Petang-petang macam ni, memang sedap kalau dapat makan kuih muih manis. Bagi anda yang gemar makan kuih muih asli tradisi, boleh cuba buat Kuih Bengkang Tumis Utara hasil perkongsian saudara Are Peace. Nampak sedap! Jom cuba.
RESIPI KUIH BENGKANG TUMIS UTARA
BAHAN-BAHAN:
- 1 cawan gula
- 1 cawan jus pandan ( boleh juga guna sedikit perasa pandan dan campur dengan air menjadikan 1 cawan)
- 2 cawan tepung gandum
- 1 kotak kecil santan
- 2 sudu makan mentega
- 3 biji telur
- 1/2 sudu teh garam
- Sedikit pewarna hijau
- 1 1/2 cawan air
Bahan B:
- 4 – 5 ulas bawang merah | dihiris nipis
- 2 sudu makan minyak masak untuk menumis
CARA MEMASAK:
1. Campurkan semua bahan A dan kisar hingga sebati. (guna blender je)
2. Masukkan 2 sudu besar minyak dalam kuali dan tumis bawang merah hingga harum dan kekuningan.(jangan sampai hangit.Agak-agak layu je sebab nanti bila bakar, bawang akan hangit.
3. Tuang bawang tumis ke dalam loyang dan seterusnya tuang adunan yang dikisar tadi.Bawang tumis tadi akan naik ke permukaan bengkang.
4. Seterusnya bakar di dalam ketuhar dengan suhu 180’c selama 1 jam 15 minit atau sehingga masak. Guna api atas dan bawah.
5. Selamat mencuba!
Kredit resipi & foto: Are Peace
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Cara Buat Apam Balik Homemade Sedap Untuk Minum Petang.
Sedapnya kuih Apam Balik panas-panas ni. Sekeping je tak cukup. Tapi ramai yang tak berani nak cuba masak secara homemade sebab tak ada dapur khas. Usah risau sebab walau tak ada dapur khas untuk apam balik, anda masih boleh masak kuih ni. Guna kuali non stick je. Jom cuba resipi perkongsian saudari Sapura Pua ni. Memang best! Boleh letak banyak inti.
RESIPI APAM BALIK HOMEMADE
BAHAN DOH APAM ( HASIL ANGGARAN 5 KEPING):
- 2 cawan tepung gandum
- 1/4 cawan gula
- 1 sudu teh soda bikarbonat
- 1 sudu teh baking powder
- 1 biji telur
- 1 1/2 cawan susu cair / full cream
- 1/2 sudu teh garam
- Sedikit pewarna kuning
CARA-CARA:
1.Ayak tepung, baking powder dan soda bikarbonat.
2.Pukul telur dan gula sehingga sebati. Gula tidak perlu larut sangat.
3.Masukkan susu dan pewarna. Teruskan kacau sehingga sebati.
4.Masukan campuran tepung yang telah diayak tadi dan kacau sebati sehingga adunan licin dan tidak berketul. (jika nak lagi mudah, tapis adunan).
5.Perap adunan selama 1 jam.
BAHAN TABUR / INTI:
- Kacang tanah | digoreng tanpa minyak dan dikisar
- 1 tin jagung manis
- Mentega / marjerin secukupnya
- Gula secukupnya
CARA MEMASAK:
1. Panaskan kuali tak melekat dan sapukan sedikit marjerin.
2. Masukkan 2 senduk adunan tepung dan ratakan sekeliling.
3. Tabur gula ( anggaran 2 sudu makan) dan tutup kuali. Biar hingga adunan masak. Jika mahukan apam yang rasa lebih manis, lebihkan gula. Kalau apam ada lubang-lubang halus diatasnya, bermakna adunan tersebut menjadi.
4. Tabur kacang tanah rata-rata diikuti mentega dan jagung.
5. Lipat apam dan balikkan. Angkat.
6. Sedia untuk dinikmati.
Petua:
Kalau kuali melekat, ambil kuning telur sahaja dan masak dalam kuali tersebut sehingga masak. Ambil tisu dan tonyoh telur tersebut di permukaan kuali. Telur jadi hangit pun tak apa. Insya-Allah kuali jadi tak melekat dah.
