Istimewa di bulan Ramadan ini, Majalah RASA membawakan Rasa Ramadan Special Live buat para ‘followers’ setia. Bersiaran secara ‘LIVE’ di page FB pada setiap Khamis hingga Sabtu para penonton disajikan dengan pelbagai resipi menarik yang mudah, sedap dan enak melekat yang dikongsi oleh bersama tetamu jemputan yang terdiri daripada barisan chef, vip dan juga instafamous tersohor.
Selain berkongsi resipi, para pelayar juga boleh berinteraksi bersama tetamu jemputan dan berkongsi pelbagai tip serta petua masakan. Memang menarik dan berinformasi.
Dihoskan oleh Sis Mas, pada minggu ini Rasa Ramadan Special Live telah menjemput Chef Razak, Datin Nor Hafizah Saad dan Chef Asma sebagai tetamu istimewa. Memang terliur melihat menu-menu yang mereka kongsikan.
Sedikit pengenalan mengenai para tetamu di minggu ketiga ini:
Chef Abd Razak Abdullah berpengalaman selama 30 tahun dalam bidang kulinari. Berkhidmat di Kumpulan Pendidikan YPJ, khidmatnya bukan sahaja di Malaysia, malah kepakarannya turut ditagih di peringkat antarabangsa. Beliau turut menggalas tugas Ketua Chef pada majlis-majlis tertentu yang memerlukan kepakaran dan khidmat pengurusan yang amat teliti dalam sajian berprofil tinggi.
Datin Nor Hafizah Saad pula adalah pengasas Ar Rayyan Hijrah Resources. Suka memasak dan tangkas di dapur. Malah ilmu-ilmu dalam bidang masakan ini beliau timba sejak dari kecil lagi sewaktu membantu ibu memasak untuk gerai jualan.
Manakala Chef Asma pula merupakan Pensyarah Unitar, pemilik Chef Asma Studio dan pakar Kuih Talam No 1 di Malaysia. Aktif menyertai pertandingan kulinari di dalam dan luar negara dan terbaru beliau berjaya memenangi Pingat Emas di Jakarta dalam kategori Kuih Jajanan Pasar Tradisional.
Ha..Bukan calang-calang sifu tau kami bawakan buat anda. Semuanya mempunyai kepakaran dan keistimewaan masing-masing.
Nak cuba resipi-resipi yang mereka kongsikan? RASA kongsikan resipi penuh buat anda.
1. KEEMA KAMBING ( CHEF RAZAK)
Ads
BAHAN-BAHAN:
300gm daging kambing cincang @ kisar
BAHAN A:
7 tangkai cili kering | potong kecil
2 helai daun bay
3 biji buah pelaga
1 keping kulit kayu manis
2 biji bawang kecil | kisar
1 sudu makan bawang putih | kisar
1 sudu makan halia | kisar
BAHAN B:
1 1/2 sudu makan serbuk ketumbar
1 1/2 sudu makan serbuk jintan putih
1/2 sudu teh serbuk kunyit
1/2 sudu teh serbuk lada sulah
1/2 sudu teh garam
1 sudu makan garam masala
3 sudu makan tairu
3 sudu makan emping cili (chilli flakes)
2 biji tomato | hiris baji
150ml air
3 biji cili hijau | patah-patahkan
2 biji kentang | potong dadu
1 tangkai daun ketumbar | potong kasar
1 batang lobak merah | hiris
CARA MEMASAK:
1. Tumis cili kering, daun bay, buah pelaga dan kulit kayu manis dan bawang merah. Tumis hingga garing.
2. Masukkan bawang putih. Tumis seketika diikuti halia. Goreng lagi hingga garing.
3. Masukkan hirisan tomato. Goreng seketika. Masukkan juga ubi kentang. Tuang sedikit air supaya kentang cepat empuk. Kacau.
4. Masukkan hirisan lobak merah dan emping cili. Gaul hingga rata. Tambah air seikit lagi supaya tidak kering sangat.
5. Bila tomato layu, masukkan serbuk kunyit, serbuk jintan putih, garam masala dan serbuk ketumbar. Tuang air sedikit supaya jadi seakan pes. Tumis lagi hingga wangi.
6. Masukkan daging kisar. Gaul sebati dan biar hingga separuh masak. Jika terlalu kering, tambah sedikit air.
7. Tambahkan tairu (boleh ganti dengan santan atau yogurt). Kacau sebati.
8. Perasakan dengan gula dan garam secukup rasa. Kacau biar mendidih.
9. Seterusnya masukkan cili hijau yang dipatah-patahkan. Kacau dan perlahankan api supaya bahagian dasar periuk tidak hangus.
