
Minyak bawang putih ni memang banyak guna dalam masakan. Selain boleh digunakan untuk menumis, ia juga sangat enak jika dimakan bersama sup. Kalau nak masak apa-apa menu, hanya perlu ceduk dan terus masak. Tak perlu dah susah-susah tumbuk dan panaskan minyak. Resipi yang dikongsi oleh saudari Sharinaz Redwan memang sangat mudah. Puan-puan boleh cuba.
CARA BUAT MINYAK BAWANG PUTIH HOMEMADE
BAHAN-BAHAN:
- 3-4 labu bawang putih – jumlah bergantung kepada banyak mana anda nak buat.
- Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Kupas bawang putih, bersihkan dan keringkan dengan tisu.

2. Masukkan ke dalam pengisar makanan ( food processor) dan cincang tanpa guna air.

3. Panaskan minyak dengan banyak menggunakan api sederhana.

4. Tumis bawang putih tadi hingga garing dan keperangan. Angkat.

5. Bila minyak dah sejuk, boleh masukkan ke dalam bekas bersesuaian dan sedia digunakan dalam masakan.

6. Minyak ini tidak perlu disimpan dalam peti sejuk. Cukup disimpan di ruang biasa sahaja.

Kredit resipi & foto: Sharinaz Redwan
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Cara-Cara Buat Cili Jeruk Yang Sedap, Rangup & Tahan Lama

Cili jeruk adalah antara hidangan sampingan yang boleh menaikkan selera makan. Kalau makan mi, nasi atau kuetiau goreng, memang sedap kalau dinikmati bersama cili jeruk ni. Kuah jeruk tu kalau cicah bersama ikan goreng pun sedap tau. Bagi anda yang belum tahu cara-cara nak buat cili jeruk yang sedap & tahan lama, boleh cuba resipi ni. Boleh buat makan sepanjang bulan puasa ni.
CILI JERUK HOMEMADE
BAHAN-BAHAN:
- Cili hijau segar – basuh dan lap kering-kering.
- Balang kaca – basuh & lap kering-kering
- Gula secukupnya
- Garam secukupnya
- Cuka makan
CARA MEMBUAT:
1. Pilih cili yang segar dan basuh bersih. Kemudian keringkan hingga tiada kesan air.

2. Untuk menyimpan cili jeruk, guna balang kaca. Pastikan balang juga dibasuh bersih dan di lap hingga kering.

3. Potong cili. Jangan potong terlalu tebal atau terlalu nipis. Sedang-sedang sahaja. Kemudian tampi sedikit bagi mengeluarkan bijinya.

4. Ambil cili dan masukkan separuh ke dalam balang.

5. Seterusnya masukkan 2 sudu makan gula. Kemudian masukkan lebihan cili potong tadi dan masukkan 2 sudu makan gula lagi.

6. Masukkan sedikit garam dan tuang cuka mengikut jumlah yang dikehendaki. ( empunya resipi letak cuka pada paras cili.)

7. Tutup penutup balang dan goncangkan. Ia bertujuan untuk melarutkan gula dan garam yang dimasukkan tadi.

8. Simpan semalaman dan cili jeruk ni boleh dinikmati pada keesokan harinya.

INFO RASA:
- Cili dan balang perlu kering dan tidak ada air supaya cili yang dijeruk tahan lama.
- Cili jeruk ini boleh tahan berbulan-bulan.
- Boleh disimpan dalam peti sejuk atau letak dekat meja dapur sahaja pun boleh.
Kredit resipi & foto: Noriffah Mohd Hassan
Rahsia Sambal Lebih Sedap, Bubuh Petai Je

Selera orang Melayu, memang dekat sungguh dengan petai. Selain dibuat ulam, petai selalunya dicampur dalam sambal. Itulah sebenarnya rahsia yang menjadikan sambal lebih sedap. Walaupun berbau, tapi rasa petai yang sukar nak digambarkan itu boleh meningkatkan selera makan. Petai pun bukan main harganya sekarang ni kan?
SAMBAL SOTONG PETAI

Bahan-bahan
300 gram sotong (dibersihkan dan hiris bulat)
150 gram isi petai
1/2 biji bawang besar (dihiris)
3 ulas bawang merah (dikisar halus)
3 ulas bawang putih (dikisar halus)
2 cm halia (dikisar halus)
6 tangkai cili kering (dikisar halus)
1 sudu makan air asam jawa
1 sudu makan sos cili
1 sudu makan sos tiram
Garam dan gula secukupnya
Minyak masak untuk menumis
Cara membuat
1. Panaskan kuali, tumiskan bahan kisar sehingga pecah minyak.
2. Masukkan petai dan hirisan bawang besar, kacau lagi.
3. Kemudian masukkan sotong, air asam jawa, sos cili dan sos tiram.
4. Biarkan mereneh lebih kurang tiga minit.
5. Akhir sekali lengkapkan rasa dengan garam, gula dan perasa secukupnya.
6. Angkat dan hidangkan
SAMBAL GORENG PETAI BILIS

