Cara Buat Roti Khurasan Secara Homemade. Sedap & Mudah.

Share

Kalau ke pasar malam, pasti anda pernah jumpa Roti Khurasan ni. Ada sesetengah tempat panggil Roti Baghdad, Roti Arbak, Roti Tabligh dan banyak lagi nama. Tapi bendanya sama je. Inti roti ni boleh dipelbagaikan mengikut citarasa anda. Memang sedap kalau makan panas-panas. Nak rasa? Jom cuba resipi perkongsian saudari Rosliza Wahab ni.

 

RESIPI ROTI KHURASAN

BAHAN-BAHAN:

  • 1 keping dada ayam – cincang
  • 4 biji bawang merah – cincang
  • 3 ulas bawang putih – cincang
  • 2 biji bawang besar – dadu
  • Sedikit lobak merah – dadu
  • 1/2 biji lada benggala – dadu
  • 2 batang timun – dadu
  • 5 biji cili padi – hiris
  • Sos cili dan sos tomato secukupnya – ikut citarasa
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak untuk menumis
  • Roti burger atau roti hotdog
  • Kulit popia secukupnya

 

CARA MEMASAK:

1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih dan bawang merah hingga garing.

2. Kemudian masukkan isi ayam. Setelah nampak hampir masak, masukkan gula dan garam secukupnya.

3. Tambahkan sos cili dan sos tomato secukupnya. Gaul rata dan biarkan sehingga sedikit kering.

4. Masukkan timun, lobak merah, lada benggala, cili padi dan bawang besar. Masak hingga sayur lembut. Angkat dan sejukkan inti.

5. Potong roti dan masukkan inti secukupnya.

6. Ambil kulit popia dan bungkus roti tadi. Sapu air pada kulit popia bagi melekatkannya. ( empunya resipi guna 2 keping kulit popia untuk bungkus 1 roti.)

7. Panaskan minyak masak dan goreng roti tadi. Pastikan minyak betul-betul panas supaya minyak tidak meresap ke dalam roti.

8. Sedia untuk dinikmati.

 

Kredit resipi & foto: Rosliza Wahab

Published by
Nur