Lucu tonton gelagat dua beranak ni. Pelakon filem Magika, Datin Diana Danielle bersama emaknya, Norsiah Ramli. Sebagai wanita yang kurang mahir di dapur, Diana agak terkesima apabila emaknya meminta dia memasak.
Namun, wanita tetap wanita. Semoden mana pun dia, skill memasak tetap ada. Kata Diana, dia hanya fikirkan logik ketika memasukkan satu demi satu bahan-bahan yang telah disediakan di atas meja dapur oleh emaknya.
Serius nak kena masak pasta goreng mamak macam ni kat rumah nanti?
“Saya memang tak pernah masak pasta goreng mamak. Saya cuma fikirkan logik mula-mula masukkan apa, kemudian masuk apa. Saya tak tahu resipinya. Macam mana la saya nak masak, tapi takpe saya cuba.”
Paling lucu, ketika menumis bawang dan cili boh, Diana terbersin. Memang menusuk hidung wap panas ketika memasak. Seperkara lagi, habis berterabur pasta yang belum direbus dibuatnya.
Bersungguh nampaknya tu…..
Apa-apa pun, segala keributan di dapur itu dapat disahut oleh Diana dengan tenang. Akhirnya pasta goreng mamak siap dengan jayanya. Norsiah memberikan markah 7 daripada 10 melalui rasanya yang sedap.
Kalau korang nak masak pasta goreng mamak gaya Datin Diana Danielle, jom tengok resipi ini.
Pasta Goreng Mamak.
BAHAN-BAHAN
Minyak masak untuk menumis
3 ulas bawang putih | kisar
3 biji bawang merah kecil | kisar
1 labu bawang besar | hiris
3 sudu besar cili boh
Udang secukupnya
Sotong secukupnya
3 sudu besar sos tomato
3 sudu besar sos cili
1 peket pasta | direbus dan toskan
3 sudu besar kicap manis
Sedikit kobis | dihiris
Sedikit sawi | dihiris
2 biji telur ayam
1 biji tomato | dibelah 4
1 tangkai cili merah besar
CARA MEMBUAT
1. Panaskan minyak masak. Tumis bawang putih, bawang merah kecil dan bawang merah besar.
2. Masukkan cili bos. Kacau dan tunggu sehingga bahan tumisan masak.
3. Masukkan udang dan sotong. Kacau dan tunggu sehingga masak.
4. Masukkan sos tomato dan sos cili.
5. Masukkan pasta. Kacau sebati. Tak perlu lama sebab pasta sudah direbus.
6. Masukkan kicap manis, kobis dan sawi. Kacau seketika.
7. Masukkan telur ayam dan tomato. Kacau lagi.
8. Akhir sekali, masukkan cili merah. Boleh juga jadikan hiasan.
.
TIP: Nak tahu kenapa Diana Danielle tak dapat markah penuh 10/10? Sebabnya dia tak masukkan stok ayam dan perahkan limau nipis. Kalau buat dua benda ni, mesti dah dapat markah penuh. So korang kalau nak rasa yang pasta goreng mamak yang cukup perisa, masukkan stok ayam dan jangan lupa perahkan limau. Selamat mencuba!