Salah satu cara menjadikan sesi minum petang lebih indah adalah dengan menikmati puding roti. Walaupun puding roti sedap dimakan begitu sahaja, tapi dengan adanya sos kastard, puding roti anda pasti menjadi lebih menyelerakan.
Apa kata kita lihat puding roti dan sos kastard yang dikongsikan resipinya oleh blogger Nina Mirza.
Jom!
BAHAN-BAHAN
8 keping roti gandum
Sedikit mentega
Sedikit kismis
2 biji telur ayam
2 cawan susu segar
½ cawan gula halus + gula perang
Sedikit garam
Sedikit esen vanila
CARA MEMBUAT PUDING ROTI
1. Panaskan oven pada suhu 170 darjah selsius. Bakar roti gandum sebentar untuk mendapatkan tekstur roti yang lebih padat dan sedap.
2. Ambil loyang dan lenserkan dengan mentega. Roti dipotong-potong kecil. Roti boleh dipotong empat, segitiga ataupun sekadar dikoyak-koyakkan.
3. Susun roti di dalam loyang. Taburkan kismis sehingga roti habis. Sapukan mentega di atas lapisan yang atas sekali. Ketepikan.
4. Dalam mangkuk lain, pukul telur ayam kemudian masukkan susu segar diikuti gula, garam dan esen vanila. Kacau gunakan whisk sehingga sebati.
5. Tuangkan adunan susu segar ini ke atas roti dan tekan-tekan perlahan supaya adunan tadi meresap ke dalam roti. Biarkan seketika dalam tempoh 15 minit
6. Masukkan roti tadi ke dalam oven dan bakar pada suhu 170 darjah selsius selama 40 minit atau sehingga roti masak. Bergantung pada oven masing-masing dan juga ketebalan/ketinggian adunan.
7. Selepas siap dibakar, tunggu sejuk barulah dipotong. Sedap dimakan begitu sahaja atau bersama sos kastard.
BAHAN-BAHAN
1 cawan susu segar (atau 1/2 cawan susu sejat + 1/2 cawan air)
1 sudu besar penuh gula kastor
1 sudu besar penuh tepung kastard
½ sudu kecil esen vanila
CARA MEMBUAT SOS KASTARD
1. Satukan semua bahan untuk sos kastard kecuali esen vanila. Kacau rata dan tapis ke dalam periuk.
2. Masak dengan api kecil sambil dikacau sehingga mendidih. Masukkan esen vanila.
3. Kacau sekejap dan matikan api. Biar sehingga sos kastard hilang wap panas dan simpan dalam peti sejuk. Nanti nak makan tuangkan sos kastard ini di atas puding roti tadi.
Siap!
Selamat mencuba!
Sumber: Blog www.ninamirza.com
Terima kasih berkongsi resipi dengan majalah RASA.