Cara Masak Pulut Ayam Stail Siam. Mudah Rupanya Resipi Ni.

Share

Bulan puasa, macam-macam menu terlintas di fikiran. Bila teringin, pasti kena cari resipi dan cuba buat sendiri. Maklumlah bazar Ramadan pun tak ada. Tapi tak mengapa, inilah masa untuk uji kepakaran memasak masing-masing. Bagi anda yang tercari-cari resipi Pulut Ayam untuk cuba buat sendiri di rumah, resipi perkongsian saudari Mariana Zainal ni antara yang mudah. Nampak pun sedap kan? Jom lihat bahan-bahan yang diperlukan.

 

RESIPI PULUT AYAM STAIL SIAM

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ayam – potong 4 (rebus 10 minit dan toskan)
  • 2 sudu besar biji ketumbar – kisar
  • 2 sduu teh jintan manis – kisar
  • 2 biji bawang besar – kisar
  • 5 ulas bawang putih – kisar
  • Halia (sebesar ibu jari) 2 hiris – kisar
  • 2 ketul serbuk pati ayam – kisar
  • 1 paket kecil serbuk cili
  • 5 sudu besar tepung beras

CARA MEMASAK:

1. Gaul ayam dengan semua bahan kisar dan serbuk cili. Perap selama 20-30 minit.

2. Panaskan minyak, sapu tepung beras pada ayam tadi dan terus goreng.

3. Pastikan ayam tidak digoreng terlalu lama kerana ayam sudah direbus. Bila sudah masak sempurna, angkat dan toskan minyaknya.

BAWANG GORENG RANGUP

(bahan ni paling penting kena ada untuk makan bersama pulut ayam)

BAHAN-BAHAN:

  • 10-15 biji bawang rose (bawang merah kecil)
  • 2 sudu besar tepung beras
  • Secubit garam

CARA MEMASAK:

1. Kupas kulit bawang, basuh dan toskan bagi kering. Boleh juga lap guna tisu.

2. Hiris bawang tadi nipis-nipis.

3. Gaul bawang dengan tepung beras dan garam hingga rata.

4. Panaskan minyak dan goreng hingga garing. Angkat dan toskan minyak.

SOS THAI (sos ini juga sesuai untuk *chicken mango* dan pencicah ayam bakar)

BAHAN-BAHAN:

  • 1 botol sos pencicah Thai (boleh beli di pasar raya, botol pembalut warna putih ada gambar perempuan depan botol tu)
  • 1/2 botol sos cili Thai
  • 3 sudu besar sos plum- jika tiada, boleh abaikan. Cukup sekadar guna sos pencicah Thai & Sos cili Thai
  • 2 biji cili merah (cili besar)- lebihkan jika suka pedas
  • 6 biji cili padi siam (cili padi merah)
  • 5 ulas bawang putih
  • 3-4 akar ketumbar
  • 1/2 cawan air
  • Garam dan gula jika perlu

CARA MEMASAK:

1. Tumbuk cili merah, cili padi, bawang putih dan akar ketumbar hingga lumat.

2. Masukkan bahan tumbuk ke dalam periuk bersama sos pencicah thai, sos thai dan sos plum (jika ada) dan air.

3. Kacau dan masak campuran sos hingga mendidih. Sesuaikan rasa dengan menambah garam dan gula jika perlu.

PULUT TANAK

BAHAN-BAHAN:

  • 2 cawan beras pulut
  • 2 1/2 cawan air
  • 1 sudu besar minyak masak
  • Sedikit garam

CARA MEMASAK

1. Basuh beras pulut dan toskan. Kemudian masukkan ke dalam periuk bersama air, garam dan minyak. Gaul rata.

2. Tanak pulut hingga masak.

3. Angkat dan sedia dihidangkan bersama ayam goreng, bawang goreng serta sos.

Kredit resipi & foto: Mariana Zainal

ANDA JUGA BOLEH CUBA:

/https://www.rasa.my/cara-buat-air-dragon-mix-fruit-sedap-untuk-berbuka/

Published by
Nur