
Sememangnya suka memasak, Datin Fadzilah Zilah turut menerima tempahan masakan ketika waktu senggangnya. Dikenali dengan rempah kuah soto Tok Mak, Datin Fadzilah turut gemar berkongsi resipi termasuklah kuih tradisi yang semakin dirindui di laman facebooknya.
Kuih Lempong dikatakan sebagai kuih tradisi yang terkenal di Pekan, Pahang. Menurut Datin Fadzilah, kuih ini juga dikenali sebagai Kayu Kamak bagi masyarakat di Terengganu.
“Senang kata, kuih ini adalah antara kuih tradisi masyarakat Pantai Timur. Walau nampak ada rupa kuih cakoi, tapi ada bezanya. Kuih ini isinya padat dan lembut. Teksturnya lembut di dalam, rangup di luar. Kuih cakoi pula dalamnya kosong dan teksturnya liat sedikit,” ujar Datin Fadzilah.
Kuih Lempong sedap dimakan bersama sambal tumis ikan bilis. Sesuai untuk minum petang hujan-hujan seperti sekarang. Kopi o panas jangan lupa.
Jom kita lihat resipinya.
KUIH LEMPONG
BAHAN-BAHAN
500 gram tepung gandum
1 peket yis (dibancuh)
1 biji telur ayam
2 sudu besar susu pekat manis
100 gram gula
1 sudu besar marjerin
1 sudu kecil air kapur
Sedikit soda bikarbonat
Air secukupnya
2 sudu besar minyak masak
Minyak masak untuk menggoreng
CARA MEMBUAT
1. Bancuh tepung bersama yis, telur ayam, susu pekat manis, gula, marjerin, air kapur, soda bikarbonat dan air. Uli semuanya sehingga menjadi doh.
2. Selepas doh sudah kembang, letakkan minyak masak dan uli sekali lagi.
3. Perap adunan seketika supaya kembang lagi.
4. Ambil sejemput dan bentukkan. Letakkan sedikit tepung pada tangan supaya adunan tidak melekit di tangan.
5. Bentukkan kecil-kecil sahaja kerana adunan akan kembang apabila digoreng.
6. Panaskan minyak masak dalam kuali.
7. Masukkan satu per satu adunan yang telah dibentuk.
8. Goreng sehingga kekuningan. Angkat dan toskan.
Selamat mencuba!
Sumber: Facebook Fadzilah Zilah
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Resipi Ketam Mentega Special Dan Patin Tempoyak Air Tangan Datin Maria Memang Terbukti Sedap.

Isi Kandungan
TogglePENYELARAS: SHIDA YASIN FOTO: MOHD HAFIZ ADNAN
Melalui perbualan telefon beberapa kali, penulis dapat mengagak Datin Maria Abdullah seorang personaliti yang mudah didekati, ramah, mesra dan ceria. Penulis rasa berbesar hati bila beliau tidak keberatan meluangkan sedikit masa dari kesibukan rutin harian untuk bagi menyediakan dua respi istimewa yang menjadi kegemaran suami Dato’ Noorazman dan putera tunggal Muhammad Emman.
Tiba hari temujanji dan kami sampai di kediaman Datin Maria, pembantu rumahnya menjemput kami masuk. Sambil beriringan masuk dia memberitahu majikannya, Datin Maria kurang sihat. Perkabaran itu menjadikan penulis berasa gusar dan bersalah. Sejurus menunggu di ruang tamu, Datin Maria muncul dengan wajah ceria sambil bertanya khabar. Beliau kemudian mengakui kurang sihat dan baru pulang dari berjumpa doktor, tetapi tidak menjadi halangan kepada beliau untuk menyediakan masakan untuk dikongsikan bersama majalah Rasa.
“Semua bahan sudah saya beli dan siapkan tinggal masak sahaja sekejap lagi. Lagi pun resipi yang saya akan masak petang ini adalah resipi mudah, iaitu Ikan Patin Masak Tempoyak dan Ketam Mentega. Kedua-dua resipi ini ringkas dan senang disediakan. Ketam Mentega bukan hanya disukai oleh suami dan anak. Sanak saudara atau rakan-rakan bila mereka datang, menu ini juga akan minta saya masak . Saya tidak tahu apa tarikannya sehingga semua mereka suka, sedangkan resipi sama saja,” ujar Datin Maria tertawa.
BAHAN-BAHAN SEGAR
Selesai di ruang tamu, kami meneruskan agenda kedua di ruang dapur. Sebaik masuk ke dapur melihatkan bahan-bahan yang sudah tersedia dalam keadaan segar. Menyebabkan kami rasa tidak sabar untuk menikmati hidangan yang akan dimasak oleh Datin Maria.
