Dapur Farmhouse Pilihan Norpadilah. Guna Kayu Pallet dan Terpakai Jimat & Mampu Milik

Share

Beruntunglah andai dapat merealisasikan dapur impian dalam skala mengikut kemampuan kita. Mungkin idea dapur yang tercipta hasil nukilan puan Norpadilah Afandi boleh dijadikan idea atau pembakar semangat mewujudkan ruang memasak yang santai dan mesra keluarga.
Buat suri rumah dari Kampung Temeris, Kuala Pilah ini, keputusan berhenti kerja untuk tumpu perhatian uruskan keluarga lima tahun lepas memberi banyak manfaat. Masanya banyak terisi dengan membuat kerja kerja diy yang menjadi minat sejak dulu.

“Sejak ada banyak masa di rumah, baru dapat tumpu untuk hias rumah supaya lebih selesa dan tenang Bersama keluarga. Dari dulu memang minat ke arah menghias rumah, cuma kekangan kerja tak mengizinkan. Bila dah tak bekerja perlahan-lahan buat satu projek untuk satu ruang. Hanya secara sambilan sambil uruskan keluarga.
Sedia maklum untuk tujuan dan minat itu dah tentu perlukan kos dan modal, jadi saya cuba cari inisiatif untuk sedaya upaya kecilkan kos ataupun zero kos dengan cara diy. Mungkin sebab saya jenis suka cabar diri untuk cuba sesuatu yang baru dan beyond my limits.

Menggunakan kayu terpakai & kayu pallet
Beberapa tahun sebelum berhenti kerja Norpadilah banyak menyimpan gambar-gambar dari pinterest dan merujuk youtube untuk cari satu tema id yang sesuai dengan jiwa dan praktikal.
“Saya sukakan gaya farmhouse, yang mana banyak item-item dekorasinya dan keperluan rumah adalah dari sumber diy. Sesuai dgn bajet saya. Namun untuk rumah saya cuba garapkan farmhouse ini dengan sedikit malay accent

. Maka tercetuslah idea untuk #kampunghouse . Saya cuba hasilkan #kampunghousesignaturedecor yang mana setiap deko yang ada dalam kampunghouse saya, adalah hasil diy dan idea saya sepenuhnya. Rumah yang menghimpunkan hasil diy saya.Suka dengan farmhouse mungkin salah satu sebab, tapi suka putih sebab nampak tenang, bersih dan luas.
sebelum ubahsuai
menggunakan kayu pallet

Kayu pallet saya pilih sebab sumber yang mudah nak jumpa, kebetulan memang minat kayu dan neautral look. Begitu juga dengan kayu terpakai, sumber yang sangat mudah dijumpai dan berbaloi untuk projek diy saya.
Kayu pallet ada banyak jenis, yang digunakan untuk ruang dapur kebanyakan adalah pallet hardware yang keras dan tahan lasak. Cukup dengan sapuan minyak hitam atau cat shellac sebagai lapisan sealer. Kayu-kayu terpakai yang diguna juga kebanyakannya reclaimed wood, kayu yang telah dirawat. Setakat ini belum lagi ada masalah anai-anai.
“Saya gunakan cat minyak, jenis finishing glossy dan mudah dicuci. Setakat ni alhamdulillah, anak-anak pun behave juga bila gunakan dapur,lebih disiplin. Suami suka sangat dengan hasil diy ini. Dialah yang menjadi tulang belakang carikan kayu pallet, kayu terpakai di tapak-tapak pelupusan sampah. Kebanyakannya dari dumpster haram di tepi-tepi jalan. Dia memang pandai dan teliti pilih kayu yang sesuai. Dia juga perlahan-lahan belikan saya mesin pemotong kayu, sander dan sebagainya untuk mudahkan kerja,walaupun hanya 2nd hand,”ceritanya.

Projek bagi ruang dapur mengambil masa lebih kurang dua tahun untuk siap kerana ia bukan projek yang bertumpu atau fokus. Hanya buat sedikit demi sedikit atau dengan kata lain beransur-ansur. Tiada tekanan untuk siapkan dalam tempoh tertentu hanya ikut flow masa dan kesempatan saja. Ia bermula tahun 2018.