10. Masukkan daun ketumbar supaya sajian jadi lebih wangi. Biar Keema mereneh selama 5 minit sebelum diangkat.
11. Tabur sedikit jintan putih dan emping cili bagi menghasilkan Keema yang nampak lebih menarik.
12. Angkat dan sedia untuk dihidangkan bersama capati, roti nan atau ikut selera masing-masing.
2. AYAM MASAK PERAK ( DATIN NOR HAFIZAH SAAD)
BAHAN-BAHAN:
1 ekor ayam | digaul dengan ½ sudu besar serbuk kunyit dan garam secukupnya
5 ulas bawang putih | dihiris
5 biji bawang merah kecil | dihiris
1 1/2 batang kulit kayu manis
3-4 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
2 sudu besar kerisik
1/2 cawan kicap manis
Garam secukup rasa
1 biji bawang besar | dihiris untuk ditaburkan lepas memasak
BAHAN KISAR SEKALI:
2 genggam cili kering | direbus dan tos
3 biji bawang besar | dikisar
1 labu bawang putih | dikisar
3 inci halia | dihiris dan digoreng dan dikisar
1 sudu kecil jintan manis | disangai dan dikisar
CARA MEMASAK :
Ayam goreng separuh masak. Angkat dan ketepikan.
Halia dihiris, digoreng dan dikisar bersama cili kering, jintan manis, bawang putih dan bawang besar. Masukkan sedikit air (paras bahan) masa kisar.
Tumis hirisan bawang putih, bawang merah dan juga kulit kayu manis, biji pelaga dan bunga lawang hingga wangi.
Kemudian tuangkan bahan yang telah dikisarkan tadi. Masukkan juga kerisik, kicap dan garam.
Bila bahan tumisan telah pecah minyak, masukkan ayam. Kacau rata.
Biarkan mereneh dan akhir sekali masukkan hirisan bawang besar. Gaul seketika.
CARA-CARA:
1. Satukan semua bahan diatas , tapis & jadikan 1200 ml. ( jika tak cukup tambah air ). Bahagi kepada 4 bahagian.
ADUNAN B : (LAPISAN HJAU)
150 gm tepung kacang hijau
100 gm tepung gandum
80 gm tepung ubi
200 gula pasir
250 ml santan pekat
600 ml air
1 sudu teh garam
1 sudu teh pewarna hijau epal
CARA-CARA :
1. Satukan semua bahan diatas , tapis & jadikan 1300 ml.(jika tak cukup tambah air).Bahagi kepada 4 bahagian
CARA MELAPIS:
1. Bahagi setiap adunan kepada 4 bahagian , kukus lapisan kuning dahulu,apabila masak,kukus lapisan kedua adalah hijau.
2. Ulangi langkah No. 1 hingga ke lapisan ke lapan.
3. Kukus setiap lapis selama 8 minit – 10 minit & setiap lapisan hendaklah dicakar dengan garfu.
4. Kukus bahagian ahkir selama 15 minit. apabila masak angkat dan sejukkan di suhu bilik sebelum dipotong dengan Pembaris Talam Ciptaan Chef Asma.
Daging kambing sering dimomokkan kononnya ia amat memudaratkan. Padahal daging kambing adalah amalan pemakanan sunnah yang digemari oleh baginda Rasulullah s.a.w.
Menurut kajian oleh Persatuan Jantung Amerika, daging kambing baik untuk mereka yang mempunyai masalah berkaitan jantung kerana daging ini mempunyai tinggi kualiti proteinnya dengan nisbah kandungan lemak yang sihat.
Daging kambing lebih mudah dihadam kerana struktur molekul daging kambing yang berbeza. Daging kambing juga mengandungi zat besi dan kandungan potasium yang rendah kandungan mineral.
Ni min kongsikan aneka menu kambing dari Timur Tengah, Fusion Barat dan India. Dari tiga benua, jom cuba esok…
1. BETIS KAMBING BUKHARY
BAHAN-BAHAN :
4 ketul betis daging kambing (shank, bahagian kaki bawah lutut /betis)
4 sudu makan rempah bukhary
3 sudu makan puri tomato
1.5 liter air stok rebusan daging
2 biji bawang besar /dikisar
10 ulas bawang putih/ diketuk
5 sm halia
2 batang kayu manis
50 gm daun ketumbar /dihiris halus
5 biji bunga cengkih
5 biji buah pelaga
5 biji bunga lawang
5 biji cili hijau /dipotong 2.5 sm
2 biji tomato dipotong empat
2 sudu makan minyak masak
2 sudu makan minyak sapi
Garam secukup rasa
Sedikit pewarna saffron
CARA MEMASAK :
