Kalau selalu gunakan daun bawang dalam masakan, elok belajar tanam pokok bawang ini. Boleh gunakan kaedah yang paling mudah iaitu tanam daun bawang dalam balang.
Cara ini bukan saja daun mudah dipotong malah tak perlukan banyak ruang, nak alih pun senang. Bagi yang nak cuba boleh ikut cara penanaman yang dikongsi oleh Anizah Mat Ali
Cara tanam pokok bawang untuk daunnya, guna balang atau botol
1. Mula-mula tebuk balang atau botol ikut cara susunan bawang yang dimahukan. Boleh susun lubang cara bertingkat. Tebuk juga lubang bahagian bawah balang dan juga penutupnya.
2. Masukkan hydroton (bebola tanah liat) di bahagian bawah sekali, kemudian masukkan tanah sampai lubang paling bawah. Pastikan guna tanah baru.
Ads
3. Potong sedikit bahagian atas bawang, kemudian celup bahagian akar bawang dengan penggalak akar ke dalam lubang yang sudah berisi tanam. Tekan sikit supaya tak jatuh.
4. Letak bawang sehingga selesai lubang paling atas. Tekan tanah supaya mampat.
5. Atas sekali tu letaklah bawang yang terakhir. Kemudian siram bagi mengalir air ke bawah. Tanah perlu lembap bukan basah, barulah daun bawang naik subur.
6. Kemudian tunggulah sehingga pucuknya keluar. Dalam gambar ini baru seminggu usia daun bawang.
Kita digalakkan beli lauk basah sebulan sekali atau sekurang-kurangnya dua minggu sekali. Jadi tak lah buang masa asyik restok lauk basah kerap kali. Oleh itu, cara penyimpanan lauk basah seperti ayam, ikan, udang atau sotong perlu dibuat dengan baik.
Penyimpanan yang baik dan betul boleh menjadikan lauk basah itu kekal segar dan tidaklah hanyir. Wanita yang menggunakan akaun facebook Dynie Khainudin memberikan idea untuk golongan mak-mak membuat penyimpanan stok lauk basah dengan betul.
Hanya dengan meletakkan hirisan lemon dan perahan limau sahaja. Itulah rahsianya. Apabila diletakkan hirisan lemon dan perahan limau, stok lauk basah akan jadi kekal segar dan bau pun kurang hanyir apabila dimasak.
Secara detail, Dynie Khainudin memberikan petua begini.
1. Hiris lemon dan letakkan dalam bekas.
2. Perahkan asam limau ke atas lauk basah.
3. Boleh guna gaul dengan sedikit garam. Kalau tak nak pun tak apa.
4. Simpan dalam peti sejuk di bahagian sejuk beku (freezer)
Ikan adalah sumber makanan yang kaya dengan protein serta sangat baik untuk kesihatan. Malah ia juga tidak mengandungi lemak. Oleh yang demikian, kita disarankan agar mengambil lebih banyak ikan berbanding sumber protein lain seperti daging dan juga ayam.
Terdapat pelbagai jenis ikan yang ada di pasaran. Antara jenis-jenis yang popular di kalangan rakyat Malaysia ialah ikan merah, siakap, tenggiri, pari, kembung, mabung, pelaling, kerisi, selar dan banyak lagi. Ikan-ikan ini sangat sedap dimasak dengan pelbagai gaya masakan.
Pernahkan anda rasa hidangan ikan yang hanya digoreng kunyit atau dibakar ringkas, tetapi rasanya sangat enak? Haa…kalau nak tahu, rahsianya terletak pada kesegaran ikan itu sendiri. Setiap sajian pasti mempunyai rasa lebih enak jika dihasilkan menggunakan sumber yang segar serta baru. Ikan yang baru ditangkap mempunyai isi yang lebih lembut, berjus dan manis.
foto: foodrepublic.com
Rasanya sangat berbeza dengan ikan sejuk beku yang telah dicairkan aisnya. Ini kerana, ikan sejuk beku biasanya adalah ikan yang telah ditangkap dalam tempoh masa yang lama. Andai dimasak, rasa isinya lebih keras, tawar dan rasa hambar. Kurang sedap!
Namun bila ke pasar untuk membeli ikan, kadang kala kita menjadi ragu-ragu dan kurang pasti sama ada ikan yang dijual itu ikan baru atau ikan sejuk beku yang telah cair aisnya. Sekali imbas, kedua-duanya kelihatan seakan sama. Adalah tidak adil untuk membayar harga yang mahal untuk ikan yang kurang segar sedangkan anda berhak untuk mendapat kualiti yang lebih baik dari itu.
