Cara Paling Mudah & Ringkas Hasilkan Ikan Sardin Homemade.

Share

Banyak berita kita baca mengenai ikan sardin dalam tin yang mengandungi bendasing berupa cacing. Bila dah kecoh begini, nak beli sardin dalam tin pun dah tak berapa nak selera. Jangan risau sebab puan-puan boleh hasilkan ikan sardin homemade resipi perkongsian saudari Mimi Syuhada Mad Nor ini. Rasa pun lebih sedap dari yang beli. Paling penting dijamin bersih dan enak! Jika simpan dalam peti sejuk, boleh tahan sebulan.

 

RESIPI IKAN SARDIN HOMEMADE

 

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg ikan sardin – disiang, buang kepala, ekor & sisik. Bersihkan.
  • 1 tin kecil tomato puree
  • 6 sudu makan sos tomato
  • ½ cawan air
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak untuk menumis

BAHAN KISAR:

  • 1 biji bawang besar
  • 2 ulas bawang putih
  • 3 biji tomato segar

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak masak dan tumis bawang hingga wangi.
  2. Kemudian masukkan kisaran tomato segar, tomato puree dan sos tomato. Kacau rata dan biarkan mendidih.
  3. Masukkan air dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  4. Tambahkan ikan sardin yang dibersihkan tadi. Pastikan jumlah air sama paras dengan ikan.
  5. Jika guna periuk noxxa, setkan High Pressure dan masak selama 90 minit.
  6. Setelah masak, bolehlah terus dinikmati atau dimasukkan dalam bekas-bekas kecil untuk hidangan 1 kali makan.
  7. Simpan dalam peti sejuk beku. Ikan sardin homemade ini boleh tahan lebih kurang dalam sebulan.

 INFO: Jika sukakan rasa sardin yang pedas, boleh tambah cili padi atau cili kisar.

 

TIP RASA: Jika tiada periuk tekanan, anda boleh kukus ikan menggunakan periuk kukusan biasa sehingga betul-betul empuk dan tulangnya lembut. Sos ditumis dan dimasak berasingan. Kemudian barulah masukkan ikan ke dalam kuah dan masak seketika supaya sebati rasanya. Bila kuah pekat, padam api dan simpan dalam bekas-bekas kecil untuk disejuk bekukan.

 

Kredit resipi & foto: Mimi Syuhada Mad Nor

Published by
Nur