1. Rebus daging sehingga 30 minit
2. Angkat dan keluarkan daging, ketepikan.
3. Panaskan oven pada suhu 250 celcius selama 10 minit.
4. Panaskan minyak masak dan masukkan sekali minyak sapi.
5. Tumis bawang besar dan bawang putih dan masukkan cili hijau berserta rempah ratus empat sekawan.
6. Masukkan pula rempah bukhari dan puri tomato, kacau dan tumis hingga pecah minyak.
7. Masukkan hirisan daun ketumbar dan tomato
8. Masukkan air rebusan kambing
9. Masukkan garam dan pindahkan kesemua bahan di dalam dulang pembakar dan tutup dengan kertas aluminium
10. Bakar di dalam oven selama 1 setengah jam pada suhu 250 celcius. Keluarkan dan ia siap dihidang.
Saiz hidangan : 4 – 6 orang Waktu memasak : 1 jam 40 minit Cara memasak : Rebus, tumis dan bakar Jenis hidangan : Lauk utama Arab Keistimewaan : Sedap dimakan bersama nasi bukhari atau roti Naan/roti Arab
INFO CHEF : Semasa membersihkan daging buangkan tisu liat agar ia mudah empuk.
2. DAGING KAMBING MASAK LADA HIJAU
BAHAN -BAHAN :
1 kg daging kambing /direbus terlebih dahulu
Bahan dikisar :
200 gm cili hijau /dikisar
50 gm cili padi /dikisar
2 sm kunyit hidup /dikisar
100 gm lengkuas /dikisar
3 biji bawang besar /dikisar
5 ulas bawang putih/dikisar
2 batang serai /dikisar
5 helai daun limau purut/dihiris halus
100 gm daun ketumbar/dihiris halus
3 batang kulit kayu manis
2 keping asam keping
Garam secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis
CARA MEMASAK :
1. Panaskan minyak di dalam kuali dan tumiskan bahan yang dikisar.
2. Masukkan kulit kayu manis, dan tumis kesemua bahan hingga naik bau.
3. Masukkan daging kambing yang telah direbus, dan balik-balikkan hingga sebati.
4. Kemudian masukkan daun limau purut dan daun ketumbar.
5 .Tambahkan garam secukup rasa bersama asam keping
6. Masak lagi selama 5 minit.
7. Sedia untuk dihidang
Saiz hidangan : 10 orang Masa memasak : 45 minit Cara memasak : Tumis dan reneh Jenis masakan : Sambal Keistimewaan : Daging kambing masak lada hijau ini juga disebut sebagai sambal hijau daging kambing
INFO CHEF:Gabungan lada hijau dan cili padi hijau menjadikan kuahnya berwarna hijau menyelerakan dengan aroma dan rasa rempah kulit kayu manis
. 3. SUP KAMBING MALABARI
BAHAN-BAHAN :
800 gm daging kambing dipotong kiub (bertulang)
50 ml minyak sapi
Bahan sup A:
6 ulas bawang putih /dicincang
2 sm gm halia /dihiris nipis
5 gm kulit kayu manis
5 gm biji pelaga
5 gm daun kari
2 gm ketumbar biji
2 gm habatus sauda
2 gm biji poppy
1 biji limau/dipotong baji
5 gm serbuk lada hitam
4 cawan air
Garam secukup rasa
25 gm daun ketumbar/dihiris
120 gm bawang goreng
35 gm tomato / dipotong baji
CARA MEMASAK :
1. Panaskan minyak sapi di dalam periuk dan masukkan bahan-bahan sup (A). Tumiskan selama 2 minit hingga naik bau..
2. Masukkan 4 cawan air dan biarkan hingga mendidih.
3. Masukkan daging kambing dan masak hingga daging empuk. Renehkan dan masukkan tomato..
4. Kemudian tabur bawang goreng dan daun ketumbar dan boleh dihidangkan. Perahkan jus limau di atasnya. Saiz hidangan : 8- 9 orang Masa memasak :30-40 minit Cara memasak :Didih dan reneh Jenis masakan : Sup India Keistimewaan : Sedap dihidangkan bersama nasi dan roti
INFO CHEF: Sup kambing Malabari ini adalah resipi sup istimewa dari India. Sup yang kaya dengan rempah ratus.
