
Tiada kaedah mencuci yang boleh menghapuskan mikroorganisma secara menyeluruh yang mungkin ada pada buah-buahan serta sayuran yang anda beli. Namun cara terbaik untuk mengurangkan jumlahnya adalah dengan mencuci di bawah laluan air bersih. Membasuh juga bukan sahaja membantu menghilangkan kotoran, bakteria, serangga malah ia juga membersihkan kesan-kesan racun yang melekat pada makanan anda.
Seperti yang disarankan oleh Universiti Colorado, cara terbaik untuk mencuci buah atau sayuran adalah dengan mengisi bekas dengan air dan masukkan sayur serta buah anda ke dalamnya. Elakkan menampung air di dalam sinki kerana lubang laluan air berkemungkinan mengadungi bakteria yang memudaratkan.

Selain itu, air basuhan mestilah sejuk. Caranya ialah celup buah ke dalam bekas berisi air berais dan ketika dicuci, gosok kulit buah atau sayur sehingga sisa kotoran hilang. Cara ini bertujuan untuk menghalang mikroorganisma dari melekat pada sayur-sayuran menerusi batang serta bunga.

Untuk sayuran hijau seperti brokoli, anda boleh merendamnya selama 2 minit di dalam air batu sebelum membilasnya sekali lagi dengan air yang mengalir.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Rempah Ratus VS Herba Dalam Masakan, Ini Perbezaannya.

Apa bezanya rempah ratus dan herba dalam masakan? Bunyi macam sama, kadang-kadang kita guna kedua istilah ini untuk maksud yang sama, rempah ratus disebut bahan penumis dan begitu juga sebaliknya. Tapi bila diteliti semula baru sedar bahawa ia dua perkara yang berbeza kalau dilihat jenis dan fungsinya dalam masakan. Bagi mengetahui perbezaan ini dengan lebih jelas, anda perlu baca penjelasan di bawah ini.

Istilah
Bahan herba atau disebut juga bumbu, adalah seperti bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas, kunyit hidup, serai, cili daun kunyit, daun kari dan daun limau purut. Ia dikenali juga sebagai bahan asas dalam masakan dan diguna sebagai penyedap masakan. Sementara rempah ratus adalah bahan beraroma yang kuat, contohnya kulit kayu manis, cengkih, bunga lawang, ketumbar, jintan, lada hitam dan beberapa lagi. Ia tidak termasuk sebagai bahan asas dalam masakan kerana masakan tertentu sahaja ,menggunakan rempah ratus. Selain digunakan untuk tujuan masak, sebahagian rempah ratus juga boleh digunakan sebagai ubat untuk tujuan kesihatan.

Jenis:
Herba dalam masakan ada dua jenis iaitu yang basah dan kering. Yang dikatakan bahan basah termasuklah bahan segar, sama ada yang dikisar atau dihiris halus dan sifatnya tidak tahan lama. Ia boleh tahan hingga seminggu jika disimpan dalam peti sejuk. Sementara jenis kering adalah herba segar yang telah dikeringkan dan dikisar halus seperti serbuk kunyi, ia boleh disimpan lebih lama, daun kari atau salam yang dikeringkan. Berbeza dengan herba, rempah ratus dijual dalam bentuk kering dan juga telah dijadikan serbuk untuk memudahkan penggunaannya.
Penggunaan
Herba sangat penting dalam masakan kerana ia adalah bahan asas yang memberikan rasa pada makanan dan wajib ada dalam masakan. Sementara rempah ratus dimasukkan dalam masakan tertentu seperti kari dan sebahagian masakan yang bertumis dan memerlukan rempah ratus untuk membangkitkan aroma. Ia juga boleh digabungkan dengan bahan ramuan masakan dalam mendapatkan rasa yang lebih sedap.
Soda Bikarbonat Selain Untuk Buat Kek Dan Roti, Berguna Untuk Bersihkan Rumah Juga

Berfungsi sebagai agen penaik, soda bikarbonat banyak digunakan dalam menyediakan kek, roti dan pastri. Rasanya dalam kebanyakan rumah pasti ada bahan ini.
Tapi kegunaan soda bikarbonat bukan terhad untuk memasak kek, roti atau biskit saja, ia juga sangat berguna terutama sebagai bahan membersihkan kotoran di rumah.
Jadi jangan simpan untuk buat kek saja bahan ini, gunakan ia untuk membantu kita buat kerja rumah.
1. Bahan pencuci dapur
Soda bikarbonat boleh menjadi bahan pencuci yang efektif. Letakkan sedikit serbuk ini ke atas span atau kain basah untuk membersihkan mikrowave, peti sejuk, dan peti sejuk beku.
Selain itu ia sesuai dicampurkan dengan sabun untuk membuang kotoran gris, air teh, air kopi dan kotoran makanan pada kuali/periuk dan mencuci buah-buahan dan sayur-sayuran dan periuk.
2. Pencuci pakaian
Soda bikarbonat boleh membantu proses mencucipakaian menjadi lebih mudah dengan melarutkannya ke dalam air atau tabur serbuk ini di atas pakaian atau di dalam mesin basuh.
Ia akan membantu melembutkan pakaian dan menyah bau pakaian. Dalam masa yang sama, ia boleh membantu membuang kotoran kuning, gris dan dakwat yang biasa ada pada bahagian tertentu pakaian seperti kolar, pergelangan tangan baju, dan pakaian dalam.
Jika pencuci dan peluntur yang digunakan belum cukup kuat untuk membersih, tingkatkan kuasanya dengan menambah soda bikarbonat semasa proses bilasan.
3. Bahan pembersih tandas
Ya, buat kali ketiganya, soda bikarbonat sesuai digunakan sebagai bahan pencuci tandas. Ada beberapa cara untuk mengaplikasikannya. Antaranya ialah dengan membancuhnya di dalam botol spray. Kemudian semburkan ia pada langsir mandian dan dinding untuk menyah kulat.

