Culinaire Malaysia dan FHM 2019 Janji Kemeriahan Buat Para Pengunjung.

Share

Pasukan kulinari Kuala Lumpur Convention Centre (Pusat Konvensyen) kini sibuk membuat persiapan untuk Culinaire Malaysia 2019 yang akan berlangsung pada 24-27 September 2019 dimana ia bakal menemukan pakar-pakar kulinari tempatan dan antarabangsa yang terbaik dalam pertarungan “Malaysian Battle of the Chefs”.

Meneruskan sokongannya sebagai penaja lokasi bagi Culinaire Malaysia bagi kali kelapan berturut-turut, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur teruja untuk mengalu-alukan lebih 1,000 profesional kulinari yang akan memperlihatkan bakat dan kemahiran mereka dalam pelbagai bidang dan kategori.

Seperti edisi pada tahun-tahun lepas, Culinaire Malaysia sekali lagi akan dianjurkan serentak dengan Food & Hotel Malaysia (FHM) 2019, pameran makanan dan hospitaliti yang terulung di Malaysia. FHM bukan merupakan satu pameran semata-mata, kerana reputasi yang tersendiri dan pengalaman selama bertahun-tahun menjadikan FHM satu-satunya perhimpunan sepertinya untuk semua yang terlibat dalam industri makanan, minuman dan layanan.

Menurut Pengurus Besar Pusat Konvensyen, Alan Pryor, “Kami teruja kerana dapat bersama-sama menjayakan Culinaire Malaysia sekali lagi. Pertandingan ini akan membantu kami menambah baik lagi kemahiran kulinari kami, dan akan memberi manfaat kepada bakat muda dan industri kulinari Malaysia. Acara ini adalah satu platform penting untuk mereka mendapatkan pengalaman, pendedahan, inspirasi dan peluang berinteraksi dengan yang terbaik, menyertai pertandingan persahabatan serta memperlihatkan daya kreatif dan teknik mereka menerusi inovasi terkini dalam dunia kulinari.”

Chef Eksekutif Pusat Konvensyen, Hisham Jaafar, menjelaskan, “Kami gembira untuk mendaftarkan 40 anggota pasukan kami bertanding dalam Culinaire Malaysia pada tahun ini, iaitu kali keenam kami menghantar pasukan untuk menyertai pertandingan. Kebanyakan anggota pasukan kami tahun ini terdiri daripada chef muda dan ‘Duta’ (pekerja sambilan) kami, yang telah menjalani latihan di bawah bimbingan para pemenang Culinaire Malaysia bagi menyediakan mereka untuk pertandingan, dan kami harap ini akan membantu kami meneruskan kecemerlangan sebagaimana tahun-tahun lepas.”

Beliau menambah, “Semua Duta kami ini begitu setia dan telah bekerja dengan tekun sepanjang masa bersama kami dan Culinaire Malaysia menyediakan saluran yang tepat untuk kami membalas budi dengan meningkatkan kemahiran profesional mereka dan mendedahkan mereka kepada apa yang diperlukan untuk bekerja dalam persekitaran dapur yang semakin mencabar sekarang. Bagi Pusat Konvensyen, kami perlu terus membangunkan bakat muda bukan sahaja untuk kami, tetapi juga untuk industri acara perniagaan dan layanan.”

Chef de Cuisine Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Mohamad Noor Musa (duduk kiri) berkongsi maklum balasnya mengenai hidangan mereka dengan Kapten Pasukan Pusat untuk Culinaire Malaysia 2019, Western Banqueting Chef, Nur Mohammad Zahar (duduk kanan) dan dua orang ahli pasukan mereka bersedia untuk “Malaysian Battle of the Chefs”.

Pameran FHM 2019 menjanjikan acara-acara yang lebih besar dan lebih baik, dipenuhi dengan program persidangan, seminar teknikal, ceramah pendidikan, demonstrasi memasak dan paparan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan. Pameran empat hari ini akan meliputi ruang seluas 22,000 meter persegi di Pusat Konvensyen, dengan penyertaan 1,500 jenama dan syarikat dari 50 negara. Acara ini dijangka menarik lebih 28,000 pelawat dari seluruh dunia.

“Syabas kepada Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Ahli Kulinari Profesional Malaysia (PCA) yang menjayakan edisi ke-15 FHM dan edisi ke-14 Culinaire Malaysia. Kami gembira kerana dapat bekerjasama dengan mereka untuk bersama-sama mencapai kejayaan penting ini, dan kami mengucapkan selama maju jaya. Semoga acara tahun ini akan mencapai satu lagi kejayaan yang gilang-gemilang,” kata Pryor.

Dapatkan maklumat lanjut tentang FHM 2019 dan Culinaire Malaysia di laman web www.foodandhotel.com dan www.culinairemalaysia.com.

Published by
Nur