4. GULAI KAWAH BETIS KAMBING
BAHAN-BAHAN :
4 kg betis kambing/direbus dengan air selama 1 jam
300 gm bawang besar /dikisar
5 sm halia /dikisar
7 ulas bawang putih /dikisar
2 batang kulit kayu manis
5 biji buah pelaga
10 gm bunga cengkih
2 sudu makan serbuk cili
2 sudu makan serbuk jintan manis
1 sudu makan serbuk jintan putih
200 gm rempah kari daging
2 keping asam keping
1/2 biji santan kelapa
Garam secukup rasa
CARA MEMASAK :
1. Rebus kambing dengan kadar menutupi daging, apabila masak keluarkan dagingnya.
2. Pijarkan minyak dan tumis bahan kisar bersama rempah 4 sekawan.
3. Masukkan serbuk kari, jintan dan ketumbar,tumis hingga pecah minyak dan masukkan air rebusan daging
4. Kemudian masukkan kambing dan didihkan
5. Masukkan asam keping, dan perisakan dengan garam .Masukkan santan dan reneh selama 20 minit
6. Biarkan daging empuk
7. Gulai kawah siap dihidang
Saiz hidangan : 7- 8 orang Waktu memasak : 40 minit Cara memasak : Tumis dan renih Jenis hidangan : Lauk utama fusion Keistimewaan : Lauk ini bertambah lazat apabila sudah semalaman
INFO CHEF : Sedap dimakan bersama roti dan nasi. Anda boleh menggunakan rempah gulai yang siap dijual, didalamnya tersedia segala campuran rempah ratus.
5. MOUSAKKA KAMBING
BAHAN-BAHAN : Bahan A (inti) :
800 gm daging kambing cincang
250 gm puri tomato
1 sudu makan serbuk jintan manis
1 sudu makan serbuk jintan putih
1 sudu makan serbuk ketumbar
300 gm bawang besar /dihiris
7 ulas bawang putih /dihiris
Garam secukup rasa
1 biji terung panjang / potong bulat menjadi beberapa keping
Bahan B:
1 liter susu segar
250 gm mentega
250 gm tepung gandum
250 gm keju mozarella
CARA MEMASAK :
1. Panaskan minyak dan tumis bawang hingga wangi dan kemudian masukkan puri tomato.
2. Tumis selama 7 minit dan masukkan semua rempah setelah tumisan sebati dan wangi.
3. Kemudian masukkan daging cincang, perlahankan api dan biarkan sejuk.
4. Ambil kuali lain panaskan mentega hingga cair dan kemudian masukkan tepung gaul sehingga kelihatan seperti doh dan masukkan susu.
5. Kacau sehingga pekat dengan suhu 60-70 celcius, tutup api. (becahamel sos siap)
6. Sediakan dulang pembakar, susun terung sehingga menutupi bahagian dulang
7. Kemudian masukkan inti daging cincang tadi dan diikuti bancuhan susu
8. Ulangi sebanyak 2 lapisan dan taburkan keju di atas lapisan tadi
9. Bakar dalam ketuhar selama 25 minit, dengan suhu 160 darjah celcius. Siap dihidang.
Saiz hidangan : 4-5 orang Waktu memasak : 30 minit Cara memasak : Tumis dan bakar Jenis hidangan : Mediterranean Keistimewaan : Inti daging dilapisi bechamel dan terung ciri utama moussaka
INFO CHEF :Moussaka dipercayai berasal dari Greece tetapi cukup terkenal di negara Arab dan Mediterranean.
Menu pedas ni memang boleh jadi ‘pembuka selera’. Mana tidaknya, semakin membahang mulut dan bibir, semakin laju makanan disuap. Peluh pun tak hirau. Bagi anda yang suka layan pedas, aneka lauk pauk berasaskan sambal dan tumisan cili ini boleh dijadikan pilihan sama ada berkuah mahupun kering. Memang wajib dicuba!
1. DAGING SAMBAL PEDAS
BAHAN-BAHAN:
250gm daging|dihiris nipis dan rebus empuk
10 biji cili hijau|dikisar
6 biji cili padi|kisar
5 ulas bawang merah|kisar
4 ulas bawang putih|dikisar
4 biji buah keras|dikisar
1 labu bawang besar|dibelah empat
Garam secukup rasa
Lada sulah secukup rasa
Gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
Tabur sedikit garam dan lada sulah pada daging yang telah direbus terlebih dahulu lalu goreng beberapa minit sehingga ia keperangan. Ketepikan.
Panaskan minyak masak di dalam kuali lalu tumis bahan-bahan yang dikisar sehingga cili masak.
Masukkan bawang besar, daging yang telah direbus dan sedikit air. Didihkan selama seminit.
Tambah garam dan gula secukup rasa sebelum dihidangkan.
Info Chef: Pastikan cili merah digoreng sempurna bagi memastikan cili masak.