Boleh juga bancuh serbuk soda bikarbonat di dalam baldi yang penuh dengan air dan jirus ke dalam paip untuk menanggalkan kotoran degil dalam paip yang menyempitkan laluannya. Boleh juga menggunakannya untuk menyah kuman pada lantai tandas dan bilik air.
4. Pengilat barang berharga
Bahan ini juga berguna untuk membersihkan barang kemas, barangan perak dan aksesori besi, pinggan mangkuk dan kristal sehingga berkilat dengan bantuan serbuk soda bikarbonat.
5. Bersihkan kesan dakwat
Selain itu ia boleh menanggalkan kesan atau kotoran krayon, dakwat dan pen dakwat kekal (permanent marker) pada pakaian dan tangan.
6. Hapus bau
Soda bikarbonat juga berkuasa menghapuskan bau kurang enak dengan meneutralkan semula bau-bauan persekitaran dan barang. Letakkan sedikit serbuk ini ke atas kain basah atau tinggalkan ia di dalam cawan.
Ia boleh digunakan di dapur dengan menyah bau dan kuman pada papan pemotong, bau masakan di dapur, bau busuk daripada tong sampah dan bau tangan selepas menyiang ikan. Selain itu, ia boleh hapuskan bau kasut, bau tilam dan bau urin binatang seperti kucing dan anjing.
7. Elak serangga
Masukkan serbuk soda bikarbonat dan sedikit serbuk gula halus. Gaulkan sekata. Anda boleh letak campuran ini pada laluan serangga seperti semut, dan lipas untuk menyahnya.
Banyak sungguh kegunaan soda bikarbonat ini, jadi kalau tak masak kek usah biarkan saja dalam almari gunakan untuk tujuan membersihkan kediaman pula. Tak membazir kan!
Sumber: The Vocket
Walaupun Petai Berbau Tapi Khasiat Dia Tinggi, Yang Nak Berhenti Merokok Elok Amalkan!

Sapa tak suka makan petai? Rugi tau tapi rasanya ramai yang sukakan. Petai adalah antara ulaman terbaik untuk kesihatan.Walaupun lepas makan ada bau yang kurang menyenangkan, tapi ada suatu aroma yang sangat sedap ketika petai dikunyah di dalam mulut.


Berdasarkan kajian, buah petai mengandungi kadar protein dan lemak yang tinggi berbanding tumbuhan hutan yang lain iaitu sebanyak 8%, 11% karbohidrat, 71% air serta mengandungi kalsium, fosforus, zat besi, vitamin A, B1, B2 dan C. Petai juga mengandungi tiga jenis gula semulajadi iaitu sukrosa, fruktosa dan glukosa yang dikombinasikan dengan serat. Kombinasi zat ini mampu memberikan tenaga segera yang besar cukup untuk melakukan aktiviti berat selama 90 minit.
Cara nak pilih petai, pilihlah petai yang lebih segar kerana ia lebih berkhasiat jika nak dibandingkan dengan petai yang telah kecut. Kalau nak tahu, biji petai ni dipercayai membantu merawat penyakit jantung dan penyakit kencing manis, mencuci buah pinggang serta mengeluarkan cacing bagi kanak-kanak yang ada masalah cacing dalam usus.
Khasiat Petai Untuk Kesihatan
- Mengurangkan depresi.
- Membantu mengatur kadar gula dalam darah di samping membaiki mood.
- Membantu menstimulasi pembentukan sel darah merah.
- Mencegah Anemia.
- Membantu meredakan tekanan darah tinggi.
- Membantu memudahkan proses pencernaan seterusnya mengurangkan risiko diserang sembelit.
- Membantu menstabilkan emosi dan suhu badan.
- Mengawal ketagihan merokok.
Bagi yang berhajat nak berhenti merokok, petai dapat membantu. Kandungan Vitamin B6, B12, kalium dan magnesium di dalam petai membantu tubuh cepat sembuh dari kesan ketagihan nikotin. Maksudnya ia membantu membersihkan sisa nikotin dalam badan. Memang elok sangat kalau suami-suami yang dalam proses berhenti merokok. Hari-hari bagi suami ulam petai. Mana tahu usaha isteri berjaya.
Menurut kajian yang dilaporkan oleh The New England Journal of Medicine, amalan makan petai sebagai menu harian dapat menurunkan risiko kematian akibat strok sebanyak 40 peratus. Jadi kalau nak sihat sepanjang hayat dan awet muda sentiasa, amalkan petai sebagai ulaman utama. Tak perlu sambal sangat, makan begitu ajer pun sedap…Kalau dimasak dah berkurangan khasiat petai akibat daripada proses memasak. Sebaiknya makan mentah je.
Sumber: diaryummiadam
Resipi Petai Goreng Cili Padi Pedas Meletop

BAHAN-BAHAN:
- 100gm petai | dibuang kulitnya
- 3 biji cili padi | dihiris
- 2 biji cili merah | dihiris
- 1 biji bawang Bombay | dimayang
- 3 ulas bawang putih | dihiris
- 1 sudu teh gula
- 1/2 sudu teh garam
- 2 biji limau nipis
- Sedikit minyak untuk menumis
CARA MEMASAK:
1. Tumis bawang besar, bawang putih, cili padi dan cili merah dengan sedikit minyak sehingga garing.
2. Masukkan petai dan goreng sehingga masak.
3. Tambahkan garam dan gula dengan secukupnya. Gaul sebati.
4. Akhir sekali, perahkan jus limau nipis sebelum dihidang.