Melihat ketam dan ikan patin yang masih segar. Terdetik di hati penulis, mungkin inilah rahsia kenapa Patin Masak Tempoyak dan Ketam Mentega yang dimasak oleh Datin Maria disukai suami, anak dan tetamu yang yang menjamu selera di kediaman beliau. Benar bagai yang diagak, Datin Maria memberitahu untuk hidangan yang ingin dimasak dan dikongsikan dengan kami, beliau telah mendapatkan patin segar dari Sungai Pahang dan Ketam segar dari Sri Langka khabarnya.
“Kalau bahan segar dan berkualiti, kita masak ringkas pun hasilnya mesti sedap. Saya sangat teruja dan seronok memasak bila dapat bahan-bahan segar,” cerita Datin Maria sambil sibuk memotong bahan sayur sampingan yang akan dimasukkan bersama dalam masakan Patin Masak Tempoyaknya.
Ceritanya lagi, ada pelbagai versi Masak Tempoyak Patin di Malaysia, ia bergantung pada tempat dan selera orang yang memakannya. Tetapi kalau orang Pahang masak, selain tempoyak, bahan yang digunakan hanya kunyit hidup, cili padi, daun kesum. Kalau ada dan jika suka, boleh masukkan bunga kantan sebagai penambah rasa.
Melihatkan cara Datin Maria memasak Patin Masak Tempoyak sangat mudah, aroma bau dari masak tempoyak sungguh menggoda selera. Ditambah pula dengan hidangan Ketam Mentega yang masih panas di dalam kuali sebelah periuk Patin Masak Tempoyak. Benar seperti kata Datin Maria, bila seseorang itu pandai memasak dan selalu di dapur, resipi hanya sebagai panduan dan asas memasak. Untuk menyedapkan dan menjadikan masakan itu menarik adalah kreativiti dan kemahiran mengolah dan menyesuaikan bahan.
“Saya sendiri bila memasak , selain mengutamakan keenakan rasa makanan yang dimasak. Saya juga suka melihat warna dalam masakan. Warna itu memberikan tarikan kepada mata dan selera orang yang akan menjamah masakan itu nanti. Sebab itu dalam Masak Tempoyak Patin, selain bahan asasnya, saya akan campurkan bahan sampingan seperti tomato, bendi, cili merah dan cili hijau,” ujar Datin Maria yang mempunyai pelbagai koleksi pinggang mangkuk yang menarik.
“Saya rasa, kebanyakan wanita yang hobinya suka memasak, secara tidak langsung dia juga mempunyai pelbagai koleksi pinggan mangkuk kerana pinggan mangkuk adalah pelengkap hidangan makanan yang dimasak oleh seseorang. Saya antara wanita yang suka menyimpan koleksi pinggan mangkuk,” ungkap Datin Maria sambil mempelawa kami menikmat hidangan yang disediakan.
My Pro Wrestling Sdn Bhd (MyPW)
Mengakui sibuk dengan urusan perniagaan kawalan keselamatan yang diusahakan bersama suami sejak 30 tahun lepas, Kini Datin Maria baru sahaja menubuhkan sebuah syarikat baru yang dinamakan My Pro Wrestling Sdn Bhd (MyPW). Sebuah syarikat yang menguruskan sebuah Wrestling Training Centre .
“Biarpun masih baru, MyPW sudahpun mengendalikan lima acara perlawanan gusti Peringkat Asia di Malaysia. Cetusan idea ini datangnya dari minat anak tunggal saya yang menyukai sukan gusti ini sejak usia 13 tahun lagi.
“Bagaimana pun sebagai seorang isteri dan ibu, sibuk bukan alasan untuk tidak memasak. Tetapi saya akan masak bila ada permintaan dari suami, anak atau bila ada tetamu ingin berkunjung. Kalau memasak jika tidak ada orang makan, ia akan,” ujar Datin Maria yang mempunyai pelbagai koleksi pinggan mangkuknya. Demi memastikan skill memasaknya tidak hilang, sesekali beliau akan masuk dapur untuk mencuba resipi baru dan masak masakan kegemaran suami dan anak. Atau bila ada tetamu atau sanak saudara yang ingin berkunjung di kediaman mereka.
RESIPI:
IKAN PATIN MASAK TEMPOYAK
BAHAN-BAHAN:
- 1 ekor ikan patin (anggaran 1kg) | bersihkan dan tos
- 20 biji cili padi (bergatung kepada tahap kepedasan)
- 3cm kunyit hidup
- 4 tanggkai daun kesum
- 2 kuntum bunga kantan | belah dua
- 3 batang kacang bendi | buang tangkai dan hujungnya
- 2 biji tomato | belah empat
- 3 sudu makan tempoyak/atau ikut kepekatan kuah
- Garam dan serbuk perasa secukup rasa
- Asam keping | jika perlu
CARA MEMASAK:
- Cili padi dan kunyit hidup ditumbuk atau dikisar hingga halus.
