Datin Syazlina Gemar Cita Rasa Hidangan Kampung

Share

 

Datin Syazlina Bahardin ni sangat pandai masak terutama hidangan ala kampung. Cita rasa lidah Melayu memang amat tebal bagi wanita kecil molek ini. RASA mengucapkan terima kasih kerana beliau sudi berkongsi dua resipi yang sangat sedap iaitu pajeri nanas dan sambal kering ikan bilis petai.

 

Bersama sahabat baik, Datin Syazlina menjamu sahabatnya itu di kediamannya. Perunding Kewangan, Kay Bee Rahim memang kerap meluangkan masa dengan sahabatnya itu.

“Bukan kami berdua je yang berkawan baik. Mak ayah kami pun sama berkawan baik. Jadi hubungan ni takkan putus walau selepas kahwin kami ada kehidupan sendiri. Saya selalu juga raikan sahabat baik dengan menjemput dia datang rumah dan kami masak kemudian makan sama-sama,” ujar Datin Syazlina yang cantik berbaju hijau.

 

“Kalau tak sempat jumpa, kami selalu berhubung melalui whatsapp. Kami berdua suka berkongsi cerita. Ada je benda nak cerita. Bidang kami berdua pun berbeza. Saya buat bisnes bengkel baik pulih kenderaan di Bukit Serdang. Kay Bee pula perunding kewangan. Minat kami berbeza tapi boleh kongsi idea,” tambah Datin Syazlina.

 

RASA kongsikan di sini dua resipi istimewa Datin Syazlina. Jom cuba!

PAJERI NANAS

BAHAN TUMIS
Minyak masak untuk menumis
1 inci kulit kayu manis
6 biji buah pelaga
6 biji bunga lawang
1 sudu kecil cengkih
4 biji bawah merah | hiris
4 biji bawang putih | hiris

BAHAN TUMBUK
1 ibu jari halia
1 sudu besar udang kecil
6 biji bawang merah
6 biji bawang putih

BAHAN-BAHAN
1 peket kecil serbuk kari daging
1 biji nanas
2 sudu gula merah
2 sudu gula putih
1 biji kelapa | diambil santan pekat
Garam secukup rasa
1/2 biji kelapa parut | jadikan kerisik

CARA MEMBUAT
1. Panaskan minyak masak masak. Masukkan bahan tumis dan tumislah sampai bau wangi.
2. Satukan serbuk kari daging dengan bahan tumbuk. Tumis lagi.
3. Masukkan nanas, gula merah dan gula putih. Biarkan seketika.
4. Masukkan santan, garam dan kerisik. Masak sehingga kuah pekat.

SAMBAL KERING IKAN BILIS PETAI

BAHAN-BAHAN
Minyak masak
1 labu bawang besar | tumbuk halus
2 ulas bawang putih | tumbuk kasar
15 tangkai cili padi | tumbuk kasar
Segenggam ikan bilis | tumbuk kasar
Petai secukupnya
Garam

CARA MEMASAK
1. Panaskan minyak masak. Tumis bawang besar, bawang putih dan cili padi.
2. Masukkan ikan bilis dan petai. Masak sehingga sebati.
3. Masukkan garam dan gaul sekata. Angkat.

Selamat mencuba!

Published by
Maryam Elyas