Siapa sangka di sebalik kecantikan bentuk yang membulat dan warna merah bak kristal, buah delima memiliki khasiat yang sangat luar biasa. Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat bukti yang menyatakan buah delima bagus untuk diamalkan.

Buah delima merupakan antara makanan kegemaran Rasulullah SAW. Buah delima kaya dengan pelbagai khasiat dan menjadi penawar kepada banyak jenis penyakit. Malah, kebaikan buah delima ini juga terlalu banyak untuk kesihatan dan kecantikan.

Firman Allah di dalam al Quran, yang bermaksud:

“Di dalam kedua-duanya (syurga) juga terdapat buah-buahan serta pohon kurma dan delima”. [Surah al Rahman ayat 68]. Allah menyebut buah delima (rumman) sebanyak 3 kali di dalam ayatNya untuk menunjukkan betapa hebat penciptaan Allah itu dan ia juga disebut sebagai buahan daripada syurga.

Buah delima diperkaya dengan pelbagai vitamin dan mineral yang membantu dalam menghasilkan kulit yang cantik. Sumber asid folat dan antioksidan pada buah delima dapat merangsang, membuang toksik dan meningkatkan kecantikan kulit secara semula jadi. Kandungan gula dalam buah delima pula mampu bertindak sebagai skrub untuk menyingkirkan sel kulit mati. Kekayaan antioksidan dalam buah delima adalah tiga kali lebih tinggi berbanding anggur merah, beri biru, kranberi, dan oren. Antioksidan ini berfungsi untuk melawan radikal bebas yang boleh merosakkan sel dalam tubuh.

Justeru, ia layak digelar ’superfruit’ kerana kandungan antioksidan yang diterajui oleh asid ellagik berupaya melindungi kalenjar prostat, payu dara, organ paru-paru dan jantung atau sistem kardiovaskular.

 

Berikut antara khasiat tersembunyi buah delima:

  1. Melambatkan proses penuaan

Pemakanan buah delima boleh mengelakkan anda daripada hyper pigmentation, bintik-bintik penuaan, bintik-bintik hitam, kedutan dan wrinkles yang biasanya disebabkan oleh pendedahan yang terlalu banyak kepada cahaya matahari.

  1. Merawat masalah pada wajah

Sapukan perahan buah delima pada permukaan kulit yang terjejas boleh mengurangkan perbentukan serum dan mengawal perbentukan jerawat. Tambahan lagi, buah ini juga boleh mengurangkan kesan parut disebabkan jerawat.

  1. Menyembuhkan Anemia

Buah delima terbukti mampu merawat penyakit sel darah merah rendah atau anemia. Nutrisinya mempunyai kadar zat besi yang tinggi yang mampu meningkatkan kandungan hemoglobin dalam darah serta meransang pembiakan sel darah merah.

  1. Baik untuk sistem penghadaman

Buah delima membantu sistem badan mengeluarkan enzim dengan sifat anti-bakteria yang boleb membantu sistem penghadaman dan melawan pelbagai penyakit makanan yang dimakan. Buah delima juga boleh merawat sembelit.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud: “Makanlah delima dengan kulitnya kerana sesungguhnya buah delima baik untuk penghadaman perut (Diriwayatkan Ahmad, Baihaqi dan Ibnu Sunni)”

Amalan makan buah delima atau minum jus delima asli setiap hari akan mengurangkan risiko penyakit yang berbahaya. Pabila mengambil jus delima, pastikan tiada tambahan gula, pengawet, penstabil, pewarna dan perasa tiruan. Ketika memilih buah delima, pastikan memilih buah yang berat dan berkulit bersih. Jangan pilih jika kulit buah delima sudah merekah. Buah delima tahan sehingga enam bulan jika disimpan di dalam peti sejuk.

IKLAN

RESIPI

 

LAICI PANNA COTTA DENGAN DELIMA

BAHAN A

  • 200ml  minuman laici
  • 1000ml susu segar penuh krim
  • 200ml whipping cream/heavy cream
  • 250gm gula
  • 1 tin buah laici
  • 1 paket serbuk agar-agar

 BAHAN B

  • 1 kotak besar minuman laici
  • 2 biji buah delima
  • 1 paket serbuk agar-agar
  • 2 sudu makan gula

CARA MEMASAK

  1. Kemudian kisar buah laici dengan minuman laici dan tapis.
  2. Campurkan air tapisan laici tadi dengan susu segar penuh krim, whipping cream, gula dan serbuk agar-agar ke dalam kuali.
  3. Kacau dan masak sehingga mendidih.
  4. Biarkan suam sedikit dan tuangkan ke dalam bekas sehingga penuh. Ketepikan.
  5. Campurkan semua bahan B dalam periuk dan masak sehingga mendidih.
  6. Biarkan suam sedikit dan tapis untuk asingkan biji delima.
  7. Tuang sehingga separuh bekas yang anda gunakan. Biarkan sejuk.
  8. Masukkan kembali panna cotta ke dalam peti ais dan biarkan sejuk.
  9. Hias dengan buah delima.

Info chef: Jika tidak ada air kotak laici, anda boleh kisar laici dalam tin bersama airnya dan tapis.
Saiz hidangan: 4-6 cawan

Tempoh memasak:  20 minit

Jenis hidangan : Barat

Keistimewaan : kaya rasa delima dan laici

Cara memasak : Didih

Anggaran kos: RM25

 

MUFFIN DELIMA OATMEAL

BAHAN-BAHAN

  • 1 3/4 cawan tepung serbaguna
  • 3/4 cawan gula
  • 1 sudu teh serbuk penaik
  • 1/2 sudu teh baking soda
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1/2 sudu teh kayu manis
  • 3 biji telur gred A | dipukul perlahan
  • 1/2 cawan minyak sayur-sayuran
  • 1/3 cawan jus delima (seratus peratus)
  • 1 cawan delima | asingkan isi
  • 1/2 cawan oat

BAHAN TOPPING

  • 2 sudu besar mentega | dicairkan
  • 1/2 cawan light brown sugar
  • 1/3 cawan tepung serbaguna
  • 1 sudu teh kayu manis
  • 1/4 cawan oat
  • 1/4 cawan delima | asingkan isi

CARA MEMASAK

  1. Panaskan ketuhar pada 350C.
  2. Dalam mangkuk besar ayakkan tepung, gula, serbuk penaik, baking soda, garam dan kayu manis.
  3. Masukkan telur, minyak sayuran dan jus buah delima. Kacau sehingga sebati.
  4. Kemudian, masukkan buah delima dan oat. Kacau sebati.
  5. Tuangkan 1/3 adunan ke dalam setiap bekas muffin.

 CARA MEMBUAT TOPPING

  1. Dalam mangkuk sederhana kacau mentega, gula perang, tepung, kayu manis, oat dan buah delima hingga rata.
  2. Taburkan sedikit buah delima di atas permukaan muffin.
  3. Bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan selama 22 hingga 27 minit atau masak.
  4. Sejuk di atas redai dan sedia dihidangkan.

 Info chef: Jika anda mahu muffin yang lebih manis, boleh tambah sukatan gula dalam bahan.

Saiz hidangan:14 biji

Tempoh memasak:  60 minit

Jenis hidangan : Barat

Keistimewaan : Muffin sihat dengan oat dan delima

Cara memasak : Bakar

Anggaran kos: RM30