- Kemudian campurkan bahan kisar dengan tempoyak dan gaul sebati.
- Seterusnya , lumurkan campuran tempoyak dengan cili kunyit tadi pada ikan patin. Perap sebentar seketika.
- Seterusnya masukkan ikan dalam periuk, dan tambahkan air dan masaknya di atas dapur.
- Masak hingga mendidih, kemudian tambahkan garam dan perasa secukupnya. Diikuti dengan bunga kantan, daun kesum dan kacang Bendi.
- Kecilkan api, biarkan mereneh seketika.
- Sebelum tutup api masukkan buah tomato.
INFO: Untuk menghilangkan bau hanyir ikan, gaulkan dengan tepung gandum dan asam jawa atau limau nipis. Kemudian cuci bersih dengan air biasa dan toskan.
KETAM MENTEGA
BAHAN-BAHAN:
- 2 ekor ketam (500gm) | potong dua
- 50gm mentega
- 5 biji cili padi | belah dua
- 3 tangkai daun kari | lurut dari tangkainya
- 250 ml susu cair
- 2 sudu makan gula
- 1 sudu makan tepung jagung
- Garam secukup rasa
CARA MEMASAK:
- Panaskan mentega, kemudian masukkan cili padi dan daun kari, goreng hingga wangi.
- Masukkan ketam, gaul sebati dan tutup periuk atau kuali seketika.
- Seterusnya masukkan susu cair, garam dan gula secukup rasa. Kacau lagi kemudian tutup seketika.
- Kecilkan api, masukkan bancuhan tepung jagung, gaul seketika.
- Akhir sekali tutup api, ketam sedia dihidangkan.
INFO CHEF: Masak ketam jangan terlalu lama, ia akan menyebabkan rasa manisnya hilang.
Rasa Anak Emak Anak Bapak: Siti Sarah Kongsi Resipi Ikan Patin Tempoyak Kegemaran Abahnya.

Alahai tengok Patin Tempoyak yang Siti Sarah masak, mesti penonton yang menyaksikan program Rasa Anak Emak Anak Bapak pun terliur nak makan ikan patin yang nampak sedap sungguh. Rasa seronok juga tengok gelagat Siti Sarah di dapur masak Ikan Patin Tempoyak menu kegemaran abah kesayangannya Raisuddin Hamzah, penyanyi dan pelakon di era 1980 an.
.
Betullah kalau orang kata makan boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan. Tengok je Siti Sarah ni, dalam pada sibuk tu, masih sempat masak lauk kegemaran abahnya. Ayah mana yang tak rasa bangga bila dapat menikmati keenakan air tangan anak sendiri, apa lagi kalau masakan itu menjadi kegemarannya.
.
Kalau nak rasa keenakan Ikan Patin Tempoyak ala Siti Sarah, ini resipi yang dikongsikan oleh Siti Sarah untuk korang semua. Pendek kata tak rugi cuba ye.
IKAN PATIN MASAK TEMPOYAK
BAHAN-BAHAN:
- 1 ekor ikan patin | potong 3 atau 4 bahagian & bersihkan
- 3 sudu makan tempoyak
- 1 helai daun kunyit | carik &simpul
- Bunga kantan | belah dua atau empat
- 3-4 tangkai daun kesum
- Garam dan gula secukup rasa
- Air secukupnya
- BAHAN KISAR:
- 20 biji cili padi
- 4cm kunyit hidup
- 4 ulas bawang merah
CARA MEMASAK:
- Masukkan bahan kisar dalama periuk bersama air, tempoyak, kacau rata.
- Tambah ke dalamnya ikan, daun kesum, bunga kantan, daun kunyit.
- Masak di atas api sederhana sehingga mendidih.
- Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
- Setelah masak dan cukup rasa, tutup api.
- Ikan Patin Masak Tempoyak sedia dihidangkan.
Di Sebalik Pengambaran:
.
Gelagat-Gelagat Siti Sarah & Raisuddin Hamzah:
.
.
.
.
.Korang yang tak sempat menonton Rasa Anak Emak Anak Bapak, program yang dihoskan oleh Siti Sarah dan bapanya sebagai tetamu jemputan, bolehlah tunggu siaran seterusnya dengan artis-artis lain bersama ibu atau bapa mereka, antara artis yang terbabit termasuklah Fasha Shandha, Yusri dan Naim Daniel. Kesemua mereka akan menyedia satu resipi istimewa untuk ibu dan bapa kesayangan mereka.
