Sesekali makan Bubur Nasi untuk makan malam memang enak. Bukan setakat dinikmati begitu sahaja, menu ini juga boleh dihidangkan dengan pelbagai lauk kegemaran masing-masing. Cukup mudah dan mengenyangkan. Jika dinikmati begitu sahaja pun sudah cukup menaikan selera. Jom cuba resipi perkongsian saudari Sulizawati Linn Hassan ini. Istimewanya menu ini sebab ia menggunakan beras nasi impit segera. Jadi bubur anda memang bau wangi dan lebih sedap.
BUBUR NASI SPECIAL
BAHAN A:
- 3 paket beras nasi impit – keluarkan beras dari paket nasi impit, cucurkan air & toskan
- 1.5 liter air- kalau nak bubur lebih cair, boleh lebihkan air.
- 3 keping dada ayam- dipotong kecil (nak guna bahagian tulang pun boleh)
- 2 ketul kiub pati ayam- dipecahkan jadi serbuk terlebih dahulu
- 1 inci halia – dimayang halus (*)
- 3 ulas bawang putih- tumbuk halus (*)
- 2 paket sup bunjut (*)
- 1 batang kecil kulit kayu manis (*)
- 1 kuntum bunga lawang (*)
- 1 helai daun pandan- disimpul (*)
- Garam secukup rasa
- 1/2 sudu teh gula
- Sedikit minyak masak
BAHAN B (untuk taburan masa hidang):
- Daun bawang – hiris
- Bawang goreng – digoreng dengan 5 sudu makan minyak bijan
- Cili merah – hiris
- Lada sulah- renjiskan semasa hidang
CARA MEMASAK:
- Panaskan sedikit minyak dalam periuk dan tumis bahan-bahan bertanda (*) hingga wangi dan naik bau.
- Kemudian masukkan isi ayam. Kacau selama 1 minit.
- Seterusnya masukkan air, kiub pati ayam dan beras. Masak guna api sederhana sehingga beras menjadi bubur.
- Perasakan dengan garam dan gula. Rasa terlebih dahulu untuk pastikan perisanya cukup.
- Padamkan api dan tabur bahan-bahan B sebelum dinikmati.
Kredit resipi & foto: Sulizawati Linn Hassan