Sambal bilis garing memang dah sedap, tapi kena rasa sambal bilis garing salted egg pula. Yang ini memang lagi sedap. Makan sambal ini saja dengan nasi putih pun dah enak.
Sambal bilis garing salted egg ini sesuai dibuat stok di rumah, kalau rasa malas masak boleh goreng telur mata. Rasanya masin, manis, pedas ini memang secukup rasa. Cara membuatnya dikongsi oleh Zainor Shima Ihsan
Resipi sambal bilis garing salted egg
Bahan-bahan:
500 gram cili kering
500 gram ikan bilis dibela
Bawang goreng segera
Gula halus/gula pasir ( dikisar)
Garam bukit
Serbuk cheese (jika suka)
2 ketul kuib ayam
Serbuk perasa
Serbuk salted egg – Bestari.
Minyak masak untuk goreng cili kering/ikan bilis/kuib ayam
Cara membuat:
1. Gunting cili kering kecil-kecil. Tapis dalam bekas jaring untuk buang biji cili. Basuh cili kering sekejap dan tos bagi kering. Kemudian goreng dalam minyak panas seketika, jangan sampai hangus.
Ads
2. Kemudian guna pengirang kering, kisar cili kering tadi bersama sedikit garam. Biar sederhana halus sehingga menjadi cili flakes.
3. Ikan bilis digoreng sampai garing. Bahagi kepada dua bahagian. Kisar sederhana halus dan kasar.
Ads
4. Panaskan minyak, ambil 4 camca besar minyak goreng tadi masukkan 2 ketul kiub ayam dan hancurkan sehingga sebati dengan minyak.
5. Kacau hingga sebati. Guna api paling kecil sekali.
6. Kemudian, masukkan cili kering dikisar, ikan bilis goreng, bawang goreng, gula halus, serbuk perasa, serbuk salted egg, serbuk cheese.
Ads
7. Sentiasa gaul semua bahan tadi dalam 5-8 minit untuk sebatikan bahan-bahan supaya tidak hangus. Kemudian tutup api. Siap! Sejukkan terlebih dahulu sebelum masukkan dalam bekas.
Ada orang suka berbuka puasa dengan hidangan yang kering seperti sambal. Salah satunya adalah sambal ikan yang dimasak dengan bunga kantan.
Kalau korang pencinta masakan tradisional mesti suka makan ikan goreng kemudian buat sambal cili kering. Rasanya memang terbaik, memukau rata sementelah lagi ditambah dengan bunga kantan, aduhai memang sedap sungguh. Nak tau macam mana sedapnya, kenalah cuba menu ni.
SAMBAL IKAN BUNGA KANTAN
BAHAN-BAHAN:
500 gram ikan sardin | potong dua atau tiga bersihkan dan tos
2 kuntum bunga kantan | hiris
6 ulas bawang merah | hiris
1 sudu makan air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Minyak masak secukupnya | untuk menggoreng dan menumis
BAHAN KISAR:
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
15 biji cili padi
CARA MEMASAK:
1. Gaulkan ikan dengan sedikit serbuk kunyit dan garam halus. Ketepikan.
2. Panaskan minyak, setelah panas masukkan ikan. Goreng hingga garing angkat dan ketepikan.
3. Keluarkan minyak, tinggal sedikit untuk menumis.
4. Tumiskan hirisan bawang merah bersama bahan kisar hingga wangi dan garing.
5. Masukkan air asam jawa dan perasakan tumisan dengan garam dan gula secukup rasa.
6. Kecilkan api, kemudian masukkan ikan goreng gaul rata.
7. Seterusnya taburkan hirisan bunga kantan, gaul rata. Tutup api.
8. Sambal ikan sedia dihidangkan panas-panas bersama nasi putih.
Anda tercari-cari menu apa yang ringkas dan sedap lepas raya? Ini ada empat resipi pindang dan singgang yang sangat sedap. Kena gaya makan nasi boleh bertambah-tambah. Sedapnya hirup kuahnya yang masam, manis dan pedas ni memang berbaloilah masak. Tak percaya korang boleh cuba.
SALMON PINDANG MASAM MANIS
BAHAN-BAHAN:
800gm ikan Salmon | potong kepada 6-8 ketul
1 biji limau nipis | ambil jus sahaja
1 1/2 liter air
5 ulas bawang merah | hiris
4 ulas bawang putih | cincang
3 cm halia | hiris nipis
4cm lengkuas | hiris nipis
10-15 biji cili padi
3 batang serai | titik
2 helai daun salam
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh belacan | bakar
3 biji tomato | potong kiub
300gm nanas | potong dadu
Garam dan gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
Perapkan salmon bersama jus limau nipis dengan sedikit garam. Ketepikan dan perat lebih kurang 15 minit, kemudian bilas dengan air bersih.