Kredit resipi & foto: Sapura Pua
Bertuah Bila Puan Sri Betty Saw Berkongsi Resipinya yang Ringkas Lagi Menyelerakan.
Temujanji dengan Puan Sri Betty Saw di kediamannya bagaikan satu penghormatan kepada min penulis yang sekian lama mengaguminya sebagai seorang yang pakar dalam bidang masakan. Beliau antara pelopor chef wanita Malaysia yang masih aktif walaupun lebih 30 tahun berada dalam industri.
Istimewanya, Puan Sri Betty adalah seorang chef yang pakar dalam pelbagai jenis masakan dari dari masakan tempatan (Melayu, Cina dan India) hingga antarabangsa, semuanya boleh disediakan. Malah lebih sedap bila diolah semula oleh beliau.Menurut Puan Sri, masakan dan baking adalah dua perkara yang sudah sebati dengan diri beliau. Hingga jika sehari tidak masuk dapur bagaikan tidak lengkap hari tersebut. Setiap hari ada sahaja idea untuk memasak,pendek kata tengok sahaja bahan resipi sudah ada dalam fikiran beliau.
“Sebagai seorang yang sentiasa memasak, seronok rasanya kalau tetamu datang bertamu dapat diraikan dengan air tangan sendiri. Sekurang-kurangnya secawan kopi dan mengudap satu atau dua kudapan ringan yang saya sediakan,” ujar Puan Sri yang berpisah tiada dengan masakan dan baking.
Patutlah beliau berulang kali menegaskan bahawa memasak adalah jiwanya . Dek kerana itulah, tidak ada istilah jemu atau bosan bila berekspremen dengan segala bahan masakan. Setiap hari ada sahaja masakan yang disediakan, sementelah lagi apabila beliau menerima tetamu. Bermacam juadah disediakan untuk meraikan tetamu beliau.
CUCUR SAYUR
BAHAN-BAHAN:
- 200gm kobis | cincang halus
- 1/2 batang lobak merah |cincang halus
- 5 ulas bawang putih | kisar
- 150 gm tepung beras |ayak
- 1 1/2 sudu teh garam
- 1 biji telur atau 60 gm | pukul menggunakan garpu
- 2 batang daun bawang |cincang
- 175 ml atau 3/4 cawan air
CARA MEMASAK:
- Masukkan hirisan kubis, lobak merah dan bawang putih ke dalam mangkuk besar dan kacau.
- Kemudian masukkan tepung beras yang telah diayak. Diikuti garam dan daun bawang.
- Campurkan air dan kacau perlahan sehingga tiada ketulan.Tambah pula telur yang dipukul dan kacau.
- Letakkan adunan sayuran di dalam peti sejuk dan tinggalkan selama 20 minit.
- Keluarkan dari peti sejuk dan biarkan adunan sayuran pada suhu bilik sebelum menggoreng.
- Panaskan minyak dalam periuk di atas api sederhana sehingga panas.
- Dengan menggunakan sudu sup, masukkan satu sudu adunan sayuran ke dalam minyak panas. Goreng dan pusingkan beberapa kali sehingga perang keemasan dan rangup.
- Angkat dan letakkan di atas tisu untuk keringkan minyak.
- Hidangkan bersama sos cili.
BOTOK UDANG AYAM
BAHAN-BAHAN:
- 150gm isi ayam | potong dadu ukuran 1cm
- 150gm udang | buang kulit dan cincang
- 1/2 sudu teh garam dan serbuk lada hitam
BAHAN CAMPURAN SANTAN:
- 75ml santan
- 2 sudu makan sambal tomato
- 2biji cili merah | buang biji dan hiris halus
- 3 biji cili padi | hiris halus
- 4 ulas bawang merah |hiris nipis
- 3 ulas bawang putih | hiris nipis
- 1/2 sudu teh gula
- 3/4 sudu teh garam
- 1/4 sudu teh serbuk lada hitam
- 10 helai daun Thai Basil | cincang halus
BAHAN LAIN:
- 2 batang daun bawang | cincang halus
- 2 biji telur | kacau rata
- 20 helai daun kesum
- Daun pisang ikut keperluan
- Lidi pencucuk secukupnya
BAHAN UNTUK SAMBAL TOMATO:
- 20 cili merah | buang biji
- 10 ulas bawang merah
- 5 ulas bawang putih
- 2 sudu teh serbuk belacan
- 1 1/2 sudu the garam
- 4 sudu makan minyak masak
- 2 biji tomato | cincang
- 1 sudu makan gula
CARA MEMASAK:
- Masukkan hirisan ayam dan udang dalam mangkuk, taburkan garam dan serbuk lada hitam. Gaul rata.
