Cara Masak Sos Spageti Homemade Sedap

Share

Jika anda penggemar hidangan pasta, resipi sos spageti homemade perkongsian dari Chef Sue M Arukin ini tentunya wajib dicuba. Hanya menggunakan tomato ranum dan beberapa bahan mudah lain, anda boleh hasilkan stok sos tomato yang sangat enak ini. Lebih istimewa, ia juga boleh disejukbekukan dan digunakan pada bila-bila masa. Sangat mudah, lebih sihat dan menjimatkan. Jika suka, boleh je tambah sayur-sayuran seperti lada benggala, cendawan, lobak merah, daging, isi ayam kisar ataupun aneka

makanan laut kegemaran. Jom lihat bahan-bahan yang diperlukan.

 

RESIPI SOS SPAGETI HOMEMADE

BAHAN-BAHAN:

  • 2kg tomato ranum
  • 2 labu bawang putih | dikisar kasar
  • Daun thyme segar /kering secukupnya
  • Daun parsley segar/ kering secukupnya
  • Oregano segar/kering secukupnya
  • Serbuk lada hitam dan lada sulah secukupnya
  • Garam dan gula perang secukup rasa
  • Minyak zaitun untuk menumis
  • 1/2 cawan tomato puri – jika suka

CARA MEMASAK:
1. Bersihkan buah tomato dan kelar seperti dalam gambar.


2. Kemudian panaskan air dan celur buah tomato tadi untuk memudahkan proses membuang kulitnya.

3. Bila kulit tomato sudah terkupas, angkat dan masukkan ke dalam air berisi ais untuk hentikan proses memasak.

4. Kupas kulit tomato hingga habis.


5. Cincang kasar tomato tadi dan kisar dalam food processor atau blender. Namun jangan sampai terlalu halus dan lumat. Jika tiada mesin, boleh cincang menggunakan tangan sahaja.


6. Panaskan 2 sudu makan minyak zaitun menggunakan api kecil. Kemudian tumis bawang putih hingga wangi. Pastikan bawang tidak hangit.


7. Kemudian masukkan kisaran buah tomato tadi. Gaul rata.


8. Jika suka, boleh tambahkan tomato puri. Ia bertujuan menjaidkan sos pasta menjadi lebih merah dan kelihatan menarik. Biar kuah mendidih.


9. Seterusnya tambahkan parsley, thyme dan oregano dengan secukupnya.
10. Akhir sekali, perasakan dengan serbuk lada hitam, lada sulah, garam dan gula perang dengan secukup rasa.


11. Kacau rata dan biarkan pasta hingga mencapai tahap kepekatan yang anda suka.


12. Sedia dihidangkan bersama aneka pasta kegemaran.

INFO: Jika tiada thyme, oregano dan parsley segar, boleh juga gunakan bahan-bahan tersebut yang telah dikeringkan. Boleh juga guna italian herbs.

Kredit resipi & foto: Chef Sue M Arukin
Link asal resipi: https://goo.gl/XdCJjV

Published by
Nur