Masukkan air dalam periuk bersama, hirisan bawang merah dan putih, halia, lengkuas, serai, cili padi serbuk kunyit dan belacan bakar (hancurkan).
Tutup periuk dan biarkan kuah mendidih.
Seterusnya masukkan Salmon hirisan tomato dan nanas.
Seketika kemudian perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
Tutup api, sedia dihidangkan.
ASAM REBUS IKAN KEMBUNG
BAHAN-BAHAN:
4-5 ekor ikan kembung | siang, bersih dan tos
4 keping asam gelugor
1 batang serai | titik
3 cawan air
Garam dan gula secukupnya
BAHAN KISAR HALUS:
5 biji cili merah
5 biji lada hitam
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci lengkuas muda
1 inci kunyit hidup
CARA MEMASAK:
Masukkan bahan-bahan B ke dalam kuali beserta air.
Didihkan hingga mereneh.
Masukkan pula asam gelugor, serai dan ikan.
Biarkan terus mereneh hingga semua bahan sebati.
Sesuaikan rasanya dengan menambah garam dan gula secukup rasa.
Tutup api dan sedia dihidangkan.
PINDANG KUNYIT IKAN KERISI BERSAMA BENDI
BAHAN-BAHAN:
3-4 ekor ikan Kerisik | siang dan cuci bersih
3 batang kacang bendi | buang hujung dan tangkai
3 hirisan lengkuas | ketuk
2 hirisan halia | ketuk
3 hirisan kunyit hidup | ketuk
2 keping asam gelugor
2 batang serai | titik
Air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa
BAHAN KISAR :
2cm kunyit hidup
10 tangkai cili padi
2 tangkai cili merah
3 ulas bawang merah
CARA MEMASAK:
Masukkan air dalam periuk, kemudian campurkan dengan bahan kisar, gaul rata.
Renehkan atas dapur , masukkan hirisan halia, lengkuas,kunyit hidup, serai dan asam gelugor.
Setelah mereneh masukkan ikan. Biarkan kuah terus menereh hingga ikan masak.
Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
Sebelum tutup api masukkan kacang bendi.
SINGGANG DAGING LENGKUAS
BAHAN-BAHAN:
1kg daging batang pinang | hiris nipis, bersih dan tos
2 sudu makan pes cili kering
1 sudu makan budu
1 sudu makan manisan gula Kerek/gula Melaka
1 sudu makan ketumbar biji | kisar kasar
3 keping asam gelugor
4 -5 hirisan lengkuas | titik
1 biji bawang besar | hiris
3 ulas bawang putih | hiris
10 biji cili padi | titik atau hiris
Garam dan gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
Gaulkan daging bersama budu, pes cili kering bersama bahan hirisan dan titik. Gaul rata dan perap seketika (lebih kurang 15 minit).
Masukkan air secukupnya bersama asam gelugor.
Renehkan di atas api sederhana hingga daging empuk dan masak.
Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
Setelah cukup rasa, tutup api dan sedia dihidangkan.
Masakan autentik Johor adalah kepakaran Ketua Wanita UMNO, Batu Pahat, Johor Datin Hajar Abdul Rahman. Beliau membuka rahsia dan petua amalan memasak yang diwarisi dari arwah bapanya kepada RASA. Sajian ni memang bestlah buat berbuka.
Menurut Datin Hajar dia mampu menyediakan tiga jenis lauk pauk dalam masa setengah jam. “Sebenarnya untuk menyedapkan sajian ada langkah urutan dan petuanya yang tertentu. Contohnya dalam masakan Asam Pedas Kerisik, kalau masak lauk ini saya akan memasukkan serbuk lada hitam dan kerisik setelah pes cili kering pecah minyak dan naik bau.
Bila nak masukkan daun kesum saya masukkan batangnya dahulu bersama isi bunga kantan dan setelah mendidih baru dimasukkan daun kesumnya. Batangnya lebih wangi dan masakan jadi lebih lazat. Bagi memekatkan kuah, saya letakkan juga buah keras,” ceritanya membuka petua yang diwarisi dari arwah ayahnya.
Masak Lemak Cendawan juga sungguh lazat. Cendawannya rangup dan kuahnya lemak manis terasa ikan bilisnya. Pesan beliau pilih cendawan hutan yang berkualiti, jika tersalah pilih ia boleh menyebabkan lauk menjadi tidak berapa sedap.
Sambal geledek pula menu ‘wajib’ yang perlu ada di meja hidangan keluarganya.
