Cara Masak 3 Versi Menu Berasaskan Cili Hijau Sungguh Sedap Ini

Share

Sambal hijau emmm memang sedap. Tak kisahlah sambal bilis, ikan, daging, ayam atau makanan lauk, bila disambal dengan cili hijau memang  sedap terangkat. Lagi garing lagi  terangkat.  Anda yang teringin, ini ada tiga resipi masakan yang menggunakan cili hijau segar.

RENDANG KAMBING HIJAU

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg daging kambing | potong kecil
  • 600ml santan pekat
  • 1 sudu makan kerisik
  • 2 batang serai | ketuk
  • 1 helai daun kunyit | siat-siat
  • Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN B (KISAR):

  • 5 biji cili hijau
  • 10 biji cili padi
  • 10 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 3cm lengkuas
  • 2cm kunyit hidup
  • 3 biji buah keras
  • 1 batang serai

CARA MEMASAK:

  1. Kisar bahan-bahan B hingga menjadi pes yang lumat.
  2. Panaskan dua sudu makan minyak di dalam kuali, tumis bahan-bahan kisar hingga masak dan pecah minyak.
  3. Masukkan daging kambing, serai, daun kunyit dan santan pekat. Didihkan hingga sebati.
  4. Tambah kerisik dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  5. Masak rendang hingga kuah pekat dan agak kering.
  6. Angkat dan sedia dinikmati.

DAGING GORENG SAMBAL IJO

BAHAN-BAHAN:

  • 400gm daging lembu muda | hiris nipis
  • 10 biji cili padi | tumbuk kasar
  • 1 labu bawang besar | potong bulat
  • 10 biji cili hijau | kisar halus
  • 6 ulas bawang merah | kisar halus
  • 4 ulas bawang putih | kisar halus
  • 1 tangkai daun ketumbar | kisar halus
  • 3cm halia | kisar halus
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • Garam dan lada sulah secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Gaul daging bersama lada sulah, garam secukupnya dan serbuk kunyit. Perap selama sejam atau lebih.
  2. Goreng daging hingga agak garing. Ketepikan.
  3. Di dalam kuali, tumis bahan-bahan kisar hingga masak.
  4. Masukkan daging goreng, bawang besar dan cili padi yang ditumbuk kasar. Gaul sebati.
  5. Tambah garam dan lada sulah secukup rasa.

UDANG SAMBAL HIJAU

BAHAN-BAHAN:

  • 15 ekor udang kertas saiz XL | bersihkan
  • 2 keping asam gelugor
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak masak secukupnya untuk menggoreng dan menumis

BAHAN KISAR:

  • 12 biji cili hijau
  • 5 biji cili padi | jika ingin pedas
  • 2 ulas bawang putih
  • 4 ulas bawang merah

CARA MEMASAK:

  1. Goreng udang bersama serbuk kunyit hingga separuh masak. Ketepikan.
  2. Keluarkan minyak, tinggal sedikit untuk menumis, tumis bahan kisar hingga wangi.
  3. Masukkan asam gelugor, udang, garam dan gula secukup rasa.
  4. Masak sehingga kuah pecah minyak dan udang masak.
  5. Angkat dan hidangkan.

 

 

Published by
Norasida Myasin