Jika sebelum ini, RASA pernah memaparkan kisah suami Chef Suhaili yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL disebabkan jangkitan virus Covid-19. Kondisi Encik Herwin pada ketika itu sangat kritikal dan bergantung pada bantuan mesin pernafasan. Malah buah pinggangnya juga mengalami kerosakan serta terpaksa menjalani rawatan dialisis. Cerita ini juga pernah dikongsi oleh selebriti Datuk Aznil Hj Nawawi (Paknil) yang menitip rasa hiba di laman sosial miliknya.
Alhamdulillah, puji kehadrat Ilahi dengan berkat doa yang tidak putus dari seluruh rakyat Malaysia, sehingga kisah ini ditulis (1 April) kondisi beliau semakin pulih dan tidak lagi bernafas menggunakan alat bantuan.
Malah beliau juga telah dipindahkan dari unit ICU ke wad pengasingan biasa. Ujian yang dijalankan juga menunjukkan Encik Herwin telah negatif dari Covid-19. Berita ini tentunya sangat melegakan terutamnya bagi isteri beliau; Chef Suhaili dan anak-anak.
Namun, disebalik rasa syukur dengan berita suami dan anak-anak, Chef Suhaili pula disahkan positif Covid-19. Luluh rasa hati namun ada hikmah disebaliknya.
Menerusi hantaran di laman sosial FB beliau hari ini, Chef Suhaili menceritakan serba sedikit kisah beliau semalam sewaktu diambil ambulan ke hospital. Malah turut menitipkan pesanan buat rakyat Malaysia supaya positif dalam menghadapi musibah ini.
Pasti hiba hati seorang ibu untuk meninggalkan anak-anak di rumah terutamanya jika si bongsu masih kecil dan belum mengerti apa-apa.
Tiada siapa yang mahukan diri mereka diuji sebegini. Bagi yang tepilih, ia adalah ujian yang harus dihadapi dengan tenang. Bagi yang terkecuali, bantulah kerajaan dan para petugas barisan hadapan untuk memutuskan rantaian Covid-19 ini dari terus merebak.
PANDUAN YANG PERLU DIAMALKAN DEMI MENGHAPUSKAN COVID-19
Selain mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan, pelbagai langkah pencegah lain juga dilakukan. Antaranya ialah:
1. Kenal pasti simptom-simptom Covid-19 & amalkan langkah-langkah pencegahan. Cegahan di peringkat awal mampu menyelamatkan nyawa insan tersayang.
2. Ikuti panduan tindakan perlu buat selepas pulang dari membeli makanan & barangan terutamanya di tempat-tempat tumpuan ramai seperti pasar basah, pasar tani, pasaraya dan sebagainya.
3. Lindungi golongan berisiko tinggi. Bukan hanya pada ahli keluarga kita sahaja tetapi pada semua masyarakat Malaysia.
Insyaallah, kita mampu mencegahnya. Doakan!
Kredit info: FB Chef Suhaili & Kementerian Kesihatan Malaysia