resipi perkongsian saudari Zaimah Zakaria ni antara yang mudah.
RESIPI APAM BAKAR KELANTAN
BAHAN-BAHAN:
- 300gm tepung beras
- 130gm gula pasir
- 1 sudu teh garam
- 1 kotak kecil santan (200ml)
- 2 sudu teh yis/mauripan
- 4-5 biji pisang mas/berangan
- 4 ketul tapai ubi
- 1 sudu teh lada hitam (*)
- 1 inci lengkuas (*)
- 1 inci halia (*)
- 2 biji bawang merah kecik (*)
- 200ml air (*)
CARA MEMASAK:
1. Kisar bahan-bahan bertanda (*) kemudian tapis dan ambil airnya sahaja. Sukat dan ambil 200ml air kisaran tadi.
2. Dalam mangkuk berasingan, lenyek pisang, tapai ubi bersama garam dan gula hingga hancur. 3. Masukkan tepung beras dan santan. 4. Masukkan yis ke dalam bekas berisi air kisaran bahan yang ditapis tadi. Kacau sebati. 5. Tuang ke dalam bekas berisi tepung tadi. Adun sebati dan perap selama 2 jam. 6. Untuk memasaknya, panaskan kuali dan sapu sedikit minyak. Tuang 2 senduk adunan ke dalam kuali. 7. Bila bahagian bawah apam dah masak, balikkan dan biarkan masak.
8. Bila apam kelihatan seperti dalam gambar, angkat dan nikmati segera bersama kelapa parut yang telah digaul dengan secubit garam.
Kredit resipi & foto: Zaimah Zakaria