Bagi adik-adik yang mahu menyertai kerjaya Chef, amalan kerjaya barisan Chef Royale Chulan , Bukit Bintang KL, ini wajar dijadikan ikutan. Bukan sekadar pandai masak aje tau, tapi sikap dan sahsiah diri pun kena betul, barulah boleh berjaya.
Kunjungan Min ke hotel di tengah segi tiga emas kota raya, disambut dengan senyuman manis oleh Eksekutif Chef Raja Kamaroszaman Raja Zainal dan ‘anak buahnya’, Malay Chef Muhammad Haniff Ahmad Sukri, Commis 1 Muhamad Faisal Ariffin dan Commis 3 Muhammad Akmal.
Eksekutif Chef Raja Kamaroszaman bukan calang-calang orangnya. Memiliki pengalaman lebih 28 tahun dan pernah berkhidmat di lapan hotel, Chef Raja seperti yang dikenali oleh staf di sini bertanggungjawab mengetuai dan memimpin 42 kakitangan ‘dapur’ termasuk 32 chef di hotel ini. Beliau juga pernah tersenarai dalam 20 chef hebat oleh majalah kulinari tempatan.
Lebih mengagumkan beliau pernah dilantik oleh Lembaga Tabung Haji untuk sama terlibat menyediakan makanan untuk 20 ribu jemaah haji di Mekah pada pada 2010 selama 60 hari .
Kini Chef Raja sudah10 tahun di Royale Chulan Bukit Bintang, di antara tanggungjawabnya adalah menyelia semua operasi dapur di dalam hotel termasuk menyediakan menu baru dari masa ke semasa. “Bagi menjadi Chef yang kompetitif dan berjaya, apa yang paling penting adalah minat untuk memasak. Rajin belajar dari orang yang lebih berpengalaman tanpa rasa jemu dan penat. Perlu mempunyai minat mendalam dan mengambil tahu trend makanan terkini disertai rajin dan usaha,” pesan Chef Raja kepada mereka yang ingin menyertai bidang ini.
Sebagai ketua dalam pasukan kerjanya dia menganggap semua rakan sekerja di bawah seliaannya seperti sebuah keluarga besar dan ibarat adik beradiknya sendiri.”Saya mahu terus melangkah selagi mampu di samping membantu menggilap dan melahirkan chef yang terbaik di masa akan datang,” ujarnya lagi sambil dibalas senyuman mesra oleh chef yang lain di sisinya.
Di samping penyediaan makanan dan minuman di Sunway Brasserie dan Cafe Royale & Bar di hotel ini, Wisma Boustead yang berada di bawah pengurusan hotel juga termasuk dalam tanggungjawab chef di sini
Bagi Malay Chef Muhammad Haniff yang bertanggungjawab menyelia semua operasi dapur Melayu dan membantu Chef Raja, katanya, “Seorang Chef itu jika ingin mengejar sukses kenalah rajin berfikir, selain berfikran kreatif dia perlu mengemaskini ilmu makanan mengikut aliran dan kehendak semasa. Bila menjadi Chef kena saling berkongsi ilmu dan meneroka seni masakan ini dengan lebih jauh lagi .Paling penting adalah hubungan dengan rakan-rakan Chef yang lain perlu akrab dan bekerja dalam satu pasukan yang boleh saling tolong menolong terutamanya apabila ada acara besar berlangsung di hotel.”
Memulakan tugas dari bawah , Chef Haniff memulakan kerjaya dalam bidang perhotelan sebagai Commis III. Kini dia telah pun menghimpun pengalaman selama 23 tahun dan pernah berkhidmat di empat hotel terkemuka. Chef Haniff juga sangat kreatif dalam ‘presentation’ dan dekorasi makanan dan banyak menyumbang idea apabila krew RASA membuat rakaman foto resipi di sini.
Mendengar kisah pembabitan Commis 1, Muhamad Faisal di dalam bidang masakan nyata dia memiliki ‘passion’ dan minat mendalam yang telah berputik sejak kanak-kanak lagi. “Sejak usia saya 10 tahun lagi saya sudah menyimpan cita-cita untuk bergiat dalam bidang masakan perhotelan. Walaupun saya baru bergiat selama tujuh tahun dalam bidang ini, saya bersyukur dapat menimba ilmu, belajar dan meraih pengalaman di lima hotel berlainan.
Bagi mereka yang ingin bergiat dalam bidang ini perlu ada kemahiran memasak serta bertanggungjawab dan berdisplin dalam urusan kerja. Perlu jujur dan konsisten dengan setiap tugasan yang diberi. Sepanjang bertugas, Faisal kini mampu memasak masakan Melayu, Asia dan Barat. “ Masih banyak lagi yang perlu saya pelajari dan saat paling manis bagi saya ialah apabila dapat belajar bermacam-macam jenis masakan,” ujarnya yang menyimpan cita-cita untuk mengejar impiannya sebagai Chef yang berjaya satu hari nanti.
Buat Chef paling ‘bongsu’ di sini Commis III, Muhammad Akmal yang baru tiga tahun terlibat dalam dunia masakan, dia masih lagi terus belajar dan meneroka setiap aspek penyediaan masakan di samping memajukan diri untuk terus mahir dan cekap dalam memasak.
“ Saya suka bertanya dengan orang yang lebih jauh berpengalaman , kena agresif jika nak cepat pandai. Mereka yang mahu menyertai bidang ini juga perlu bersedia untuk bekerja lebih masa setiap kali diperlukan terutamanya apabila ada acara berlangsung di hotel. Walau pun kami ada tiga syif waktu kerja, tetapi jadual kerja tidak terikat mengikut waktu yang disediakan. Yang penting amanah yang diberikan boleh dibereskan mengikut waktu dan perancangan,” luahnya yang amat menghargai tunjuk ajar yang diberikan oleh kakitangan yang lebih ‘senior’ dari dirinya.
Terima kasih : Delia, ROYALE CHULAN BUKIT BINTANG, 17-21, JLN BUKIT BINTANG, KUALA LUMPUR