2. AYAM PANGGANG SAMBAL HIJAU
BAHAN-BAHAN:
5 ketul ayam
Garam secukup rasa
Lada sulah secukup rasa
8 biji cili hijau
6 biji cili padi hijau
1 batang serai
4 ulas bawang putih
15ml perahan air asam jawa
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
15ml minyak masak
CARA MEMASAK:
Lumur garam dan lada sulah ke atas ayam lalu panggang sehingga masak. Ketepikan.
Kemudian kisar cili hijau bersama cili padi, bawang putih dan serai sehingga ia halus dan menjadi pes.
Di dalam kuali, panaskan sesudu minyak lalu tumis bahan kisar hingga cili masak.
Sesuaikan rasanya dengan menambah air asam, garam dan gula secukupnya.
Tuang sambal ke atas ayam dan hidangkan.
Info Chef: Ayam dipanggang untuk rasa sebati yang lebih enak
3. BAWAL GORENG SAMBAL
BAHAN-BAHAN:
2 ekor ikan bawal
8 biji cili merah|dikisar
5 ulas bawang merah|dikisar
4 ulas bawang putih|dikisar
3cm halia muda
1 tangkai daun bawang|dipotong seinci
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Sedikit serbuk kunyit
CARA MEMASAK:
Bersihkan ikan bawal kemudian kelar tengahnya dan lumur dengan sedikit serbuk kunyit dan garam. Goreng sehingga garing dan ketepikan.
Kisar cili merah bersama bawang merah, bawang putih dan halia sehingga halus.
Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis bahan-bahan kisar sehingga cili masak.
Tambahkan garam dan gula secukup rasa.
Tambah daun bawang dan tutup api. Tuang sambal ke atas bawal yang telah digoreng terlebih dahulu.
Info Chef: Pastikan cili merah digoreng sempurna bagi memastikan cili masak.
4. AYAM MASAK SAMBAL
BAHAN-BAHAN:
5 ketul ayam
90gm cili kisar
30gm cili sos
4 ulas bawang merah|dikisar
3 ulas bawang putih|dikisar
3cm halia|dikisar
1 batang serai|dititik
1 labu bawang besar|dibelah empat
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Lada sulah secukup rasa
Minyak masak untuk menggoreng
CARA MEMASAK:
Lumurkan ayam bersama sedikit garam dan lada sulah. Goreng sehingga masak dan ketepikan.
Di dalam kuali, panaskan minyak masak kemudian tumis bahan-bahan yang telah dikisar sehingga wangi.
Masukkan serai, cili kisar dan sos cili. Tumis hingga pecah minyak.
Tambah sedikit air, garam dan gula secukup rasa.
Masukkan bawang besar dan ayam yang telah digoreng. Didihkan seminit dua dan tutup api.
Info Chef:Pastikan ayam digoreng terlebih dahulu untuk memastikan hidangan lebih sebati dengan sambal.
5. IKAN TAMBAN CILI PADI
BAHAN-BAHAN:
150gm ikan tamban masin
15 biji cili padi hijau|dikisar
4 biji cili hijau|dikisar
4 ulas bawang merah|dikisar
3 ulas bawang putih|dikisar
1 labu bawang besar|dipotong bulat
5ml perahan air asam jawa
3cm belacan
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
Bersihkan ikan tamban masin dan buang tulangnya. Tumbuk kasar dan goreng separuh masak. Ketepikan.
Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan kisar berserta belacan sehingga wangi.
Masukkan ikan tamban yang telah separuh goreng tadi dan goreng hingga masak.
Tambah air asam, bawang besar, garam dan gula secukup rasa sebelum dihidangkan.
Info Chef: Tambah cili padi sekiranya anda ingin rasa yang lebih pedas.
6. KEPAH SAMBAL MERAH
BAHAN-BAHAN:
250gm isi kepah
60gm cili kisar
30gm tomato puri
30gm sos tomato
5 ulas bawang putih|ditumbuk halus
3cm halia muda|ditumbuk halus
Garam secukup rasa
Lada sulah secukup rasa
Gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
Panaskan minyak masak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan yang telah tumbuk hingga wangi.
Masukkan cili kisar dan tumis lagi sehingga cili masak.
Masukkan tomato puri, sos tomato dan kepah. Tumis sehingga semua bahan sebati dan masak.
Tambah lada sulah, garam dan gula secukup rasa sebelum dihidangkan.
Info Chef: Basuh kepah dengan air garam bagi mengeluarkan benda asing yang mungkin melekat di kulit kepah.
7. SOTONG CELUP TEPUNG BERSAMBAL
BAHAN-BAHAN:
5 ekor sotong|dipotong bulat
Garam secukup rasa
Lada sulah secukup rasa
30gm tepung jagung
BAHAN-BAHAN UNUK SAMBAL:
60gm cili kisar
30gm sos cili Thai
4 ulas bawang merah|ditumbuk halus
3 ulas bawang putih|ditumbuk halus
1 labu bawang besar |dipotong bulat
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
Tabur sedikit garam dan lada sulah ke atas sotong lalu salut dengan tepung jagung.