Bahan-bahan
100 gm ikan bilis
2 papan petai (kikis kulit dan hiris)
5 tangkai cili merah (kisar)
5 tangkai cili padi (kisar)
3 ulas bawang merah (kisar)
2 ulas bawang putih
1 biji bawang merah (hiris bulat)
Sedikit air asam jawa
Garam dan gula secukupnya
Minyak masak untuk menggoreng dan menumis
Cara membuat
1) Panaskan minyak, goreng ikan bilis sehingga garing dan ketepikan.
2) Goreng petai seketika. Angkat dan ketepikan.
3) Keluarkan minyak masak tapi tinggalkan sedikit untuk menumis.
4) Tumis bahan kisar sehingga pecah minyak. Masukkan air asam, garam, gula dan perasa secukupnya.
5) Kecilkan api, biarkan tumisan garing.
6) Akhir sekali masukkan ikan bilis dan petai goreng, gaul rata dan tutup api.
SAMBAL TEMPOYAK PETAI BILIS

Bahan-bahan
4 genggam ikan bilis (dibersihkan)
2 batang serai (dititik)
4 papan petai masak (dikupas dan belah dua)
1 helai daun kunyit (diracik halus)
1 senduk tempoyak
1 sudu makan gula
Sedikit minyak masak
2 helai daun kesum (diracik)
Garam dan gula secukup rasa
Bahan kisar
8 tangkai cili kering
10 biji cili padi
3 labu bawang besar
5 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup (boleh guna serbuk kunyit)
Cara membuat
1) Goreng seketika ikan bilis. Angkat dan toskan minyak masak.
2) Dengan menggunakan baki minyak gorengan tadi, tumis semua bahan kisar dan serai sehingga wangi dan garing.
3) Masukkan tempoyak diikuti hirisan daun kunyit dan daun kesum.
4) Perasakan dengan garam dan gula. Kacau sebati sehingga naik bau.
5) Masukkan petai dan masak seketika. Padamkan api dan masukkan ikan bilis. Gaul rata.
6) Sedia untuk dihidangkan.
SAMBAL UDANG PETAI

Bahan-bahan
400 gram udang kuning
1 biji bawang besar (dikisar)
4 ulas bawang putih (dikisar)
1 biji bawang besar (dipotong bulat)
1 senduk kecil cili kisar (ikut selera pedas masing-masing)
½ cawan air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Cara membuat
1) Panaskan minyak masak dan goreng udang seketika. Angkat dan ketepikan.
2) Kemudian tumiskan bawang merah dan bawang putih yang dikisar bersama cili kisar. Biarkan sehingga cili benar-benar masak dengan api perlahan.
3) Masukkan gula dan kacau rata sebelum memasukkan petai, air asam jawa dan garam.
4) Akhir sekali masukkan udang dan sedikit bawang merah yang telah dipotong bulat sehingga layu. Tutup api dan sedia dihidang.
Selamat mencuba!
Resipi Sambal Nasi Lemak Legend. Masak Macam Ni Memang Sedap

Bagi pencinta Nasi Lemak, sambal memainkan peranan paling penting. Sedap sambal, maka sedaplah hidangan kegemaran anda ini. Terdapat banyak sangat resipi legend yang dikongsi namun tak tahu mana satu yang kena dengan selera? Resipi Sambal Nasi Lemak dari Sis Norey Yusof ni antara yang boleh dicuba. Pekat dan nampak sangat sedap. Persis Sambal Nasi Lemak kampung dulu-dulu. Jom cuba! Anda dan keluarga pasti sukakan rasanya.
RESIPI SAMBAL NASI LEMAK LEGEND YANG SEDAP (SUKATAN 6 ORANG MAKAN)

BAHAN-BAHAN:
1 labu bawang holland – beli online disini
5 ulas bawang merah – beli online disini
Sedikit halia
Sedikit belacan – beli online disini
Sedikit ikan bilis – beli online disini
6 sudu makan cili kisar – beli online disini
Gula/ gula nise secukup rasa – beli online disini
Garam secukup rasa
Sedikit air asam jawa
Sedikit perasa
Minyak masak
CARA MEMASAK:
1.Satukan bawang holland, bawang merah, halia, belacan dan ikan bilis. Kemudian kisar.
2. Panaskan minyak masak dalam kuali. Kemudian tumis bahan-bahan yang telah dikisar tadi hingga pecah minyak.
3. Masukkan cili kisar. Tumis lagi hingga cili masak sempurna.
4. Bila cili sudah masak, masukkan gula/ nise, garam, perasa dan sedikit air asam jawa. Sukatannya bergantung pada cita rasa masing-masing.
5. Tumis lagi hingga masak sempurna.
6. Sambal Nasi Lemak Legend sedia untuk dihidangkan bersama nasi dan bahan-bahan sampingan yang lain.


Kredit resipi & foto: Sis Norey Yusof
[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
https://www.rasa.my/resipi-nasi-kerabu-kuning-sedap-masak-sendiri-baru-puas-makan/
https://www.rasa.my/resipi-rojak-ayam-sedap-masak-sendiri-puas-hati-lebih-jimat/
https://www.rasa.my/cara-masak-oden-homemade-ala-family-mart-sedap-puas-makan/
https://www.rasa.my/jom-cuba-resipi-kuih-kole-kacang-sedap-mudah-kurang-manis/
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Youtube @Majalah Rasa Official

