Chef Aziz Yakin Projek Wonder Waffles Bantu Jana Kewangan Golongan Sasar

Share

 

 

Sekian lama bergiat dalam dunia masakan, Chef Aziz Juhari semakin aktif melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan. Niatnya ingin membantu golongan yang memerlukan. Bukan memberikan wang secara percuma. Sebaliknya Chef Aziz membuka ruang perniagaan supaya golongan tersebut mampu berusaha menjana kewangan sendiri.

Menggalakkan setiap individu supaya lebih rajin berusaha demi mendapatkan rezeki Allah, Chef Aziz yakin bahawa setiap yang berusaha maka akan dipermudahkan oleh Allah untuk memperoleh rezeki secara halal.


Chef Aziz penuh dengan idea untuk bantu golongan sasar..

“Saya faham erti kesusahan hidup. Sebab itulah saya terpanggil untuk membantu ramai golongan yang memerlukan dengan cara perniagaan kecil. Melalui Pertubuhan Kulinari Amal Selangor (Merci Culinary), kami telah merangka modul untuk golongan tertentu menjual produk makanan. Apa yang pasti produk ini disukai ramai dan mudah dijual. Melalui Projek Wonder Waffles, saya yakin perniagaan ini boleh memberi pulangan sekali gus membantu dari segi kewangan kepada golongan sasar,” ujar Chef Aziz yang juga Penasihat Merci Culinary memulakan bicara.

SASAR IBU TUNGGAL

Antara golongan sasar yang menjadi perhatian program ini adalah ibu tunggal. Merci Culinary merasakan bahawa golongan ibu tunggal perlu dibantu dari segi kewangan apatah lagi jika mereka sebelum bercerai atau kematian suami adalah golongan surirumah.

“Niat tersebut dipanjangkan dengan projek Wonder Waffles. Menariknya projek ini walaupun masih baru, namun terbukti boleh membantu menjana pendapatan bagi mereka yang memerlukan. Fokus kepada golongan ibu tunggal, saya akui semangat yang ada pada golongan tersebut boleh merealisasikan impian wanita yang ingin memenuhi tuntutan kewangan pada hari ini.

“Saya cuba bantu dengan memberikan idea satu jenis makanan snack yang mudah dimasak, sedap dan ramai orang suka. Tak kira golongan berapa usia mereka. Semua suka wafel sama ada dewasa atau kanak-kanak. Lagipun wafel boleh dikatakan sebagai snack sihat. Mudah dijual dan secara tak langsung boleh buat duit,” ujar Chef Aziz.


Chef Aziz yakin projek Wonder Waffles ini boleh berjaya..

Projek Wonder Waffles ditubuhkan di bawah Merci Chef dengan kolaborasi bersama institusi kewangan yang membantu dari segi kewangan berbentuk pinjaman untuk modal permulaan. Justeru hal ini memudahkan mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan namun kekurangan modal.

“Modal permulaan tidaklah terlalu besar. Jadi peserta projek ini tidak menanggung hutang yang membebankan. Dengan sambutan wafel yang memberangsangkan, pastinya peserta boleh memulakan perniagaan dengan selesa dan meraih keuntungan daripada hasil jualan,” ujar Chef Aziz.

GERAI, KIOSK

Pada April lalu, projek Wonder Waffles telah dilancarkan dan seramai 25 usahawan pertama projek ini memulakan perniagaan masing-masing. Lokasi perniagaan dipilih mengikut lokasi yang ramai dengan pembeli dan strategik.

Menggunakan tepung khas, telur ayam dan air sebagai bancuhan, wafel yang dibuat memang mudah dan sedap rasanya. Setiap bancuhan mempunyai sukatannya sendiri dan sesiapa pun boleh buat tanpa rasa susah. Usahawan wafel akan diberikan bahan-bahan dan kiosk lengkap dengan dapur untuk memasak.


Buka kiosk di majlis kahwin pun boleh menjana pendapatan.

Saluran jualan wafel juga sudah dikenalpasti iaitu melalui booth, hantar (delivery) kepada pelanggan, jualan secara media sosial dan juga JV bersama food truck atau stall makanan lain.

“Saya yakin dengan perniagaan wafel ini mampu menjana pendapatan golongan sasar. Jangan sempitkan berniaga hanya di booth saja. Wonder Waffles boleh luaskan perniagaan untuk majlis hari jadi, majlis kahwin, kantin di kilang, kolej, universiti, hospital dan lokasi yang mempunyai ramai orang.

“Peluang perniagaan bersama Wonder Waffles masih terbuka luas. Kepada sesiapa yang berminat, boleh hantar permohonan kepada kami di Merci Chef. Kami ingin bantu dan duplicate sistem ini di setiap parlimen. Antara sasaran kami adalah membuka stall di sekolah. Wafel ini adalah snack sihat dan sesuai dinikmati oleh pelajar sekolah,” ujarnya Chef Aziz menutup bicara.

Published by
Maryam Elyas