Goreng sotong di dalam minyak yang banyak sehingga garing dan tos.
Di dalam kuali lain, panaskan minyak masak lalu tumis bahan-bahan tumbuk sehingga wangi.
Masukkan cili kisar dan tumis sehingga cili masak. Masukkan sos cili Thai.
Tambah garam dan gula secukup rasa.
Masukkan bawang besar dan sotong goreng. Kaup-balikkan sebati. Sedia untuk dihidangkan.
Info Chef:Sotong kering atau sotong rendam boleh digunakan di dalam resipi ini.
8. TAUHU GORENG BERLADO
BAHAN-BAHAN:
3 biji tauhu |dipotong dadu dan goreng
1 labu bawang besar|dicincang halus
3 ulas bawang putih|dicincang halus
30gm cili kisar
5gm sos tiram
Garam secukup rasa
Lada sulah secukup rasa
CARA MEMASAK:
Panaskan minyak masak di dalam kuali. Gorengkan tauhu sehingga ia menjadi kekuningan. Asingkan.
Tumiskan bawang putih sehingga naik baunya. Masukkan bawang besar.
Tambahkan cili kisar dan tumis lagi sehingga cili masak. Tambah sos tiram, tauhu goreng, sedikit air, lada sulah dan garam secukup rasa.
Masukkan tauhu yang telah digoreng ke dalam tumisan cili dan gaulkan sehingga sebati.
9.TEMPE BERLADA
BAHAN-BAHAN:
6 biji tempe |dipotong kecil
30gm cili kisar
4 ulas bawang merah|dikisar halus
3 ulas bawang putih|dikisar halus
1 labu bawang besar|dipotong bulat
30ml air asam jawa
Sedikit belacan
Garam secukup rasa
Lada sulah secukup rasa
Gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
Lumur tempe dengan sedikit garam dan lada sulah. Goreng sehingga ia menjadi perang. Ketepikan.
Di dalam kuali yang berlainan, panaskan minyak masak. Tumis bahan yang dikisar bersama cili kisar sehingga wangi dan cili benar-benar masak.
Masukkan air asam jawa, bawang besar, garam dan gula secukup rasa.
Jika sambal terlalu kering, tambah air dan didihkan.
Masukkan tempe goreng yang telah digoreng dan gaulkan sehingga sebati
Info Chef:Potong tempe setebal dua inci untuk mendapatkan hidangan tempe cili yang rangup.
10.TERUNG GORENG BERLADA
BAHAN-BAHAN:
5 biji terung panjang
30gm cili kisar
4 ulas bawang putih |ditumbuk
50gm udang kering|ditumbuk
3cm belacan
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
CARA MEMASAK:
Terung dibelah dua dan digoreng sehingga perang. Susun di dalam pinggan. Ketepikan.
Panaskan sesudu makan minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan tumbuk sehingga wangi.
Masukkan cili kisar dan belacan. Tumis lagi sehingga cili masak. Jika terlalu kering, tambah sedikit air.
Tambah garam dan gula secukupnya. Tutup api.
Tuang sambal ke atas terung yang telah digoreng tadi.
Info Chef:Pastikan terung digoreng separuh masak sebelum dimasukkan ke dalam sambal.
Tidak lengkap rasanya hari raya tanpa adanya hidangan sate yang sedap. Selain menjadi kegemaran ramai, menu ini juga mudah disediakan dan boleh disediakan awal. Bahan-bahan yang digunakan juga sangat ringkas. Oleh itu bagi anda yang nak cuba buat sendiri sate di hari raya ni, berikut adalah resipi-resipi yang anda perlukan. Selamat mencuba!
1. SATE AYAM
BAHAN-BAHAN:
1 ekor ayam | dibersihkan
5 sudu makan madu
BAHAN KISAR:
15 ulas bawang merah
8 ulas bawang putih
2cm halia
10 tangkai cili kering – ikut kepedasan sendiri
7 batang serai
2cm kunyit hidup
1 sudu teh garam
1 sudu makan jintan manis
1 sudu makan jintan putih
150gm gula
Lidi sate secukupnya
CARA MEMASAK:
Ayam dibersihkan dan diambil isinya. Potong dadu dan masukkan ke dalam bekas besar.
Kemudian tuang bahan kisar. Gaul rata.
Tuangkan madu. Gaul lagi hingga semua bahan sebati. Perap selama 2 jam.
