Nak tahu cara mudah cuci ketuhar berminyak? Maklumlah, ketuhar jika selalu guna untuk masak macam-macam makanan, pasti akan kotor. Jika dibiarkan, memang susah nak tanggal kesan makanan yang terpercik tu. Namun ada cara mudah sebenarnya untuk anda bersihkan ketuhar tanpa guna banyak tenaga.
Petua yang dikongsi oleh Chef Asma ni memang mudah. Hanya menggunakan bahan-bahan yang memang ada di dapur sahaja. Jom cuba. Pasti ketuhar anda kelihatan lebih bersih dan seakan baru.
PETUA CUCI KETUHAR BERMINYAK DENGAN MUDAH
BAHAN-BAHAN:
- 2 cawan air – lebih pun boleh
- 2 cawan cuka
- 1 cawan baking soda @ soda bikarbonat
- Kain buruk
- Botol spray
- Mangkuk
- Berus dawai periuk kasar
CARA-CARA:
- Keluarkan semua perkakasan dalam ketuhar anda ( redai, tray dan sebagainya).
- Campurkan baking soda, air dan cuka kedalam mangkuk. Tujuannya untuk jadikan campuran tu kepada cecair@ pes supaya mudah sapukan pada permukaan kotor.( masa tuang cuka, bancuhan akan nampak berbuih.)
- Sapukan cecair @ pes tadi pada permukaan kotor dalam ketuhar. Baking soda akan bertukar jadi warna perang.
- Biarkan selama 12 jam. Kena ikut supaya hasilnya menjadi seperti yang diingini.
- Cukup 12 jam @ semalaman, ambik kain buruk @ berus dawai kasar dan gosok hingga hilang kesan minyak pada ketuhar.
- Lap permukaan ketuhar hingga bersih. Kemudian bilas dengan sabun pencuci pinggan & spray dengan air bersih.
- Kemudian lap dengan kain hingga betul-betul bersih. Hasilnya, ketuhar anda pasti berkilat.
CARA CUCI PERMUKAAN KACA (PINTU) KETUHAR
- Ulang langkah pertama tadi dengan menyediakan pes baking soda.
- Sapu pes pada kaca ketuhar dan biar selama 30 minit.
- Guna kain buruk untuk lap danbilas dengan air bersih. Pastikan anda lap hingga kering.
PERINGATAN:
- JANGAN switch on ketuhar jika cermin oven masih basah. Pastikan betul-betul kering baru boleh on.
- Pastikan bahagian dalam ketuhar juga benar-benar kering sebelum digunakan. Jika tidak ia boleh menyebabkan ketuhar berasap dan jika nasib tidak baik, cermin juga akan pecah.
- Jangan simbah air pada kipas ketuhar. Cukuplah sekadar lap hingga bersih.
Kredit petua: Chef Asma Nordin
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Adriana Cakes House Pelihara Keenakan Kek. Kongsi Resipi Kek Lobak Legend.
Pemilik bakeri Adriana Cakes House ini mempunyai bakat luar biasa. Dia belajar membuat kek, bakeri dan pastri dengan merujuk kepada buku dan mempelajarinya melalui online untuk menghasilkan kek yang cantik dan enak.
Norhayati Ahmad, 37 tahun, memang minat bidang yang memerlukan sentuhan seni. Inilah sebabnya mengapa dia memilih pembuatan bakeri dan pastri sebagai pilihan kerjayanya kini.
Diam tak diam Adriana Cake House sudah beroperasi selama empat tahun. Kedai bakeri ini terletak betul-betul di kediamannya di Meru, Klang, Selangor. Bagi Norhayati berniaga sendiri menyebabkan ia mempunyai lebih masa untuk bersama-sama anak-anak. Malah nama kedainya Adriana mengambil awalan nama ketiga-tiga putri kesayangannya.
Perniagaannya sebenarnya sudah bermula sejak 2017 dengan berniaga dari rumah sebelum membuka kedai bakeri pada 2017. Di samping dia turut kelas mengajar baking dan juga menyewakan tempat untuk kelas masakan kek dan biskut. Adriana Cakes House turut menjual di kedai dan menerima tempahan online di alamat FB: adriana cakes and cookies.
