Cara Masak Makaroni Keju Bakar Yang Sangat Mudah & Sedap

Share

Tercari-cari resipi Makaroni Keju Bakar yang sangat sedap tapi mudah untuk dihasilkan. Resipi perkongsian saudari Abby Razi ni antara yang terbaik untuk dicuba. Sesuai dijadikan sajian makan malam atau dihidangkan di sebarang majlis keraian.

 

RESIPI MAKARONI KEJU BAKAR

BAHAN-BAHAN:

  • 200gm makaroni
  • 1/2 cawan keju Parmesan cheese | diparut

BAHAN SOS PUTIH:

  • 1/4 cawan mentega
  • 2 cawan keju Cheddar | dicincang
  • 3 cawan susu penuh krim/susu segar
  • 2 1/2 sudu makan tepung serbaguna
  • 1/2 sudu teh serbuk lada hitam
  • Garam sebagai perasa

BAHAN SOS MERAH:

  • Sedikit mentega untuk menumis
  • 1 biji bawang besar Holland | dipotong dadu
  • 1/2 cawan daging cincang
  • 1 cawan tomato ceri | dikisar
  • 1/2 cawan cendawan butang | dihiris halus
  • 2 sudu makan sos tomato
  • 2 sudu makan sos cili

CARA MEMASAK:

1. Untuk menyediakan sos putih, cairkan mentega di dalam kuali. Masukkan tepung gandum. Kacau sehingga menghasilkan roux.

2. Masukkan susu dan kacau sehingga sebati. Tambahkan keju. Masak guna api yang perlahan dan kacau sehingga keju cair semuanya.

3. Masukkan lada hitam dan sedikit garam. Kacau rata dan ketepikan.

4. Bagi menyediakan kuah merah, cairkan mentega dan tumis bawang sehingga kuning.

5. Masukkan tomato ceri dan daging cincang. Kacau hingga daging masak.

6. Tambahkan sos cili, sos tomato, garam dan lada sulah secukupnya. Masukkan juga cendawan. Kacau hingga semua bahan masak dan sebati.

7. Untuk menyediakan Makaroni Keju Bakar, masak makaroni mengikut langkah-langkah yang dinyatakan pada bungkusan. Kemudian, toskan dengan air sejuk untuk mengelakkan ia terlebih masak.

8. Sapukan mentega pada loyang kemudian masukkan makaroni dan kuah putih. Gaul hingga rata.

9. Tabur keju parmesan dan tuang kuah merah diatasnya. Ratakan. Tabur lagi keju parmesan dipermukaan.

10. Bakar di dalam ketuhar pada suhu 175C selama 30 minit.

 

Kredit resipi & foto: Abby Razi

Published by
Nur