Setiap kali puasa dan nak raya, ramai yang mengikuti dan menantikan apa yang Che Nom masak di Youtubenya mahupun di Resipi Che Nom. Menjelang Raya RASA ingin kongsikan 3 jenis resipi yang disediakan olehnya. Tiga menu ni sangat popular terutamanya di Kelantan dan Terengganu, iaitu masak kuzi, kerutub dan kurma. Sesuai sangat untuk dihidangkan dengan nasi bertumis seperti nasi minyak dan nasi tomato, dengan roti jala atau ketupat palas pun sedap.
AYAM KUZI
BAHAN-BAHAN
BAHAN PERAP AYAM:
1 ekor ayam | potong 12 bahagian
3 ulas bawang putih
sedikit garam
BAHAN UNTUK DIGORENG:
250 ml minyak masak
15 ulas bawang merah| dihiris nipis
2 biji bawang besar| potong dadu
1/2 cawan kepingan badam |almond slices
1/2 cawan kismis
Hati dan pedal ayam | potong kiub
Garam dan gula secukup rasa
BAHAN UNTUK KUAH :
5 ulas bawang merah | ditumbuk halus
4 ulas bawang putih | ditumbuk halus
3 sudu besar rempah briyani | bancuh dengan air menjadi pes
125 ml air
3/4 tin susu cair
120 gm (1 tin kecil) tomato puri
2 batang serai | dititik
2 helai pandan | carik dan simpul
CARA MEMBUAT:
- Tumbuk bawang putih bersama garam, dan lumurkan pada ayam. Perap seketika dan ketepikan.
- Untuk bahan digoreng. Panaskan minyak dan goreng bawang merah yang dihiris nipis tadi. Angkat dan toskan.
- Kemudian dalam minyak yang sama, goreng pula badam cukup sekadar kekuningan dan angkat. Goreng pula kismis selama 4-5 saat.
- Goreng bawang besar sehingga lembut dan diikuti pula pedal dan hati sehingga masak.
- Teruskan pula dengan menggoreng ayam hingga separuh masak. Angkat dan toskan.
- Dalam minyak yang sama, tumis bawang putih dan bawang merah yang ditumbuk halus sehingga naik bau.
- Masukkan daun pandan, serai dan rempah briyani. Kacau sehingga rempah masak dan pecah minyak.
- Masukkan tomato puri, ayam, pedal dan hati, bawang goreng, kismis, badam, air dan susu cair. Masak selama 20-30 minit.
- Tambahkan sedikit air jika kuah kering. Kacau sehingga kuah pekat. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
- Hidangkan bersama taburan badam, daun ketumbar dan bawang goreng.
KERUTUB DAGING
BAHAN-BAHAN:
1kg daging | hiris dalam ketulan besar dan nipis
5 sudu besar rempah kerutub
1 senduk cili kisar
3 cawan santan pekat
2 sudu besar kerisik
sedikit gula melaka
garam secukup rasa
2 senduk minyak untuk menumis
BAHAN KISAR HALUS:
2 biji bawang besar
8 biji bawang merah
6 ulas bawang putih
2 inci halia
BAHAN REMPAH PENUMIS:
2 batang kayu manis
3 kuntum bunga lawang
CARA MEMBUAT:
- Bancuh rempah kerutub dengan sedikit air dan gaulkan bersama daging untuk diperap seketika.
- Panaskan minyak dan tumis bahan rempah tumis, bahan kisar dan cili giling sehingga harum dan pecah minyak.
- Masukkan daging dan rempah kerutub yang diperap tadi.
- Tambahkan sedikit air, tutup dan masak di atas api perlahan supaya tidak hangus. Masak sehingga daging lembut, anggaran dalam 1 jam lebih.
- Masukkan santan pekat, kerisik, gula melaka dan garam secukup rasa. Masak sehingga kuah pekat dan pecah minyak.
- Angkat dan boleh dihidangkan bersama pulut atau nasi minyak.
INFO: Kuah kerutub sepatutnya dihidangkan pekat dan pecah minyaknya.
AYAM MASAK KURMA
BAHAN-BAHAN:
1/2 ekor ayam
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
2 kuntum bunga cengkih
1 tangkai daun kari
1 mangkuk kecil santan cair
1 batang karot | potong dadu besar
1 biji kentang | belah 4
1 biji bawang besar | belah 6
1 mangkuk kecil santan pekat
1 biji tomato | belah 4
2 biji cili hijau| belah 2
2 biji cili merah| belah 2
3 biji cili padi
garam secukup rasa
BAHAN KISAR/TUMBUK HALUS:
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
2 inci halia
BAHAN BANCUH REMPAH: 1 pek rempah kurma/ 3 sudu besar
sedikit air
CARA MEMBUAT: - Hiris kasar bawang putih, bawang merah dan halia. Tumbuk halus dalam lesung batu atau kisar.
- Panaskan minyak dalam ½ mangkuk kecil. Kita perlukan minyak secukupnya supaya rempah masak dengan sempurna.
- Tumis rempah 4 sekawan iaitu bunga cengkih, bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih.
- Masukkan 1-2 tangkat daun kari. Wangi kalau kita masukkan daun kari dalam tumisan.
- Setelah itu masukkan bahan tumbuk halus, kacau sehingga kekuningan dan naik bau.
- Masukkkan bancuhan rempah kurma ke dalam kuali. Kacau sehingga rempah kering dan pecah minyak.
- Setelah kering, masukkan sedikit air. Setelah kering kali ke 2, Che Nom tambah sedikit air putih…kalau anda rajin ulang langkan ni sebanyak 2-3 kali sampai rempah kita betul2 masak.
- Masukkan ayam yang sudah dibersihkan, anggaran ½ ekor.Masukkan karot dan kentang yang dipotong dadu besar
- Tambah 1 mangkuk kecil santan cair. Kalau anda guna santan kotak, boleh masukkan air putih je pada waktu ni.
- Masukkan juga 1 biji bawang besar yang dibelah 6.
- Bila dah agak empuk karot dan kentang, buka penutup kuali dan masukkan santan pekat, anggaran 1 mangkuk kecil.
- Masukkan tomato yang dibelah 4 tadi, cili merah, cili hijau dan cili padi.
- Masukkan sedikit air asam jawa. Kalau nak ganti dengan asam keping pun boleh.
- Perasakan dengan garam secukupnya.
INFO: Che Nom masukkan sikit2 santan pekat sebab tak nak terlebih santan, tak sedap kalau terlalu berlemak. Kita nak kuah masak kurma yang masih pekat rasa rempahnya. Kalau guna santan kotak, anggaran 1 kotak kecil santan.
Kredit resipi & foto: Che Nom