Cara Masak Nasi Lemak Wangi, Lembut & Cantik Sebiji-Sebiji Hanya Guna Rice Cooker.

Share

Nasi lemak memang antara hidangan sarapan yang digemari ramai. Kalau nak buat sambal, rasanya tiada masalah sangat cuma nasi tu kadang-kala kurang menjadi. Ada yang terlalu keras, ada yang terlalu lembik. Menerusi perkongsian saudari Leng Loy, beliau ajar cara-cara masak nasi lemak yang wangi, sedap, masak sekata dan butir nasinya sebiji-sebiji. Macam yang orang jual dekat gerai tu. Mudah sangat rupanya sukatannya. Puan-puan boleh cuba nanti.

 

CARA MASAK NASI LEMAK WANGI, LEMBUT & SEMPURNA

BAHAN-BAHAN:

  • 3 cupak beras – boleh juga sukat guna cawan beras biasa
  • Halia – ditumbuk
  • 5 helai daun pandai – potong pendek
  • 1 kotak kecil santan
  • Sedikit garam
  • 3 sudu makan minyak masak

Penggemar produk organik bolehlah dapatkan beras dan lain-lain produk organik di Love Earth:

 

CARA MEMASAK:

1. Masukkan beras ke dalam periuk nasi dan basuh bersih. Kemudian sukat paras beras menggunakan jari.

2. Asingkan beras bersih tadi ke dalam bekas lain. Kemudian masukkan air ke dalam periuk nasi sama paras dengan sukatan beras tadi.

3. Masukkan santan kotak. Kacau rata.

 

4. Seterusnya masukkan halia, daun pandan dan garam. Kacau lagi hingga garam larut.


5. Tambahkan minyak masak. Fungsinya adalah untuk dapatkan nasi lemak yang sebiji-sebiji dan tidak lembik. Pastikan jumlahnya tidak lebih dan tidak kurang.


6. Letak periuk nasi dalam bekas rice cooker, tekan suis dan masak hingga mendidih.

7. Sewaktu santan mendidih, masukkan beras yang dibersihkan tadi. Masak seperti biasa.


8. Selang 5-6 minit sekali, buka periuk dan gaul nasi agar ia sebati dengan santan.
9. Sedia untuk dinikmati.

INFO: Semasa masak santan, jangan biar mendidih terlalu lama dan santan pecah minyak kerana nanti nasi jadi kurang enak.

 

Kredit resipi & foto: Leng Loy

Published by
Nur