Datin Ira Ghani, Ayam Sambal Daun Karinya Paling Ummph…

Kali ni Min nak berkongsi cerita personaliti VIP yang cantik bergaya ini. Melihat penampilannya yang glamour susah Min nak bayangkan keadaan Datin Dr Ira Ghani atau nama sebenarnya Nor Zaina Ghani ni bila sibuk di dapur.
Sebaik kamera diketik, laju sahaja Datin Ira , 41 tahun, memasak siap boleh bercerita lagak gaya seorang pengacara rancangan tv. Memanglah sebab wanita jelita ini dulu adalah bekas pengacara TV RTM dan pernah juga berlakun dalam drama sebagai pelakun undangan.
Melihat ketangkasannya, sukar dipercayai Pengarah Urusan Positive Image Resources dan Penceramah Motivasi Keusahawanan ini satu ketika dahulu tidaklah semahir sekarang bila memasak.
Namun sekarang sebut sahaja, apa masakan yang diingini oleh suami beliau Prof. Datuk Dr Ibrahim Ahmad, 52 tahun, dan dua ‘puteranya’ Muhammad Danish Irfan, 19 tahun serta Muhammad Danish Roshan, 15 tahun semuanya mampu disediakan.
Di zaman remajanya Datin Ira juga adalah bekas olahragawan sekolah yang seringkali mewakili Pahang. Beliau juga memiliki Diploma Kecantikan dari Open University, padanlah solekannya kelihatan begitu alami dengan sapuan yang ‘flawless’.
Okay, berbalik bab kembara masakannya, ni 10 kisah menarik Datin Ira sehingga menjadi hebat memasak kini. :
1. Boleh memasak sejak tingkatan 1 sebab duduk di asrama sekolah. Mula serius memasak setelah berkahwin semasa berusia 20 tahun.
2. Suami beliau Prof. Datuk Dr Ibrahim yang pernah bekerja di bahagian F&B hotel ternama adalah pengkritik masakannya yang paling ‘pedas’.
4. Datin Ira Ghani dan keluarga suka masakan bersambal. Suaminya pula ‘pencinta’ kuah kari terutamanya kari ikan, ni baru betul-betul ‘tekak’ orang Kedah.
5. Datin Ira cukup suka dengan kuah labu dengan sambal belacan. Anak-anak pencinta makanan laut.
6. Kenangan lucu pernah masak sardin tuang terus dari tin. Ini hidangan ujian pertama ketika mula berkahwin.
7. Amalannya jika mahu cepat pandai masak , kena kerap memasak kerana ‘Practice Makes Perfect’.
8. Mengibaratkan memasak sama seperti menyolek. “Kena pandai blend, walaupun sekadar telur masak kicap kena ada skil dan tahu cara nak bawa masakan itu.”
9. Mengacau masakan arah lawan jam.
10. Meletakkan garam dalam masakan , sejurus sebelum tutup api untuk elakkan lauk cepat basi.
“Hidup kita singkat, jadi nikmatilah kehidupan ini dengan gembira. Bagi saya kejayaan bukan diukur daripada berapa banyak duit yang kita ada tetapi bagaimana kita mengubah cara hidup. Yang penting segala pengalaman seharusnya menjadikan kita lebih kuat , tabah dan bersyukur dengan kehidupan,” pesanan Datin Ira kepada pembaca RASA untuk resipi hidup bahagia. Wow. inilah amalan kehidupannya, patut lah Datin Ira awet muda dan sentiasa manis wajahnya.
Nah, ini resepi ringkas untuk wanita berkerjaya. Ini sajian kegemaran keluarga Datin Ira untuk followers RASA :
AYAM SAMBAL DAUN KARI
BAHAN-BAHAN:
- 1/2 ekor ayam |, digaul dgn garam kunyit dan digoreng hingga masak
- 6 sudu makan cili kisar
- 1 sudu makan asam jawa | dicampur dengan setengah cawan air
- 1 biji bawang besar | dipotong bulat
- 2 batang serai | dititik
- 3 tangkai daun kari
- Garam secukup rasa
- Gula secukup rasa
Bahan-bahan ditumbuk :
- 1 biji bawang besar
- 3 ulas bawang putih
CARA MEMASAK :
1.Panaskan sedikit minyak di dalam kuali.
2.Tumis bahan tumbuk serai dan daun kari hingga wangi.
3.Masukkan cili kisar. Tumis hingga pecah minyak dan agak garing.
4.Masukkan air asam jawa. Biarkan mendidih.
5.Masukkan bawang besar, garam dan gula secukup rasa. Gaul rata.
6.Masukkan ayam yang sudah digoren garam kunyit, gaul rata hingga bawang besar layu.
7.Tutup api. Hidangkan.