Cara Buat Tempe Homemade Yang Mudah & Dijamin Menjadi.

Share

Jom belajar buat tempe homemade! Tempe memang antara yang menjadi kegemaran ramai. Mana tidaknya, bahan ini boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai jenis sajian enak. Nak masak Tempe Goreng cicah Sambal Kicap, Masak Lemak Cili Padi campur tempe, Sambal Tempe, Lontong, Sambal Goreng Jawa dan bermacam-macam lagi. Kalau anda nak tahu, tempe ni sangat mudah dihasilkan. Nak try? Jom cuba cara buat tempe secara homemade perkonsian saudara Lemang Biru dan isterinya Zaujah Abu Syuhadah. Ringkas je. Pasti anda kagum dengan hasilnya.  

 

CARA BUAT TEMPE HOMEMADE

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg kacang soya
  • 2gm ragi tempe
  • 10ml cuka makan
  • Plastik pembungkus (boleh guna plastik 4 segi, plastik aiskrim atau pembungkus lain yang sesuai.)

CARA MEMBUAT:

1. Bersihkan kacang soya dan rendam kacang tadi guna air bersih selama 2 hari. Jika guna banyak kacang soya, pastikan air juga banyak.

2. Sepanjang tempoh 2 hari ini, sentiasa ramas kacang dengan lembut bagi membuang kulitnya.

Kulit kacang soya yang tertanggal

3. Bila kulit tertanggal, ganti air baru sambil dikacau lagi bagi membuang sisa kulit kacang yang tertanggal. Paling bagus jika 70% kulit kacang dapat dibuang.

4. Bila cukup 2 hari, ramas lagi kacang soya untuk membuang sisa kulit serta untuk pecahkan kacang soya. Buat perlahan-lahan dan tukar airnya sekali lagi.

5. Masukkan kacang soya ke dalam periuk dan tambahkan air hingga tenggelam. Rebus selama 45 minit hingga 1 jam.

6. Bila cukup masa merebus, padamkan api dan masukkan cuka. Kacau. 

Buka kembali api dan rebus kacang sekali lagi hingga air menggelegak. Padamkan api.

7. Biarkan kacang di dalam periuk terendam selama 10 minit. Kemudian toskan. Sejukkan kacang soya tadi menggunakan kipas bagi mengeringkan airnya. Biarkan selama beberapa jam.

8. Seterusnya tabur kacang di dalam bekas yang dilapik kain yang sedikit tebal. (lebih mudah jika letak dalam bekas yang rata).

9. Ratakan kacang soya sambal pecahkan kacang soya yang masih melekat. Ramas dan gosok perlahan-lahan hingga betul-betul kering sepenuhnya.

10. Masukkan kacang tadi ke dalam periuk dan gaulkan bersama ragi tempe hingga rata. Ragi boleh dibeli di pasar. (ada juga yang jual secara online). Sukatan ragi: 1 kg kacang= 2gm ragi tempe.

11. Masukkan campuran kacang tadi ke dalam plastic bersesuaian. Ikat atau bungkus dengan kemas dan padat.

12. Dengan menggunakan jarum, cucuk lubang halus pada plastik tempe. Susun tempe di tempat yang sesuai seperti meja jaring atau atas redai.

13. Biarkan tempe selama 24 jam atau hingga ia mengapas sepenuhnya sebelum boleh dinikmati.

INFO RASA: Jika sukar untuk mendapatkan ragi tempe, cara lain yang boleh dicuba ialah dengan menggunakan tempe itu sendiri. Apa yang perlu anda lakukan ialah keringkan tempe sehingga betul-betul kering. Kemudian kisar halus. Jumlah penggunaannya ialah untuk 1kg kacang soya, guna antara 8-10 keping tempe.

 

Kredit resipi & foto: Lemang Biru & Zaujah Abu Syuhadah

Published by
Nur