Makan

Cara Buat ‘One Pot’ Nasi Ayam. Ayam & Nasi Masak Sekali, Lagi Senang

Share

Teringin nak makan nasi ayam buat sendiri, tapi nak yang mudah masak. Kalau begini cuba buat ‘one pot’ nasi ayam, cara masak nasi ayam super senang perkongsian Khairul Abdullah. Sekali masak terus siap nasi dan lauk!  Masak nasi dan ayam sekali saja dalam satu periuk.

Kata Khairul kaedah ‘one pot’ nasi ayam ini memang mudah, yang baru belajar menu ini pun confirm boleh buat dan rasanya pun sedap.

Cara buat one pot nasi ayam

 

Bahan-bahan untuk nasi dan lauk

1 ekor ayam saiz kecil – dibersihkan dan potong 4 atau 8 dan perap dengan sedikit garam. Buang bahagian kulit berlemak dan potong kecil supaya dapat dalam 2 sudu.
2 pot beras -cuci dan toskan.
4 ulas bawang putih -dihiris nipis
1 inci halia dihiris nipis
1 helai daun pandan -dicarik dan disimpul mati
2 pokok daun bawang.
50gm butter/marjerin.
1 sudu besar minyak bijan.

Cara masak

1. Rebus bahagian ayam yang bertulang dan kaki. Masukkan stok/kiub pati ayam dan sepokok daun bawang. Rebus sampai lembut elok dan ketepikan.

2. Panaskan mentega dan minyak bijan kemudian goreng lemak ayam sampai keperangan. Masukkan bawang putih halia dan daun pandan, goreng lagi sehingga naik bau.

 

3. Kemudian masukkan baki daun bawang yang sudah dipotong. Kacau sekejap dan terus masukkan beras, kacau sebati. Masukkan air rebusan ayam tadi dan sukatan ikut jenis beras yang digunakan. Masukkan sedikit garam atau boleh jika nak masukkan 1-2 sudu pati ayam dan kacau sebati.

 

 

4. Jika nak masak dalam periuk elektrik maka bolehlah pindahkan ketika ini. Susun ayam di bahagian atas elok-elok dan tanak seperti biasa hingga nasi masak.

 

 

Selepas nasi masak, jika kurang gemar ayam putih ‘moist’ begitu boleh keluarkan dari periuk. Buang sisa nasi yang melekat kemudian goreng dengan api yang kuat sekejap sahaja hingga garing dan rangup. Keluarkan dan potong untuk dihidangkan.

Cara buat sambal
Masukkan 2 biji cili merah, 2 ulas bawang putih, 1 inci halia, 1 biji tomato, perahan limau dan juga sedikit air rebusan ayam dan blend. Siap.

Cara buat kicap
Goreng 2 ulas bawang putih dan sedikit halia guna minyak bijan sehingga keperangan. Angkat dan masukkan dalam mangkuk. Tambah sos tiram, kicap, sedikit gula, sedikit air rebusan ayam lalu kacau sebati. Siap.

Ceduk nasi, potong ayam dan hidangkanlah dengan hirisan timun, tomato daun bawang dan daun ketumbar. Nasi ayam ini kalau makan saja pun sedap.

Selamat mencuba.

Sumber: Khairul Abdullah

 

Published by
Rose