Cara Hasilkan Nugget Ayam Kentang Homemade Paling Mudah.

Share

Anak-anak memang suka makan nugget. Kalau beli, kadang kala kandungan garam serta lemaknya buat kita ragu-ragu. Jadi, puan-puan boleh cuba buat sendiri. Rupanya mudah sangat nak buat nugget ayam kentang homemade ni. Rasanya sangat sedap dan ‘moist’. Malah boleh tambah aneka sayur supaya snek ni jadi lebih sihat. Bahan-bahan yang diperlukan dalam resipi perkongsian saudari Sharinaz Redwa

ni pun ringkas dan tak mahal. Memang berbaloi cuba.

 

NUGGET AYAM KENTANG HOMEMADE

BAHAN-BAHAN:

  • 4 keping isi dada ayam – kisar
  • 2 biji telur
  • 2 sudu makan tepung ubi kayu
  • 4 biji ubi kentang saiz sederhana – rebus & lenyek
  • 1/2 batang lobak merah – disagat
  • 1 sudu teh serbuk lada sulah
  • Garam secukup rasa

BAHAN SALUTAN:

  • 3 biji telur
  • Tepung beras secukupnya – boleh gantikan dengan tepung goreng ayam serbaguna atau serbuk roti

CARA MEMASAK:

1. Satukan semua bahan-bahan diatas dan gaul hingga sebati.

2. Masukkan adunan ke dalam loyang bersesuaian dan kukus selama 15-20 minit. Masa mungkin berbeza ikut ketebalan adunan.

3. Bila dah masak, potong adunan tadi mengikut saiz yang dikehendaki.

4. Sediakan bancuhan telur dan tepung untuk salutan. Tepung boleh juga digantikan dengan serbuk roti.

5. Ambil kepingan nugget dan celupkan ke dalam bancuhan telur.

6. Kemudian salutkan dengan tepung atau serbuk roti. Lakukan hingga habis.

7. Panaskan minyak dan goreng kepingan nugget hingga garing keemasan.

8. Jika banyak dan nak sejukbekukan, goreng nugget separuh masak, sejukkan dan simpan dalam bekas bersesuaian sebelum disimpan dalam peti sejuk.

Kredit resipi & foto: Sharinaz Redwa

 

Published by
Nur