Cucu isi ayam pada lidi dan bakar hingga masak.
Sedia untuk dinikmati.
2. SATE DAGING
BAHAN-BAHAN:
1kg daging batang pinang | dihiris nipis
30 ulas bawang merah | dikisar
15 ulas bawang putih | dikisar
20 tangkai cili kering | dikisar halus
5cm kunyit hidup | dikisar halus
3 batang serai | dikisar halus
3cm lengkuas | dikisar halus
3cm halia | dikisar halus
3 sudu teh jintan manis | dikisar halus
3 sudu teh jintan putih | dikisar halus
3 sudu makan gula
Garam secukup rasa
Sedikit minyak sapi | dicairkan
1 batang serai | dititik
Lidi sate secukupnya
CARA MEMASAK:
Bersihkan daging danperapkan bersama bahan yang telah dikisar halus. Tambahkan garam serta gula secukupnya. Perap semalaman.
Cucuk daging pada lidi sate dengan kemas. Jangan susun terlalu rapat kerana akan menyebabkan sate masak tidak sekata.
Bakar sate sehingga masak. Ambil serai dan celup pada cairan minyak sapi dan sapu pada daging supaya tidak kering semasa dibakar .
Sedia dinikmati.
3. SATE HATI DAN PEDAL
BAHAN-BAHAN:
250gm hati ayam | dipotong dadu
250gm pedal ayam | dihiris kecil
50gm cili kering | dikisar
10 ulas bawang putih | dikisar
17 ulas bawang merah | dikisar
3cm lengkuas | dikisar
2 batang serai | dikisar
4cm halia | dikisar
4 sudu makan serbuk kunyit
Garam dan gula secukup rasa
Lidi sate secukupnya
CARA MEMASAK:
Masukkan hati dan pedal ke dalam bekas. Kemudian gaulkan bersama serbuk kunyit, garam dan gula dengan secukupnya.
Kemudian masukkan bahan kisar. Gaul rata dan perap selama satu jam.
Cucuk hati dan pedal hingga habis dan bakar hingga masak.
Sedia untuk dinikmati.
Info chef: Sebaiknya hati dan pedal dicucuk pada lidi secara berasingan kerana pedal mengambil masa yang lebih lama untuk masak.
4. SATE IKAN
BAHAN-BAHAN:
1kg isi ikan dori sejuk beku | di nyahbekukan
10 ulas bawang merah | dikisar
1 ulas bawang putih | dikisar
1/2 sudu makan serbuk kunyit
5 sudu makan gula perang
1 sudu teh jintan manis | dikisar
1 sudu teh jintan putih | dikisar
4cm halia | dikisar
4cm lengkuas | dikisar
2 batang serai | dikisar
Garam secukupnya
Lidi sate secukupnya
CARA MEMASAK:
Ikan dori dihiris nipis dan digaul bersama garam, gula perang serta serbuk kunyit.
Kemudian masukkan bahan kisar. Ratakan dan perap selama 30 minit.
Cucuk isi ikan pada lidi dan bakar hingga masak.
Sedia untuk dihidangkan buat tetamu yang bertandang.
Info chef: Elakkan menghiris isi ikan dengan terlalu nipis kerana sate akan menjadi terlalu kering.
5. SATE KAMBING
BAHAN-BAHAN:
1kg daging kambing | dihiris nipis
10 ulas bawang putih | dikisar
20 ulas bawang merah | dikisar
3cm lengkuas | dikisar
2 batang serai | dikisar
4cm halia | dikisar
3 sudu makan serbuk kunyit
1 sudu teh jintan manis
Garam dan gula secukup rasa
Lidi sate secukupnya
CARA MEMASAK:
Masukkan daging kambing, serbuk kunyit dan jintan mans ke dalam mangkuk. Gaul rata.
Kemudian tambahkan gula serta garam dengan secukupnya. Biarkan selama 20 minit.
Masukkan bahan-bahan yang dikisar. Gaul sekata dan perap lagi selama satu jam.
Cucuk daging kambing pada lidi dan bakar hingga masak.
Angkat dan nikmati bersama kuah kicap pedas.
Info chef: Guna daging yang sedikit berlemak untuk mendapatkan rasa sate yang berjus dan enak selepas dibakar.
6. SATE LILIT
BAHAN-BAHAN:
500gm isi ayam kisar
1 biji cili merah | dicincang
1 biji putih telur
2 sudu makan daun bawang cincang
2 sudu makan daun ketumbar cincang
2 helai daun limau purut | dihiris nipis
1 sudu makan sos ikan
Garam dan serbuk lada sulah secukup rasa
1 sudu makan tepung jagung
Serai secukupnya | dibersihkan
Sedikit minyak masak
CARA MEMASAK:
Masukkan isi ayam ke dalam mangkuk dan tambahkan putih telur, tepung jagung, sos ikan, garam dan juga serbuk lada sulah. Gaul rata.