“Sambal geledek atau sambal ketuk ni sebenarnya boleh dijadikan rencah nasi goreng, jadi jika dibuat lebih pun elok untuk dibuat stok dan jadi rencah kepada lauk lain,” kongsinya lagi.
Jom semak 3 resipi istimewa air tangan Datin Hajar Abdul Rahman iaitu Asam Pedas Kerisik Ikan Merah, Sambal Belacan Geledek dan Masak Lemak Cendawan Hitam.
1. ASAM PEDAS KERISIK IKAN MERAH
BAHAN- BAHAN :
500 gm keping ikan merah (anggaran 2 keping)
3 sudu makan pes cili kering
1.5 sm halia | dikisar
2 ulas bawang putih |dikisar
1 biji bawang besar |dikisar
1/2 sudu makan kunyit serbuk
1/2 sudu makan kerisik
1/2 tangkai bunga kantan | ambil isi dan kelopak dari sebelah hirisan yang dibelah dua
3-4 batang daun kesum
Beberapa helai daun kesum
1/2 sudu makan asam jaya | dicampur suku cawan air
1 sudu teh buah keras
1/2 sudu makan serbuk lada hitam
500 ml atau air secukupnya |bergantung kepada kepekatan yang anda suka
1 biji tomato|dibelah empat
4 batang bendi
Serbuk lada hitam secukup rasa
Gula secukup rasa
Garam secukup rasa
Minyak masak secukupnya untuk menumis
CARA MEMASAK :
Panaskan minyak dalam kuali dan tumiskan bahan-bahan kisar.
Tumis hingga naik bau, dan masukkan pes cili kering dan serbuk kunyit. Gunakan api sederhana, tumis hingga pecah minyak dan wangi. Masukkan batang daun kesum dan air asam jawa.
Kemudian masukkan serbuk lada hitam, kacau dan kemudian masukkan air.
Tutup periuk dan biarkan mendidih. Apabila mendidih masukkan ikan, daun kesum, bunga kantan.
Masukkan buah keras untuk memekatkan kuah. Masukkan pula bendi dan tomato.
Kecilkan api dan biarkan mereneh seketika.
Perasakan dengan garam dan gula
Saiz hidangan : 4 orang
Waktu memasak : 20 minit
Cara memasak : Tumis, didih dan reneh
Jenis masakan : Lauk pauk
Keistimewaan : Resepi asam pedas warisan dari generasi ‘lama’ Johor
Anggaran kos : RM30
SAMBAL GELEDEK
BAHAN-BAHAN :
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 biji bawang besar | dihiris kasar
6 biji cili merah
6 biji cili hijau
2 biji cili padi
Dua genggam bilis
Gula secukup rasa
Minyak masak secukupnya untuk menumis
CARA MEMASAK :
Panaskan minyak dan goreng kesemua bawang, cili merah, cili hijau dan cili padi sampai kekuningan.
Angkat dan toskan.
Kemudian gorengkan ikan bilis hingga garing, angkat dan toskan.
Kemudian tumbuk bawang, cili padi dan hingga lumat, kemudian masukkan gula dan tumbuk sekali.
Masukkan ikan bilis goreng tadi dan tumbuk sampai ikan bilis hancur.
Saiz hidangan : 4 orang
Waktu memasak : 15 minit
Cara memasak : Tumis
Jenis masakan : Sambal
Keistimewaan : Boleh dijadikan rencah nasi goreng jika ada lebihan.
Anggaran kos : RM6
MASAK LEMAK CENDAWAN HITAM
BAHAN-BAHAN:
100 gm cendawan hitam | rendam bagi kembang
3 biji bawang kecil | dikisar
Segenggam ikan bilis | digoreng dan ditumbuk
220 ml santan kotak
2 helai daun limau purut |dicarik
1/4 sudu teh serbuk kunyit
2 batang serai | dititik
1 sudu makan sambal geledek (atau apa apa sambal)
500 ml air
Minyak masak secukupnya untuk menumis
Garam secukup rasa
CARA MEMASAK :
Panaskan minyak dalam kuali.
Tumiskan bawang hingga naik bau dan masukkan serai dan ikan bilis
Masukkan satu sudu makan sambal geledek
Masukkan santan, serbuk kunyit dan kemudian air.
Bila mendidih masukkan cendawan.
Akhir sekali masukkan limau purut dan perasakan dengan garam.
Saiz hidangan : 4 orang
Waktu memasak : 15 minit
Cara memasak : Tumis dan didih
Jenis masakan : Lauk pauk
Keistimewaan : Kuah berlemak dan masam serta cendawan hitam yang rangup
Jom cuba resipi meatball homemade sedap menyengat tanpa MSG! Sihat, mudah disediakan dan sesuai untuk hidangan keluarga. Ikuti langkah mudah ini sekarang.