Jika anda ada masalah untuk memilih ikan yang segar, ini ada petua ringkas yang boleh membantu anda jadikan panduan. Apa perlu anda lakukan ialah:-
TIP MEMILIH IKAN SEGAR
1. WARNA IKAN
Untuk ketahui ikan yang anda nak beli segar atau tidak, lihat pada warna kulit ikan. Ikan segar mempunyai kulit yang berkilat dan berwarna cerah berbanding ikan tidak segar yang kelihatan lebih pucat.
2. BAU
Cium bau ikan. Ikan segar hanya ada bau hanyir dan berbau laut berbanding ikan lama yang berbau busuk dan sedikit masam.
3. TEKSTUR
Tekan sedikit badan ikan menggunakan hujung jari bagi merasa tekstur isinya. Ikan segar isi lebih keras dan pejal bila ditekan. Jika terlalu lembik, bermakna ikan tersebut tidak segar lagi. Elakkan beli ikan sebegitu.
4. MATA IKAN
Ikan segar matanya kelihatan jernih menonjol, masih berkilat, bersinar dan cembung. Berbanding ikan yang lama, matakan kelihatan merah, suram dan termasuk ke dalam.
5. WARNA INSANG
Jangan takut-takut untuk pegang ikan untuk melihat warna insangnya. Itu hak anda untuk dapatkan kualiti yang terbaik. Insang ikan yang segar berwarna merah dan boleh diregangkan berbanding insang ikan yang sudah lama berwarna kelabu dan berlendir tebal.
6. PILIH IKAN BERLENDIR
Ikan yang masih segar biasanya ada sedikit lendir jernih pada sisik dan kulitnya. Bila disentuh, terasa licin. Jika ikan yang anda pilih terlalu berlendir serta warna kulitnya tidak seperti dalam ciri-ciri diatas, pilih ikan jenis lain yang lebih segar.
7. SISIK & SIRIP KUAT
Sisik yang kuat melekat, berkilat serta sirip yang kuat menunjukkan ikan tersebut masih segar dan baru ditangkap. Berbanding ikan lama, sisiknya kelihatan suram dan mudah tertanggal.
8. PERUT TIDAK PECAH
Elakkan mengambil ikan yang telah pecah perutnya. Dinding perut ikan yang lembik menunjukkan iakn tersebut kurang segar. Sebaliknya pilihkan ikan yang kulit dan isinya tidak robek terutamanya pada bahagian perut.
Macam mana senangkan petua ini? Jadi mulai hari ini bila ke pasar, ingat lapan perkara ini supaya ikan yang dibeli segar dan setanding dengan harga yang anda bayar. Maklumlah, ikan harganya boleh tahan mahal lebih-lebih lagi jika yang bersaiz besar.
Bubuk atau kutu beras memang musuh suri rumah. Ada seekor je dalam bekas beras, dalam masa yang singkat serangga kecil ini akan membiak dengan pantas. Menyakitkan hati betul. Beras yang diserang bubuk akan menjadi kurang enak, lembik dan mudah basi. Nak buang pula terasa rugi lebih-lebih lagi jika beras masih banyak. Oleh itu, untuk mengatasi masalah ini, ada petua yang anda boleh cuba. Moga ia bermanfaat dan membantu anda di dapur.
6 CARA MUDAH & BERKESAN UNTUK HALAU KUTU BERAS
1. JEMUR PANAS
Paling mudah untuk hilangkan kutu beras ialah letakkan beras di atas dulang kemudian jemur di tengah panas. Kutu beras akan keluar dari beras untuk cari tempat lembap.
2. GUNA CILI KERING
Kedua, masukkan cili kering ke dalam bekas simpanan beras. Cili kering berbau kuat dan juga bersifat panas. Kutu beras tak suka cili kering dan ia dapat menghilangkan dan menghalau kutu beras.
3. LETAK BAWANG PUTIH
Kutu beras tidak sukakan bau-bauan jadi boleh halau kutu beras dengan bawang putih. Bawang putih mempunyai bau yang sangat kuat. Jadi ia mampu menghalau kutu beras.
4. HALAU GUNA DAUN PUDINA
Daun pudina perlulah dikeringkan terlebih dahulu dan kemudian kisar jadi serbuk dan masukkan ke dalam uncang. Boleh juga digaulkan bersama-sama dengan beras. Cara ini agak berkesan menghalau kutu beras.
5. DAUN LIMAU PURUT
Letakkan daun limau purut ke dalam beras. Selain beras berbau harum, ia boleh menghalau kutu beras dari terus menghuni bekas simpanan beras.
6. SIMPAN BERSAMA KULIT KAYU MANIS
Anda juga boleh letak kulit kayu manis di dalam bekas beras. Bau harumnya mampu menghalau kutu dari bekas beras.
Cubalah petua ni, kalau-kalau ada yang berkesan dan masalah bubuk beras tak ada lagi.