Di antara produk yang dihasilkan sendiri oleh Norhayati bersama dua pekerjanya adalah kek red velvet, kek span, kek choc moist, lapis jagung, brownies,tart dan kek keju dan juga biskut dan pastri. Manakalah produk top sales adalah cream puffnya yang gebu, lembut dan berkrim enak.Dalam sehari dia dapat menjual 20 kotak yang berharga RM10 sekotak dan RM16.50 untuk kotak yang besar.
Dia juga turut menerima tempahan kek ‘custom made’ mengikut citarasa yang dikehendaki pelanggan.Prinsipnya mudah dalam menyediakan sesuatu kek atau produk biskut dan pastri yang lain dia amat mementingkan keenakan rasa agar pelanggan berpuas hati dan seterusnya berulang membeli dan seterus menjadi pelanggan tetap.
Latar belakang akademik Norhayati dalam pengajian perniagaan dan pengurusan runcit banyak membantunya dalam selok belok memajukan lagi Adriana Cakes House. Impian Norhayati adalah mengembangkan ilmu perniagaan dengan membantu keluarga dan memberi latihan kepada saudara-mara agar mereka juga dapat membuka perniagaan sendiri apabila pulang ke kampung.
Norhayati sudi berkongsi resipi kek lobak merah dengan badam yang cukup “legend’.
KEK LOBAK MERAH DENGAN BADAM
BAHAN-BAHAN :
BAHAN A:
- 200 gm tepung gandum atau tepung kek | diayak
- 1/2 sudu teh soda bikarbonat | diayak
- 1/2 sudu teh serbuk kayu manis | diayak
*Satukan semua bahan A ini, kemudian di ayak.
Bahan B:
- 250 gm lobak merah | diparut halus dan telah di perah
- 100 gm almond nibs | dipanggang dahulu selama 5 minit dalam oven pada suhu 160 C)
- 240 gm gula halus
- 180 gm minyak jagung
- 2 biji telur saiz A
Bahan krim keju :
- 150 gm krim keju
- 30 gm mentega tanpa garam
- 60 gm gula aising
- 10 gm whipping cream
*Badam hancur (kasar) @ almond nib dan parutan keju cheddar untuk hiasan
CARA MEMASAK :
Kek :
1. Putar gula dan telur hingga kembang
2. Masukkan minyak jagung dan putar lagi hingga sebati dengan kelajuan sederhana
3. Masukkan campuran tepung yang telah diayak tadi dan kaup balik sehingga sebati.
4. Masukkan lobak dan badam, kaup balik sehingga adunan sebati.
5. Sediakan loyang pembakar 23 sm, lapik loyang dengan kertas pembakar dan sapukan sedikit mentega pada loyang.
6. Tuangkan adunan dan bakar adunan di dalam ketuhar pada suhu 170 darjah celcius yang telah di panaskan dahulu selama 15 minit.
7. Bakar kek selama 40-50 minit bergantung kepada oven masing-masing..
8. Setelah masak, keluarkan dari oven dan biarkan sebentar dalam loyang pembakar dan kemudian terbalikkan atas redai.
Krim keju :
1. Pukul keju krim,mentega dan gula aising hingga kembang.
2. Dalam bekas lain, pukul whipping cream sehingga kembang.
3. Masukkan whipping cream ke dalam adunan keju krim dan kaup balik adunan sehingga sebati. Krim keju sedia disapukan pada kek.
Saiz hidangan: 1loyang pembakar bulat saiz 23 sm (1.5 kg)
Waktu memasak: 40 – 50 minit
Keistimewaan: Kek lobak merah klasik denan ‘topping’ krim keju yang lazat.
INFO : Selain badam anda juga boleh menggantikan dengan kacang walnut atau jenis kekacang , panggang dahulu kekacangnya. Lobak merah hendaklah disagat kasar.
