Cara Buat Popia Basah Sedap Secara Homemade.

Share

Popia basah memang sedap. Kombinasi kulit yang lembut, inti serta sos yang enak menjadikan hidangan ini antara yang dicari bila ke pasar malam. Nak cuba buat sendiri? Resipi perkongsian saudari Ziela Lewis ni antara yang mudah dan terbaik yang boleh dicuba. Jom lihat bahan-bahan yang diperlukan.

 

RESIPI POPIA BASAH HOMEMADE

BAHAN KULIT POPIA:

  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 biji putih telur
  • 3/4 cawan air
  • 2 sudu makan cuka
  • Secubit garam

CARA MEMBUAT:

  1. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk. Gaul sebati. Boleh guna tangan atau sudu. Jika adunan nampak pekat, tambah sedikit air. Tutup dan perap selama 30 minit.
  2. Selepas 1/2 jam, panaskan kuali leper atau non-stick. Ambil sejemput adunan tepung tadi dan lenserkan di atas kuali nipis-nipis.
  3. Biar seketika dan angkat kulit popia perlahan-lahan dengan menariknya dari tepi. Ulang proses hingga habis.
  4. Kulit popia ini boleh ditindan kerana ia tidak melekat.

 

BAHAN SOS POPIA:

  • 12-14 tangkai cili kering – buang biji, rebus dan kisar dengan 1 cawan air.
  • 1 biji bawang besar
  • 5 ulas bawang putih
  • 2-3 sudu makan gula perang
  • 1 sudu makan gula pasir
  • 1 sudu makan kicap manis
  • Minyak untuk menumis

CARA MEMBUAT SOS:

  1. Kisar bawang besar dan bawang putih hingga halus. Pada masa yang sama, panaskan minyak dalam periuk. Tumis bahan kisar hingga wangi.
  2. Masukkan cili kisar dan masak hingga pecah minyak.
  3. Tambahkan gula perang, gula pasir dan kicap manis. Masak guna api perlahan hingga pekat.
  4. Perasakan dengan garam secukupnya. Angkat.

BAHAN INTI POPIA:

  • Sengkuang – hiris nipis/memanjang
  • Tauge – dibersihkan
  • 1/2 biji kubis – racik halus
  • 1 batang lobak merah – hiris memanjang
  • Segenggam udang – buang kepala dan ekor. Potong kecil
  • 1/2 biji bawang besar – cincang halus
  • 2 ulas bawang putih – cincang halus
  • Sedikit udang kering – tumbuk halus
  • Garam secukupnya
  • 2 sudu makan minyak untuk menumis

CARA MENYEDIAKAN INTI:

  1. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis udang, bawang besar dan bawang putih hingga wangi dengan menggunakan api sederhana.
  2. Masukkan lobak merah dan kubis. Kacau hingga layu.
  3. Tambahkan tauge, sengkuang, udang kering dan garam. Kacau sebati dan rasa garamnya. Pastikan inti dimasak sekejap sahaja. Angkat.

BAHAN TABUR:

  • Kacang tanah – disangai, dibuang kulit dan ditumbuk
  • Udang geragau kering – disangai dan ditumbuk halus
  • Bawang goreng secukupnya

CARA MEMBUAT:

1. Sediakan kulit popia dan sapukan sedikit sos.

2. Letakkan inti dengan secukupnya. Gulung kemas. Buat sampai semua bahan habis.

3. Tuang sos diatas popia dan taburkan bahan tabur secukupnya.

4. Sedia untuk dinikmati.

Kredit resipi & foto: Ziela Lewis

Published by
Nur