Ketika ditemui Eksekutif Chef, Sabri Soid, Hotel Royale Chulan KL, baharu sahaja kembali dari Mumbai, India. Berada di sana selama tiga minggu sempena promosi makanan Malaysia. Menurutnya sajian Melayu masih ke belakang berbanding negara Asia yang lain seperti India, Thailand, Jepun dan Korea. Tak payah pergi jauh katanya lihat sahaja Thailand konsep ‘food styling dan presentation’ jauh lebih ke hadapan.


.

IKLAN

“Istilah masak campak-campak tak sesuai jika mahukan masakan Melayu dipandang dunia. Masakan Melayu perlu ada seni hidangannya. Perlu ada penggayaan dan persembahan yang menarik jika mahu dimartabatkan sebagai konsep ‘fine dining’ dan boleh menarik selera masyarakat antarabangsa. Chef atau Tukang Masak itu perlu fahami ‘bahasa’makanan dan perlu bersifat terbuka dan versatil bila memasak masakan.

Pengalaman Mantapkan Kepakaran

Dalam menguasai kepakaran masakan, pengalaman adalah ilmu penting untuk memantapkan kemahiran. Kerjanya bermula dari bawah dan dia melalui ke pelbagai tangga kerjaya bermula daripada apprentice, commis hinggalah ke Spus Che dan Chef De Cuisine sebelum jawatannya kini..


.

Berusia 44 tahun, sebagai orang ‘lama’, dia pernah belajar dan dibimbing oleh barisan Chef antarabangsa daripada Eropah dan Australia . 

IKLAN

Hotel Royale Chulan KL ini terdapat Warisan Café yang menyediakan masakan Malaysia dan antarabangsa, Restoran Bunga Emas (fine dining Melayu), Restoran Masakan China Tai Ping, L’Heritage Steak House . Di samping memastikan semua operasi makanan berjalan lancar di tempat ini, Chef Sabri juga mengetuai tanggungjawab operasi bankuet dan majlis keraian di hotel yang kadang kala mencecah 2 ribu tetamu.


.

Di antara kejayaan lain pernah diraihnya ialah menerima pengiktirafan daripada Persatuan Masakan Perancis Gastronomi Antarabangsa berprestij Chaine des Rotisseurs dalam penyediaan masakan Perancis dan mendapat lima tangga terbaik dunia. Di awal kerjayanya juga beliau pernah merima Anugerah Tangan Emas International Gastronomique.


Di samping itu Chef Sabri juga telah beberapa kali dijemput dalam Master Chef Malaysia dan pada tahun lepas beliau dilantik oleh Kementerian Pelancongan & Asas Tani sebagai Ahli Majlis Kulinari Negara bagi memartabatkan masakan Melayu di seluruh pelusuk dunia. Setiap tahun juga beliau menjadi juri pertandingan masakan FHM dalam pelbagai kategori serantau Asia.


.

“ Tiga ciri ini disiplin, minat dan mahir berkomunkasi atau skil PR harus ada pada diri seorang Chef di samping pengetahuan mendalam mengenai makanan yang ada jika mahu menjadi Chef yang berjaya” pesan Chef Sabri yang juga suka mengembara dengan konvoi motorsikal besar sebagai hobi masa lapangnya.

Jom semak dua resipi pencuci mulut dan lauk sajian Melayu istimewa dari Chef Sabri :

SUKUN GULUNG BERSAMA SOS VANILA

BAHAN-BAHAN:

  • 300gm buah sukun | dipotong dadu
  • 100gm buah ciku | dipotong dadu
  • 50gm kismis hitam
  • 50gm gula putih
  • 100gm serbuk roti
  • 200gm pastri filo
  • 50gm mentega | dicairkan
  • 100ml susu
  • 50ml krim masakan
  • 50gm serbuk kastad
  • 30ml esen vanilla
  • 20gm tepung jagung
  • 1 biji telur kuning

CARA MEMASAK:
1. Campurkan sukun, ciku, kismis, gula dan serbuk roti dan masak sehingga semuanya lembut. Sejukkan di dalam bekas yang sesuai.
2. Lapiskan pastri filo sebanyak 4 lapisan dengan setiap lapisan disapu dengan mentega cair.
3. Letakkan sukun yang sudah dimasak itu di bahagian tengah dan gulung pastri filo itu sehingga berbentuk bulat. Sapukan kuning telur dan bakar selama 2o minit.
4. Panaskan susu dan krim masakan. Masukkan gula, tepung kastad dan esen vanilla. Pekatkan dengan tepung jagung jika perlu.
5. Hidangkan di dalam pinggan yang sesuai dan letakkan sos vanilla d iatasnya.
6. Enak dimakan bersama aiskrim.

Info chef:
Lagi elok jika menggunakan gula perang.

SINGGANG PATIN TEMPOYAK


BAHAN-BAHAN:

  • 400gm ikan patin
  • 100 tempoyak
  • 50gm bawang merah
  • 50gm bawang putih
  • 50gm daun kesum
  • 100gm bunga kantan
  • 400ml air
  • 100gm timun | dibuang biji dan dipotong panjang
  • 10gm serbuk kunyit
  • Cili merah untuk hiasan
  • Garam,gula dan lada sulah secukupnya

CARA MEMASAK:
1. Rebus air bersama bawang merah, bawang putih, daun kesum dan bunga kantan selama 10 minit. Masukkan tempoyak dan serbuk kunyit. Perasakan secukupnya.
2. Masukkan ikan dan rebus selama 10 minit atau sehingga ikan itu masak.
3. Tutup api dan masukkan timun.
4. Hidangkan didalam mangkuk yang sesuai dan hiaskan dengan cili merah

INFO CHEF :Gunakan patin buah untuk rasa yang lagi enak(kos juga akan naik). Jangan masukkan ikan terlalu awal supaya isinya tidak hancur.