INFO KEDAI:
Nama kedai : Adriana Cakes House
Syarikat : ACS Multi Resources
Lokasi: Lot 2035, Bt 7 1/2, Jalan Jambu, Meru, Kapar, Selangor
Pemilik : Norhayati Ahmad
Waktu urusniaga : Isnin hingga Sabtu, 10 pagi – 6.30 petang
Keistimewaan :
1. Menerima tempahan kek di kedai dan juga secara online FB
2. Menawarkan aneka jenis kek dan produk bakeri dan pastri dengan harga berpatutuan.Juga membuat custom
made mengikut corak dan bentuk mengikut citarasa pelanggan.
3. Dekorasi kek yang berseni dan cantik.
4. Menawarkan kek red velvet, kek span, kek choc moist, lapis jagung, brownies,tart dan kek keju dan juga biskut dan pastri.
5. Produk cream puff adalah antara jualan terlaris
ANDA INGIN MENCARI MIXER UNTUK MENGADUN KEK LOBAK MERAK. JOM LAYARINYA DI SINI.
ANDA MUNGKIN MEMINATI RESIPI INI :
Biscotti & Pastri Puff Menggoda Selera Dari Chef Mohd Shafeeq
Sedap & Mudah. Koleksi Resipi Pastri Buat Penggemar Manisan.
DAN JUGA VIDEO MASAKAN INI :
Jenis-Jenis Labu & Khasiatnya Terhadap Kesihatan.
Labu, buah yang terhasil dari tumbuhan menjalar yang mudah ditemui di negara ini. Ia banyak digunakan dalam masakan sama ada dalam penyediaan lauk pauk, manisan, kuih muih dan sebagainya. Malah manisan seperti Sira Labu, antara hidangan tradisi popular yang menjadi sajian penting di majlis-majlis pekahwinan terutamanya bagi negeri-negeri Pantai Timur suatu ketika dahulu.
MANFAAT LABU
Tapi jangan tak tahu, labu ini bukan sahaja sedap, malah banyak manfaatnya. Antara khasiat buah ini adalah:
1. Dengan memakan buah labu secara teratur dikatakan boleh memperbaiki fungsi dan kerja pankreas akan baik dan insulin dapat melaksanakan tugasnya dengan baik. Selain itu buah tersebut tidak menaikkan zat gula darah dalam tubuh sehingga sangat baik untuk mencegah penyakit diabetes.
2. Labu kuning memiliki manfaat untuk melindungi sistem pencernaan agar mampu berperanan dengan baik kerana kandungan serat yang tinggi. Serat itu dapat membantu menjauhkan kita daripada sembelit, buasir dan masalah pencernaan lainnya.
3. Serat juga sangat disarankan di dalam diet sihat, diet untuk mengawal kolesterol, diet penurunan berat badan dan diet untuk diabetes.
4. Labu juga sangat baik untuk kesihatan buah pinggang dan mampu mencegah penuaan awal kerana mengandung antioksidan dan mengubati bisul.
5. Labu kaya akan vitamin A, C, E dan mineral, yang berfungsi untuk membantu meningkatkan kekebalan tubuh dan anti radikal bebas.
JENIS-JENIS LABU
Terdapat banyak jenis labu yang ada di pasaran. Antaranya ialah:
Labu Air – Teksturnya keras, warna kulit kehijauan, dan isi buah berwarna putih. Ia boleh dijadikan manisan kering atau dimasak menjadi lauk. Labu jenis ini mengandung getah yang lebih banyak dibandingkan labu lain. Oleh kerana itu, kupaslah labu di bawah air mengalir. Labu air mengandung kalsium, zat besi, dan vitamin C. Selain itu labu air kaya dengan serat, mineral, dan kalsium.
Butternut Squash – Rasa dan warnanya mirip dengan labu kuning, tetapi bentuknya oval dengan tekstur isi buah lebih lembut. Sangat sesuai dijadikan pelbagai hidangan pencuci mulut seperti seperti pudding dan kek. Seperti labu kuning, Butternut Squash juga sangat kaya vitamin A, C, mineral, dan serat.
Courgette – Courgette (Cucurbita Pepo) sangat popular di Eropah dan Timur Tengah. pelbagai masakan lazat tercipta daripada labu yang mirip mentimun ini. Labu yang masih muda sangat sesuai digunakan dalam masakan. Labu ini sangat lazat jika diisi dengan daging, campuran salad, ataupun ditumis dengan makanan laut.
