Cara Kukus Pulut Kuning Yang Sedap, Lembut & Tak Berderai.

Share

Pulut kuning yang lembut, sedap dan cukup lemaknya memang enak. Namun tak ramai yang mahir dalam memasak hidangan ni. Sesekali teringin nak makan bersama rendang, macam tak berbaloi untuk tempah. Jadi jom belajar masak Pulut Kuning yang sedap, lembut dan berkilat ikut resipi yang dikongsi oleh saudari Nana Sabrina Sarsan ni. Memang mudah ikut terutamanya bagi yang baru pertama kali nak cuba masak menu ni.

CARA MASAK PULUT KUNING YANG MUDAH

BAHAN PULUT:

  • 1kg beras pulut
  • 1 keping asam keping
  • 1/2 sudu teh serbuk kunyit
  • Sedikit pewarna kuning

BAHAN SANTAN:

  • 2 kotak kecik santan kara
  • 3 1/2 kotak air (kotak santan kara)
  • 3 sudu makan gula
  • 1 sudu teh garam
  • 4 helai daun pandan

CARA MEMASAK:

1. Basuh beras pulut hingga bersih. Kemudian rendam beras pulut bersama asam keping, serbuk kunyit dan pewarna kuning selama 1 malam ( tidak boleh kurang). Paras air mestilah lebih sedikit dari paras beras pulut.

2. Untuk memasaknya, basuh beras pulut yang direndam sebanyak 2 kali. Buang asam keping dan toskan beras pulut seketika.

3. Panaskan periuk kukus sehingga air mendidih. Jika lubang periuk kukusan anda kecil, hanya perlu oles minyak disekeliling periuk. Namun jika periuk kukus berlubang besar, lapik dengan daun pisang atau aluminium foil. Kemudian cucuk dengan lidi untuk membentuk lubang kecil dan sapu minyak pada daun atau aluminium foil. Ia bertujuan untuk memudahkan anda mengacau pulut.

4. Masukkan beras pulut ke dalam periuk dan buatkan lubang di tengah seperti dalam gambar di bawah. Ia bertujuan untuk mewujudkan aliran wap. Tutup periuk.

5. Sepanjang tempoh memasak, kacau pulut 3-4 kali. Setiap kali dikacau, pastikan ruang tengah kukusan dibiarkan kosong supaya ada aliran wap. Kukus hingga pulut separuh masak sahaja.

6. Sementara menunggu pulut separuh masak, boleh mula memasak santan. Satukan semua bahan dan masak dengan api perlahan. Masak dalam masa 20 minit sehingga santan mendidih. Pastikan guna api kecil kerana jika besar, santan akan pecah minyak dan berketul.

7. Bila pulut sudah separuh masak, angkat pulut dan masukkan ke dalam besen.

8. Terus masukkan santan sedikit demi sedikit dan kacau hingga betul-betul sebati. Kacau laju dengan cepat.

9. Kukus kembali pulut kuning selama 7-10 minit sehingga ia betul-betul masak.

10. Angkat dan sedia untuk dinikmati bersama rendang, serunding atau sambal tumis.

INFO: Untuk dapatkan pulut kuning yang berkilat, santan perlu dimasak lama tapi jangan sampai pecah minyak.

Kredit resipi & foto: Nana Sabrina Sarsan

Published by
Nur