- Masukkan campuran santan dalam mangkuk ayam dan udang. Gaul rata.
- Seterusnya, masukkan telur yang telah dikacau tadi, gaul rata dan perap lebih kurang 30 minit.
- Kemudian ambil daun pisang, letakkan di atasnya dua helai daun kesum. Diikuti dengan dua sudu bahan perapan tadi di tengah daun pisang.
- Bungkus dan kemaskan bungkusan dengan lidi pencucuk
- Lakukan sehingga bahan perapan habis.
- Panaskan pengukus, kemudian masukkan dalam pinggan dan kukus lebih kurang 20 minit.
- Cara membuat sambal tomato.
- Campurkan cili merah , bawang merah, bawang putih, garam, belacan di dalam mangkuk pengisar. Kisar hingga halus dan masukkan dalam mangkuk.
- Gunakan pengisar yang sama, kisar pula tomato, keluarkan dan ketepikan.
- Tuangkan pes cili tadi di dalam kuali, masak atas api sederhana.
- Kacau selalu hingga timbul minyak.
- Masukkan pula tomato kisar tadi, kacau hingga pekat dan tambahkan gula.
- Masak satu minit lagi, tutup api.
Resipi Apam Nasi Pandan Yang ‘Super Gebu’, Sesuai Sangat Buat Minum Petang
Resipi Apam Nasi Pandan yang sangat mudah, sedap dan lembut. Sekali cuba pasti menjadi. Nasi yang tidak habis janganlah dibuang. Elakkan pembaziran. Inilah menu yang paling sesuai kita buat bila ada nasi lebih. Bahan-bahan yang diperlukan tidaklah banyak untuk membuat Apam Nasi Pandan ini. Jom kita cuba resipi buat Apam Nasi Pandan seperti yang dikongsikan oleh Fazilah Md Yussop
RESIPI APAM NASI PANDAN
BAHAN-BAHAN:
BAHAN A:
2 cawan nasi sejuk
1 1/2 cawan gula – beli online
2 cawan pati daun pandan
BAHAN B:
1 1/2 cawan tepung gandum – beli online
2 cawan tepung beras – beli online
1 peket mauripan – beli online
Pewarna hijau (jika suka)
BAHAN C:
1/2 biji kelapa (bahagian putih)
Garam secukup rasa – beli online
CARA MEMBUAT:
1. Kisar nasi bersama gula dan air pandan. Kacau hingga sebati. Satukan agar sebati dan halus.
2. Satukan tepung gandum dan mauripan. Nasi yang dikisar tadi masukkan ke dalam adunan tepung. Kacau sebati. Kacau sebati.
3. Masukkan pewarna hijau sedikit (jika suka) supaya lebih cantik. Perap selama satu jam setengah.
4. Panaskan periuk kukus kemudian Kukus selama 20 hingga 15 minit. Sapukan sedikit minyak pada acuan. Tuang adunan ke dalam acuan.
5. Kukus selama 20 hingga 15 minit adunan tadi. Sementara tunggu masak, gaulkan kelapa putih dengan garam.
6. Selepas kuih apam masak, bolehlah gaulkan atau letak kelapa di bahagian atas apam. Siap untuk dihidangkan.
Sumber kredit: Fazilah Md Yussop
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Buat Sendiri Fishball Homemade Sedap Hanya Guna 5 Bahan Mudah
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Youtube @Majalah Rasa Official