Labu Mi – Dipanggil labu mi atau labu spageti kerana isinya seperti mi bila dikeluarkan.Bentuknya pula mirip labu kuning. Semakin tua, tekstur isi buahnya akan semakin padat menyerupai mi. Labu ini sangat enak dibuat aneka puding, kuih, atau diolah menjadi sayuran, dipanggang dengan daging ataupun ditumis.
Kabucha – Labu ini dipercayai berasal dari Jepun. Di pasaran ada dua jenis yang hanya berbeza bentuk. Acorn Squash berbentuk oval dan Kabucha pula berbentuk bulat. Enak dimasak menjadi sup, stew sayuran, atau hidangan penutup.
Labu Siam(Sechium Edule) – Bentuk labu siam (Sechium Edule) lebih kecil daripada jenis labu lain. Sifatnya pun bergetah dengan permukaan yang berbiku-biku. Labu ini sesuai dijadikan masakan sayur, seperti sambal goreng, sayur bersantan atau dikukus sebagai kudapan.
RESIPI MENGGUNAKAN LABU
Ha..dah tahu kebaikan labu ni, lepas ni bolehlah selalu beli dan masak labu untuk ahli keluarga anda. Macam-macam boleh dihasilkan. Oleh itu, RASA kongsikan DUA resipi yang boleh anda cuba.
1. PAI LABU
BAHAN-BAHAN KULIT PAI:
- 12gm tepung gandum
- 55gm mentega
- 40ml air
- Secubit garam
- Air secukupnya
CARA MEMASAK:
- Di dalam satu mangkuk, satukan tepung, garam dan mentega dan ramas hingga menjadi seperti serbuk roti.
- Masukkan air sedikit demi sedikit dan uli hingga menjadi doh.
- Bentukkan kulit pai di dalam acuan pai bersaiz 16 cm.
- Cucuk dengan garpu di bahagian tengah pai dan bakar pada suhu 180˚C selama 20 minit.
- Angkat dan ketepikan.
BAHAN INTI:
- 65gm gula
- 1 sudu teh serbuk kulit kayu manis
- ½ sudu teh garam
- 100gm puri labu
- 100gm susu segar
- 1 biji telur
CARA MEMASAK:
- Satukan semua bahan dan gaul hingga sebati.
- Tuangkan ke dalam kulit pai yang dibakar tadi dan bakar semula pada suhu 180˚C selama 50 minit.
- Angkat dan sedia dihidangkan.
INFO CHEF: Untuk menjimatkan masa, boleh membeli pastri segera yang sedia terjual di pasaran.
2. MASAK LEMAK LABU KACANG PANJANG
BAHAN-BAHAN:
- ½ biji labu | potong
- 6 tangkai kacang panjang | potong
- 1 batang serai
- 400ml santan cair
- 400ml santan pekat
- 1 biji bawang besar
- 3 ulas bawang putih
- ½ sudu teh serbuk kunyit
- 5-10 tangkai cili padi
- Garam dan gula secukupnya
CARA MEMASAK:
- Kisarkan cili padi, bawang besar dan bawang putih hingga hancur.
- Masukkan santan cair ke dalam peruk dan tuang bahan kisar ke dalam periuk tersebut bersama serai yang dititik.. Gaul sekata.
- Masukkan kepingan dan masak hingga kuah mendidih.
- Apabila labu sedikit lembut, masukkan kacang panjang dan santan pekat. Gaul sebati.
- Tambahkan sedikit serbuk kunyit dan perasakan dengan gula dan garam secukup rasa. Gaul sebati dan biar ia mereneh.
- Apabila labu sudah empuk, matikan api dan hidangkan.
INFO CHEF: Boleh lebihkan cili padi jika inginkan rasa lebih pedas.
Khasiat & Kelebihan Makan Nasi Beras Perang Terhadap Kesihatan.