“Kalau ikutkan dulu rumah asal rumah papan dan batu. Dalam 10 tahun lepas juga, renovate rumah satu rumah naik batu terus. Termasuklah dapur. Tapi tak tambah saiz dapur pun. Masih saiz dulu juga. Lepas siap, untuk beberapa tahun dapur ini cuma asas saja, macam dapur, peti ais dan lain-lain. Untuk ubah suai dekorasi dapur kepada tema ini saya beli dua unit rak kasut dan cat putih. Selebihnya diy dari pallet. Anggaran untuk kos cat, almari dan alatan pertukangan lebih kurang RM1k + . Itupun perbelanjaan secara beransur-ansur.

Untuk dapur, saya cuma buat diy hiasan dan keperluan dapur. Juga baik pulih dan updgrade perabut sedia ada saja. Dapur ini siap lebih kurang 10 tahun lepas cuma kekurangan modal untuk penuhkan dapur dengan perabut.
Antara kesukaran adalah saya buat semua diy, pertukangan dan mengecat seorang diri. Tapi sebenarnya saya lebih prefer buat seorang mungkin sebab sedikit cerewet. Jadi kerja agak perlahan,”jelasnya.

Kepuasan dirasai
Dapur berkeluasan 20 x 16 ini masih ada ruang yang belum siap, masih ongoing projek iaitu laundy area dan coffee bar.
“Secara jujurnya semua kerja-kerja diy yang saya buat hanyalah sebagai motivasi untuk diri sendiri, untuk terus buat perkara positif yang mampu beri kesan yang positif pada minda dan hati. Juga boleh bantu otak saya terus bekerja dan cergas, di samping itu juga boleh isi masa lapang dan terluang dengan lebih baik bila mana nampak hasilnya. Terapi sebenarnya untuk hilangkan rasa penat, akuinya.

Anak-anak memang suka lepak di dapur. Dapur jadi centerpoint dalam rumah untuk family berkumpul sambil makan-makan.
Inilah ruang dapur kering dan basah. Biasanya anak-anak suka masakan ayam masak ungkep. Suami pula suka masakan simple tapi pedas dan paling suka rendang ayam kampung. Sebelum ini masak dan berkumpul mungkin sebelah malam atau hujung minggu, tapi bila mula PKPB lebih banyak masa bersama. Cuma membuat kerja diy ini, rezeki pula datang buat side income dari tempahan-tempahan hiasan dan pallet. Jadi masa di dapur agak terbatas sebelah pagi dan malam sahaja.

“Saya beruntung kerana punya teman akrab yang selalu teman saya buat diy sama-sama iaitu kakak saya Nani’s Makeover #dapurmuzium #houseofart. Kami selalu buat diy berteman dan saling memotivasikan satu sama lain supaya semangat tak mudah padam. Juga pentingnya sokongan suami yang sentiasa memberi ruang untuk saya teroka potensi diri walaupun suami saya tak suka dan tak pandai bertukang tapi dia tetap menyokong.
Penting untuk selalu positif dan fokus dengan apa yang kita mahu dan jangan pernah mendesak diri hingga boleh beri tekanan. Buatlah ikut kemampuan, yang penting siap. Sentiasa kena rajin belajar dari banyak sumber yang ada sama ada di social media atau pun rujuk video tutorial. Perlu peka dan rajin teroka potensi diri sendiri, cuba benda baru.

Kita selalu berpesan pada diri sendiri, rumah cantik memang mampu memberi rasa bahagia.tapi apa guna kalau poket derita.Bagi yang mampu, kita tumpang gembira. Bagi yang kurang kemampuan,jangan memaksa diri. Sebab dalam kesederhanaan itulah maka kita akan lebih menghargai setiap perkara di sekeliling kita. Dan kesederhanaan itulah juga yang akan mendidik kita untuk menjadi lebih kreatif,”akuinya menutup bicara.

INGIN MEMBELI KUALI NON STICK, BOLEH LIHAT DI SINI.

Published by
Putri Adila Saari