Kemudian masukkan cili merah, daun bawang, daun ketumbar dan daun limau purut. Gaul lagi hingga semua bahan sebati.
Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian kecil dan kepalkan pada batang serai dengan kemas.
Sapukan sedikit minyak masak pada pemanggang dan bakar sate lilit hingga masak.
Sedia untuk dihidangkan.
Info chef: Jika mahukan sate yang lebih harum, serai boleh dibelah dua sebelum dikepal dengan adunan ayam cincang.
7. SATE PADANG
BAHAN-BAHAN:
1kg daging | dihiris nipis
800 ml air
4 batang serai | dihiris nipis
2 helai daun kunyit | dipotong kecil
5 helai daun limau purut
85gm tepung beras | dilarutkan dengan sedikit air
2 sudu makan tepung kanji | dilarutkan dengan sedikit air
Lidi sate secukupnya
BAHAN KISAR:
12 ulas bawang merah
7 ulas bawang putih
7 biji cili merah
4 biji cili api
1 sudu teh biji ketumbar
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih
5cm kunyit
4cm halia
2cm lengkuas
Garam dan serbuk lada sulah secukupnya
CARA MEMASAK:
Panaskan air dan masukkan daging dan rempah yang dikisar. Biarkan mendidih.
Kemudian masukkan daun kunyit, serai dan daun limau purut. Masak hingga rempah sebati dan kelihatan masak.
Toskan daging, cucuk pada lidi dan bakar sehingga masak.
Panaskan air rebusan daging dan tambahkan bancuhan tepung beras dan kanji. Kacau hingga sebati dan kelihatan sedikit likat. Perasakan dengan garam dengan secukup rasa. 5. Sedia untuk dinikmati.
Info chef: Guna daging batang pinang bagi mendapatkan sate yang lembut.
8. SATE TULANG
BAHAN-BAHAN:
1 kg rangka ayam | dipotong kecil
8 ulas bawang merah | dikisar halus
5 ulas bawang putih | dikisar halus
3cm lengkuas | dikisar halus
3 batang serai | dikisar halus
3cm halia | dikisar halus
3cm kunyit | dikisar halus
2 sudu makan jintan putih | disangai dan dikisar halus
2 sudu makan jintan manis | disangai dan dikisar halus
2 sudu makan ketumbar | disangai dan dikisar halus
3 sudu makan gula merah
Garam dan gula putih secukup rasa
Sedikit minyak masak
Lidi sate secukupnya
CARA MEMASAK:
Gaul rangka ayam bersama gula merah, gula putih dan garam secukup rasa. Biarkan seketika,
Kemudian masukkan bahan-bahan sangai dan dikisar halus. Gaul rata dan perap selama 2 jam.
Cucuk tulang ayam pada lidi dengan kemas dan bakar sehingga masak dan kelihatan garing.
Sesekali, sapukan sedikit minyak bagi mengelakkan isi ayam menjadi terlalu kering.
Sedia untuk dihidangkan.
Info chef: Semakin lama diperap, semakin enak rasanya.
9. SATE PERUT
BAHAN-BAHAN:
1kg perut lembu | direbus empuk
200 gm bawang merah | dikisar
6cm lengkuas | dikisar
2 batang serai | dikisar
5 cm halia | dikisar
2 sudu teh jintan manis | dikisar
2sudu teh ketumbar | dikisar
2 labu bawang putih | dikisar
6 sudu makan serbuk kunyit
Garam dan gula secukup rasa
Lidi sate secukupnya
CARA MEMASAK:
Perut lembu yang telah empuk dihiris bentuk empat segi kecil. Ketepikan.
Satukan kesemua bahan kisar di dalam bekas. Gaul rata. Kemudian masukkan perut lembu tadi. Gaul sehingga semua rempah sebati.
Masukkan serbuk kunyit dan perasakan dengan garam serta gula dengan secukupnya. Gaul lagi hingga bahan perasa menjadi rata. Biarkan selama 1 jam.
Cucukkan perut pada lidi sate dan bakar hingga masak.
Sedia untuk dinikmati.
Info chef: Cuci perut menggunakan kapur makan bagi membuang bau serta kotoran dan bilas hingga bersih sebelum direbus.
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Resipi udang butter garlic ini hidangan paling sesuai kalau mencari lauk yang mudah dan cepat siap.Walaupun ringkas saja resipinya tapi rasa dan aromanya mewah...