Makan

Peniaga Ikan Kongsi Cara Kenal Pasti Ikan Guna Pengawet Berbahaya Untuk Nampak Segar

Share

Nak pilih ikan di pasar dah tentu kita mencari yang nampak segar. Tapi awas yang nampak segar ini belum tentu selamat. Bagi memastikan ikan yang ditangkap di laut kekal segar seperti yang diinginkan oleh pembeli, ada pihak yang sanggup menggunakan bahan pengawet yang berbahaya.

Antaranya dengan menggunakan pengawet yang boleh menjadi penggalak kanser untuk ikan iaitu formalin. Supaya tidak terbeli ikan yang diawet dengan bahan berbahaya ini, Puan Asmah Cem yang juga pembekal ikan dan pernah menjadi penyelidik kimia berkongsi tip bagi mengenal pasti ikan yang diawet dengan formalin.

Tip kenal pasti ikan guna formalin, pengawet bahaya

 

Apa itu formalin dan kenapa ia bahaya

Formalin terdiri daripada formaldehyde yang dicairkan. Mengikut kajian International Agency for Research on Cancer (IARC), formalin bersifat carcinogenic (penggalak kanser).

Kegunaan formalin adalah untuk mengawet mayat dan specimen di hospital, pengawet pada cat, kaca, perabot dan pelbagai bahan polimer dalam industri.

Penyalahgunaan formalin sangat berleluasa di Asia sehinggakan mee kuning, tauhu dan ikan masin pun diletakkan formalin supaya tahan lama. Lebih-lebih lagi barang basah seperti hasil laut yang mudah rosak.

Di Malaysia, kita hanya perlu bimbang kepada hasil laut yang dibawa dari luar negara dan ikan-kan hasil tangkapan Laut Dalam menggunakan bot C2 (bot besar) yang berada di laut 1-2 minggu untuk mendapatkan bertan-tan hasil laut yang berkemungkinan diawet dengan formalin.

Jangan beli ikan yang ada ciri-ciri ini

Jadi bagaimana nak kenal ikan yang diawet dengan formalin? Beberapa ciri berikut boleh dilihat dengan mata kasar:

1) Kulit ikan berkedut/ tidak licin/ tidak berkilat.

2) Mata ikan cengkung/masuk ke dalam soket mata. (ikan berformalin tidak semestinya bermata merah).

3) Insang ikan pucat berwarna coklat cair dan tidak merah.

 

4) Sisik ikan mudah tertanggal dari badan (ikan bersisik seperti merah/jenahak/senangin dan lain-lain).

5) Ikan kelihatan keras, tapi bila disiang perutnya sudah hitam dan busuk.

6) Isi ikan putih pucat, tiada darah mengalir ketika dipotong slice (ikan besar seperti tenggiri dan lain-lain).

7) Ikan boleh diletakkan di atas meja jualan dengan penggunaan ais minima. Badan ikan/seafood tetap kekal keras dari pagi ke petang (ikan tidak berpengawet perlu diletakkan dlm tong ais untuk mengekalkan kesegarannya).
Lalat dan kucing kurang berminat dengan ikan berpengawet walaupun diletakkan di tempat terbuka.

 

9) Bau – cuba cium bau ikan/seafood yang ingin dibeli. Seafood segar berbau laut. Jika ada bau kuat menyengat, sah ada formalin.

10) Selepas dibersihkan, ikan yang sudah diawet tidak boleh disimpan dalam tempoh yang lama di dalam peti ais. Ikan tersebut akan kehilangan rasa, isi mudah hancur, dan cepat busuk.

Tip paling mudah, boleh tanya saja kepada penjual, “ikan bot balik hari ke ni bang? jeti mana?”

Hakikatnya, hanya sebahagian kecil peniaga sahaja yang sanggup menjual ikan dari bot balik hari kerana kos operasi yang tinggi.

Jika terbeli basuh guna tip ini

Jika tiada pilihan dan terpaksa beli ikan tidak segar yang dikhuatiri mengandungi formalin? Guna tips ini.

-Selepas membersihkan ikan, rendam dengan 10% larutan cuka bersama air selama 30 minit. Kemudian bilaslah dengan bersih.

 

Mengikut kajian, kaedah ini boleh mengurangkan kandungan formalin sebanyak 0.109 microgram/ml.

Akhir kata, hidangkan makanan yang sihat dan selamat untuk keluarga tersayang. Jauhi formalin kerana ianya memudaratkan kesihatan.
Sekian dari makcik penjual ikan.

Sumber: Asmah Chem

Published by
Rose