Mengikut pakar pemakanan beras perang lebih nutrisinya berbanding beras putih. Bagi pesakit diabetes kurangkan pengambilan nasi putih adalah solusi terbaik. Beras perang juga adalah pilihan yang lebih baik buat pesakit diabetes. Namun seperti juga beras putih, kurangkan kuantiti makanan yang diambil. Lebihkan sayur-sayuran dan kawal diet. Tetapi apa yang bagus sangat beras perang ni? Jom semak info.
1. TINGGI KANDUNGAN SELENIUM
Beras perang kaya dengan selenium yang dipercayai dapat mengurangkan risiko penyakit seperti barah, penyakit jantung dan artritis. Selenium adalah mineral penting yang berupaya meningkatkan imuniti dan ketahanan badan.
2. KAYA DENGAN MANGAN
Secawan beras perang memberikan 80 peratus keperluan galian mangan (manganese) tubuh kita. Ia membantu tubuh melaraskan lemak serta memberi kebaikan kepada sistem reproduktif (kesuburan) dan saraf.
3. MERANGSANG PENURUNAN BERAT BADAN
Kandungan fiber dalam beras perang memelihara usus kerana ia membantu proses penghadaman. Ia tambahan pemakanan diet yang baik bagi mereka yang mahu melancarkan penghadaman. Beras perang menjadikan kita cepat kenyang, bila mudah kenyang pasti jumlah yang dimakan pun jadi kurang.
4. ELAK RISIKO SAKIT JANTUNG & KOLESTEROL
Beras perang dikatakan sebagai bijirin penuh kerana ia tidak kehilangan zat penuhnya melalui proses penapisan ‘refining’. Bijirin penuh sudah terbukti dapat mengurangkan pembentukan plak di arteri dan dengan itu mengurangkan risiko penyakit jantung dan tinggi kolestrol.
5. KAYA ANTI-OKSIDAN
Inilah satu lagi rahsia khasiat beras perang. Selama ini kita cuma kaitkan anti oksidan ini dengan buah-buah beri atau sayur-sayuran. Memang hebat kapasiti anti oksidannya sehebat dengan buah-buahan dan sayur-sayuran.
6. TINGGI KANDUNGAN FIBER
Ia kaya dengan fiber dan termasuk dalam senarai makanan yang diyakini boleh mengelakkan kanser usus. Kandungan fiber dalam beras perang adalah tinggi. Jadi ia melawan elemen yang boleh menyebabkan kanser dan juga toksin dalam tubuh. Secara langsung ia menghapuskan elemen ini daripada melekat di dinding usus.
7. MEMPERLAHANKAN PERLEPASAN GULA
Beras perang membantu menstabilkan paras gula darah, ini menjadi sumber makanan yang baik untuk pengidap diabetes. Kajian menunjukkan mereka yang makan satu setengah cawan beras perang boleh mengurangkan risiko mendapat diabetes sebanyak 60% berbanding jika memakan nasi putih.
8. SESUAI DIJADIKAN MAKANAN BAYI
Bijirin beras perang boleh dijadikan makanan bayi kerana padat dengan nutrisi semulajadi dan kandungan fiber. Ia menjadi pilihan yang lebih baik berbanding dengan beras/nasi putih yang telah melalui proses penggilapan.Membantu proses tumbesaran bayi dan kanak-kanak yang memerlukan diet yang kaya dengan dengan kandungan nutrisi.
9. ELAK JANGKITAN ‘CANDIDA YEAST’
Apa itu candida yeast? Ia adalah fungus atau sejenis kulat yang hidup di dalam mulut dan sistem usus anda. Kandungan beras perang dikatakan dapat memulihkan sistem penghadaman atau usus yang sensitif daripada ‘pertumbuhan berlebihan’ organisma candida ini. – FARIDAH TALIB
sumber rujukan : www.vegkitchen.com
BACA JUGA:
Banyak Rupanya Khasiat & Manfaat Barli Ni. Bukan Penyejuk Badan Semata-Mata.
Bacaan Tekanan Darah Anda Tinggi? Cuba Jus Ubi Bit Merah Ni. Baik Juga Untuk Jantung.
Pisang Buah Tempatan Biasa Tapi Tinggi Khasiat & Berupaya Cegah Penyakit Berbahaya.