Ada lebihan nasi, daripada dibiarkan dan membazir, apa kata kita ubah menjadi cucur nasi pedas. Garing di luar, lembut di dalam. Bahan untuk membuatnya pun mudah sahaja.
Sedap dinikmati ketika sarapan atau minum petang. Buat idea menu berbuka puasa pun menarik juga. Menariknya, cucur nasi pedas ini tetap akan lembut walau telah lama digoreng.
Jom ikuti perkongsian Rossita Omar atau dikenali sebagai Tokma untuk menghasilkan Cucur Nasi Pedas yang elok bulatnya serta sedap ini.
BAHAN-BAHAN:
Nasi sejuk*
Air panas*
Garam (secukup rasa)*
Bawang merah (dihiris)
Cili api (dihiris)
Ikan bilis (digunting kecil-kecil)
Tepung gandum
Air
Minyak (untuk menggoreng)
CARA MEMASAK:
Kisarkan bahan bertanda * hingga lumat.
Kemudian, campurkan hirisan bawang merah, cili api dan ikan bilis yang telah digunting kecil.
Gaul rata kesemuanya.
Setelah itu, masukkan tepung gandum secukupnya dan gaul hingga rata.
Adunan perlu pekat sedikit seperti di dalam gambar. Jika kurang tepung, adunan akan berderai ketika digoreng nanti.
Panaskan minyak dan bolehlah menggoreng sehingga kuning keemasan. Angkat dan sedia untuk dihidangkan.
NOTA: Cucur ini akan rasa garing di luar, lembut di dalam. Ianya akan tetap lembut walau dah digoreng lama.
Jika nak tambahkan sayur-sayuran pun boleh untuk lebih sedap. Atau letakkan kiub pati ikan bilis atau pati kiub ayam pun lagi sedap. Boleh dipelbagaikan rasanya.
Untuk menggoreng, kerap basahkan tangan dan jemput adunan dengan jari dan perlahan-lahan masukkan ke dalam kuali. Cara ini akan mendapat cucur yang comel saiznya dan bulat bentuknya. Tapi, berhati-hati jangan tercelup jari ke dalam minyak panas pula.
Selamat mencuba.
Kredit: Rossita Omar
[ Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi ]
Dapatkan lebih banyak resipi di laman web RASA:
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Dailymotion @Rasa & Youtube @Majalah Rasa Official