Macam-macam jenis atau versi nasi ayam, ada yang ayam goreng, kukus dan ada juga yang dibakar. Semuanya sesuai dengan selera masing-masing. Kalau anda dan keluarga pengemar nasi, rasanya resipi Nasi Ayam Beras Basmathi yang dikongsikan oleh Mariana Zainal ini boleh dicuba dan hasilnya tidak mengecewakan. Kerana rahsia nasi ayam itu bergantung kepada bahan, olahan bahan dan cara memasaknya.
NASI AYAM BERAS BASMATHI
BAHAN-BAHAN:
BAHAN AYAM:
1 ekor ayam potong 4 | jangan buang kulit, bersih dan tos
5 ulas bawang putih | tumbuk kasar
3cm halia |tumbuk kasar
BAHAN PERAP:
6 ulas bawang putih | kisar halus
3cm halia | kisar halus
3 sudu besar kicap masin
3 sudu besar kicap manis
2 sudu besar sos tiram
BAHAN NASI:
4 cawan beras basmathi
3 cawan air rebusan ayam
2 1/2 cawan air biasa
1/2 cawan susu cair
2 sudu teh garam
3-4 kuntum bunga lawang
1/2 senduk minyak sapi atau marjerin
1/2 senduk minyak masak
Daun pandan | simpul
1 sudu teh serbuk kunyit | untuk warna kuning jika suka.
5 ulas bawang putih | kisar halus
1 biji bawang besar | kisar halus
3cm halia | kisar halus
BAHAN SOS CILI:
6 ulas bawang putih
3 biji cili merah
15 biji cili padi
2 cawan air
2 sudu besar cuka
4 sudu besar sos cili
2 sudu besar gula
Sedikit bahan perasa
Sedikit garam
BAHAN SOS KICAP:
2 cawan air rebusan ayam
Sedikit lebihan bahan perapan ayam
1 sudu makan tepung jagung
Kicap masin secukupnya
Kicap manis secukupnya
BAHAN SUP:
Air rebusan ayam secukupnya
2 kiub pati ayam
1 keping asam gelugor
Garam dan bahan perasa secukupnya
Daun sup secukupnya | hiris halus
CARA MASAK:
1. Masukkan ayam dalam periuk bersama bawang putih dan halia.
2. Masukkan air hingga menenggelami ayam. Rebus hingga ayam masak.
3. Toskan ayam dan simpan air rebusan untuk masak nasi, sup dan kicap. Ketepikan.
4. Lumurkan ayam dengan bahan perapan dan perap selama 15-20 minit (jangan buang lebihan perapan selepas digoreng. Simpan untuk buat sos kucap).
5. Goreng ayam dalam minyak yang banyak menggunakan api sederhana (jangan goreng terlalu lama sebab ayam sudah direbus hingga masak) dalam dua minit atau bila sudah berubah warna keperangan terus angkat.
6. Jika tidak mahu ayam goreng gelap kurangkan kicap dan madu. Ketepikan.
7. Seterusnya masak nasi, panaskan minyak dan minyak sapi dalam periuk atas dapur.
8. Masukkan bunga lawang dan masukkan bahan kisar kacau hingga naik bau.
9. Tuangkan susu di dalamnya, bila susu mendidih masukkan beras dan air rebusan ayam,air biasa dan garam secukup rasa.
10. Angkat dan masukkan dalam periuk elektrik. Masak seperti biasa. Bila button cook dan naik, tekan sekali lagi . Selepas itu baru boleh gembur nasi dengan senduk.
11. Untuk menyediakan sambal cili, kisar semua bahan sambal, kemudian masukkan dalam periuk. Renehkan hingga kuah pekat dan tutup api. Ketepikan.
12. Kemudian sediakan sos kicap, satukan semua bahan kacau rata dan renehkan atas api hingga mendidih. Kemudian tutup api dan ketepikan.
13. Akhir sekali sediakan sup, campurkan semua bahan dalam periuk, masak hingga mendidih dan pastikan ia cukup rasa.
14. Tutup api, bila kuah sudah suam, tambah ke dalamnya hirisan cili padi.
15. Setelah semua sudah siap hidangkan nasi bersama ayam goreng, sambal cili, sos kicap, sup dan hirisan tomato, timun dan daun salad.
Kredit resipi & foto: Mariana Zainal